Pembukaan kedai itu akan bantu rakyat hadapi inflasi dengan menjual makanan pada harga diskaun
UALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan sedang mengkaji untuk memperkenalkan pembukaan kedai yang menjual bahan makanan pada harga diskaun untuk dijual kepada rakyat bagi membantu rakyat menghadapi inflasi.
Perdana Menteri berkata langkah itu, untuk membantu rakyat menghadapi inflasi itu di segi bekalan di dalam negara.
Sebagai contoh, langkah meningkatkan bekalan ayam sedang diambil bagi menurunkan harga, yang dikatakan kemungkinan menurun pada bulan depan, katanya dalam satu temu bual dengan rangkaian televisyen Bloomberg di pejabatnya di Putrajaya semalam.
Bagaimanapun, katanya inflasi yang diimport atau peningkatan harga makanan yang diimport akan menjadi cabaran bagi Malaysia.
“Kami juga sedang mengkaji sama ada kami boleh memperkenalkan kedai yang menjual pada harga diskaun kepada rakyat,” katanya.
Bagaimanapun, Najib mengingatkan bahawa inflasi harga komoditi merupakan kebimbangan yang dihadapi di seluruh dunia, yang bermakna Malaysia “perlu mengekalkan sabsidi pada paras yang agak tinggi, yang termasuk subsidi petrol.”
“Saya juga sedang mengkaji satu inisiatif baharu untuk membantu rakyat yang berhadapan bebanan berikutan peningkatan harga.”
“Kita masih belum mencecah paras maksimum “threshold” tetapi terdapat tanda-tanda rakyat sedang merasai bebanan peningkatan harga makanan.”
“Kami perlu melihat pada pakej kerajaan serta cuba merangsang bekalan,” kata Najib.
Menyentuh mengenai kemunculan Yuan China sebagai mata wang rezab dan mata wang sebagai penyelesaian perdagangan, katanya: “Kita perlu mengekalkan dolar AS sebagai satu mata wang rezab antarabangsa paling penting. Euro juga adalah mata wang rezab yang penting walau apa pun yang berlaku di Eropah (dan) kami berkeyakinan di segi kestabilan jangka panjang mata wang euro.”
Najib menekankan bahawa Malaysia mempunyai hubungan yang sangat baik dengan China, khususnya di segi hubungan ekonomi, sambil menyatakan “kami kini boleh menyelesaikan perdagangan antara kedua-dua negara kami di dalam mata wang tempatan.”
Mengenai sama ada perdagangan Malaysia menggunakan Yuan boleh digandakan, katanya ia “kemungkinan besar (boleh dilaksanakan sedemikian). Saya rasa ia merupakan langkah positif.”
Menjawab soalan mengenai usaha mengekang aliran masuk dan keluar wang panas dari negara ini, Najib berkata kerajaan sedang “memantau perkara itu dengan teliti.”
“Kami tidak mahu berlaku turun naik yang berlebihan, sama ada di dalam pasaran saham atau di segi mata wang kami. Asalkan terdapat pertumbuhan kukuh berdasarkan fundamental yang kukuh, itulah yang kami cuba capai.”
“Jadi, ia akan menjadi kombinasi pemantauan yang sangat ketat mengenai apa yang berlaku (dan) jika ia menjadi terlalu panas, saya merasakan kami akan mengambil langkah yang perlu,” katanya. — Bernama
No comments:
Post a Comment