April 17, 2011

BN kembali memerintah

DETIK MANIS: Taib meraikan kejayaan BN mengekalkan kuasa setelah menang majoriti dua pertiga selepas pengumuman keputusan pilihan raya di Kuching malam tadi. Turut bersama meraikan kejayaan itu (dari kiri) Masing, Jabu, Muhyiddin dan Dr Jerip (tiga kanan).

KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak memenangi pilihan raya negeri ke-10 dan berjaya membentuk kerajaan negeri dengan mengekalkan majoriti dua pertiga, sekali gus mengenepikan hasrat pakatan pembangkang yang berangan-angan ingin membentuk kerajaan negeri.

Sekali lagi pembangkang kecundang dalam usaha membentuk kerajaan yang pada awal-awal lagi telah menamakan Baru Bian sebagai calon Ketua Menteri, meskipun Baru menang di kerusi Ba’Kelalan.

Susulan kemenangan itu, kira-kira pada jam 10.30 malam tadi, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin di Astana.

Ini adalah penggal kelapan Taib yang juga pengerusi BN Sarawak memegang tampuk pemerintahan negeri sejak 1981.

Beliau mengekalkan kerusi Balingian dengan mengalahkan dua pencabarnya, iaitu calon Bebas Datuk Salleh Jafaruddin dan calon PKR Suriati Abdullah dengan majoriti 5,154 undi.

BN Sarawak yang terdiri daripada parti komponen PBB bertanding di 35 kerusi, SUPP (19), PRS (9) dan SPDP (8) menang di 55 kerusi berbanding DAP 12 kerusi, PKR 3 kerusi dan Bebas 1 kerusi. Manakala PAS tewas di lima kerusi ditandingi.

PBB di bawah pimpinan Ketua Menteri sendiri memenangi semua 35 kerusi, mengekalkan prestasi pada 2006, SUPP menang enam kerusi (12 kerusi 2006), PRS menang lapan kerusi (8 kerusi 2006) dan SPDP menang enam kerusi (8 kerusi 2006).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan gagal mempertahankan kerusi Piasau apabila tewas di tangan Ling Sie Kiong (DAP) dengan majoriti 1,590 undi.

Begitu juga Timbalan Presiden SPDP yang juga Menteri Muda Pertanian Datuk Peter Nyarok Entrie, tewas di tangan Ali Biju (PKR) dengan majoriti 2,090 undi.

Presiden SPDP Dato Sri William Mawan Ikom berjaya mempertahankan kerusi Pakan dan Presiden PRS Dato Sri Dr James Masing mengekalkan kerusi Balleh.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, BN masih menjadi pilihan rakyat Sarawak walaupun pembangkang memberikan tentangan hebat pada pilihan raya negeri ke-10 ini.

Mengulas kejayaan BN memenangi pilihan raya negeri Sarawak dengan majoriti lebih dua pertiga, Muhyiddin berkata kejayaan itu boleh dianggap sebagai kejayaan yang cemerlang walaupun BN tewas beberapa kerusi di bandar.

“Tahniah kepada BN Sarawak dan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud selaku Pengarah Pilihan Raya BN Negeri.

“Kepada calon-calon yang menang, saya ucapkan selamat maju jaya. Mereka perlu menunaikan tanggungjawab yang diberikan oleh BN dan rakyat,” katanya dalam sidang media di kediaman Ketua Menteri di sini, malam tadi.

Sementara itu, Taib dalam sidang videonya bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kejayaan BN Sarawak dalam pilihan raya ini membuktikan bahawa rakyat negeri ini masih mahu kerajaan yang sedia ada untuk meneruskan kesinambungan pembangunan.

“Rakyat telah memberi mandat baru kepada BN Sarawak untuk meneruskan kesinambungan pembangunan seluruh negeri, justeru meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.

Pilihan raya negeri yang disifatkan orang ramai paling sengit dalam sejarah Sarawak menyaksikan penamaan calon pada 6 April, susulan DUN dibubarkan pada 21 Mac.

Keputusan rasmi terawal diumumkan SPR pada jam 6.15 petang ialah Bukit Saban yang menyaksikan kemenangan BN menerusi calonnya, Robert Lawson Chuat dari PBB, menewaskan Dayrell Walter Entrie dari SNAP dengan (641 undi) dan Jerah Engkiong Edward dari PKR (1,125 undi) dengan majoriti 2,774 undi.

Majoriti tertinggi diperolehi Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng dengan 8,827 undi. Penyandang kerusi Bukit Assek menewaskan Chieng Huong Toon (BN) dan Hii Tiong Huat (Bebas) dengan memperolehi 13,527 undi.

Majoriti terendah diperolehi Datuk Lee Kim Shin (SUPP) iaitu 58 undi dengan menewaskan Michael Teo Yu Keng dari PKR.

Dalam pada itu, peratusan turun mengundi pada pilihan raya kali ini ialah 70 peratus, sebaik 1,748 pusat pengundian ditutup tepat jam 5 petang semalam.

No comments: