April 17, 2011

BN masih jadi pilihan rakyat: Muhyiddin

 MUHYIDDIN bersalaman dengan pengundi di Sekolah Kebangsaan Rakyat ketika meninjau proses pengundian semalam sambil diperhati isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman dan calon BN kawasan Satok, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.
MUHYIDDIN bersalaman dengan pengundi di Sekolah Kebangsaan Rakyat ketika meninjau proses pengundian semalam sambil diperhati isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman dan calon BN kawasan Satok, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.
KUCHING: Barisan Nasional (BN) masih menjadi pilihan rakyat Sarawak walaupun pembangkang memberikan tentangan hebat pada pilihan raya negeri ke-10 ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengulas kejayaan BN memenangi dengan majoriti lebih dua pertiga, Timbalan Perdana Menteri berkata kejayaan itu boleh dianggap sebagai kejayaan yang cemerlang walaupun BN tewas beberapa kerusi di bandar.
“Tahniah kepada BN Sarawak dan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud selaku Pengarah Pilihan Raya BN Negeri. Kepada calon-calon yang menang, saya ucapkan selamat maju jaya. Mereka perlu menunaikan tanggungjawab yang diberikan oleh BN dan rakyat.
“Pasti ini satu manifestasi sokongan besar yang diberikan semua pengundi sehingga mereka terpilih,” katanya sambil meminta semua wakil rakyat BN yang dipilih supaya menunaikan amanah yang diberikan sebaik mungkin.
Beliau berkata demikian pada sidang media di kediaman Ketua Menteri Sarawak di Demak Jaya dekat sini, malam tadi.

Muhyiddin berkata, rakyat Sarawak membuat keputusan bijak membolehkan BN menubuhkan kerajaan dan seterusnya meningkatkan lagi taraf hidup mereka.
“Saya berpendapat dengan kemenangan ini, kerajaan negeri akan dapat meneruskan kesinambungan pembangunan selari dengan usaha Kerajaan Pusat menerusi program transformasi yang kita laksanakan,” katanya.

Seperti yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, katanya, BN akan menunaikan segala janji yang dibuat di semua kawasan pada kempen pilihan raya ini selain menubuhkan jawatankuasa diketuai Ketua Menteri untuk meneliti semua keputusan dan pengumuman dipersetujui kerajaan negeri dan Pusat supaya tiada projek yang akan tertinggal.
Beliau berpendapat dengan kemenangan BN Sarawak, kerajaan negeri yang akan dibentuk nanti akan dapat meneruskan kesinambungan pembangunan, ekonomi, sosial, pendidikan, kebajikan dan bidang lain, selari dengan usaha yang dilakukan pimpinan Pusat.

Mengenai kekalahan lebih besar Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pada kali ini, Muhyiddin berkata, adalah jelas trend pengundi Cina bandar yang berlaku di Semenanjung menular ke Sarawak dan BN menerima keputusan itu.

No comments: