Piagam Madinah sebagai model untuk mentadbir negeri yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama, kata Abang Johari
KUCHING: Pemimpin Islam di negeri ini perlu menjadikan Piagam Madinah sebagai model untuk mentadbir negeri yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama, kata Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.
Katanya, disebabkan corak kepimpinan Rasulullah SAW yang adil dan saksama ketika itu, masyarakat Islam dan bukan Islam dapat hidup secara harmonis.
“Islam menuntut corak pemerintahan dan urus tadbir negeri yang adil.
“Seperti kita lihat Piagam Madinah semasa pemerintahan Rasulullah SAW yang patut kita jadikan model di mana masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam dapat hidup dalam suasana harmoni disebabkan kepimpinan yang adil dan efektif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Perdana Sejiwa Senada malam kelmarin sempena Program Sejiwa Senada yang berlangsung di Taman Sukma bermula 31 Mac dan 3 April.
Forum tersebut dipengerusikan oleh Ketua Penolong Mufti Sarawak Ustaz Mual Suaud dan terdiri daripada tiga ahli panel iaitu Datu Dr Adi Badiozaman Tuah, Dr Muhammad Uthman El-Muhammady dan Dr Robiah K Hamzah.
Menurutnya juga, setakat ini kepimpinan pemimpin Islam di negeri ini diterima baik oleh semua lapisan masyarakat.
“Walaupun jumlah masyarakat Islam di negeri ini tidak ramai, kepimpinan pemimpin Islam dapat diterima oleh semua masyarakat sama ada Islam atau bukan Islam disebabkan sistem pemerintahan yang adil,” katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai inti pati Sejiwa Senada, Abang Johari berkata, ia merupakan tiang untuk urus tadbir negeri yang baik.
Katanya, Sejiwa Senada bukan sahaja berkenaan hubungan sesama manusia tetapi yang lebih penting adalah hubungan dengan Tuhan.
“Sejiwa Senada adalah selari dengan tuntutan agama Islam terutama daripada segi urus tadbir negeri dan ia bukan sahaja melibatkan hubungan di antara sesama manusia tetapi hubungan manusia dengan Tuhan yang perlu senada,” katanya.
Hadir sama semalam adalah isteri Abang Johari Datin Amar Jumaini Tuanku Bujang, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara Mohd Atei Abang Medaan dan penyandang kerusi Dewan Undangan negeri Semariang Sharifah Hasidah Syeed Aman Ghazali
No comments:
Post a Comment