April 3, 2011

Tindakan tegas jika ungkit isu kaum, agama ketika berceramah

KUCHING: Kerajaan tidak akan berkompromi dengan pihak yang mengungkit isu-isu perkauman dan keagamaan ketika menyampaikan ceramah politik sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-10 diadakan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T. Murugiah berkata tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang ingkar selepas diberi nasihat dengan mereka boleh didakwa di bawah Akta Hasutan.

Justeru katanya, pasukan penguat kuasa Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sarawak akan menubuhkan pasukan bagi memantau setiap ceramah politik yang akan diadakan sepanjang tempoh berkenaan terutamanya di kawasan yang dikategorikan sebagai kawasan ‘hitam’ dan ‘kelabu’.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kawasan ‘hitam’ dan ‘kelabu’ yang dimaksudkan dengan alasan mahu memudahkan kerja-kerja pemantauan.

Pasukan penguat kuasa JPNIN itu katanya, akan dibantu oleh 383 ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh Sarawak.

“Walaupun tahap perpaduan di Sarawak adalah yang terbaik berbanding di negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia, tetapi sebagai langkah berjaga-jaga kami akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media di pejabat JPNIN Negeri di sini semalam.

Terdahulu beliau menghadiri mesyuarat dengan pegawai dan kakitangan JPNIN Negeri berhubung persiapan jabatan itu menjelang pilihan raya pada 16 April ini.

Murugiah berkata semua pengerusi KRT di seluruh negeri diberi tanggungjawab untuk membuat laporan polis jika penceramah terus menyampaikan ceramah yang mengandungi sentimen perkauman dan agama selepas ditegur oleh pegawai penguat kuasa JPNIN.

Beliau berkata tindakan seumpama itu bukan bertujuan menakut-nakutkan mana-mana pihak tetapi untuk menjaga perpaduan rakyat walaupun berdasarkan pengalaman daripada beberapa pilihan raya kecil di Sarawak, suasana kempen lebih aman dan tertib berbanding di Semenanjung Malaysia yang lebih tegang serta panas.

Murugiah turut tidak menolak kemungkinan pilihan raya kali ini sedikit sengit berbanding sebelum ini dengan banyak unsur-unsur serta orang luar akan hadir seterusnya mencetuskan bermacam-macam masalah yang boleh menggugat perpaduan rakyat negeri ini khasnya dan negara amnya.

“Kami mahu membantu memastikan pilihan raya Sarawak kali ini berjalan lancar tanpa berlakunya sebarang insiden tidak diingini, dengan itu kami akan menghantar pegawai kami sebagai perisik ke lokasi-lokasi ceramah dan merekodkan setiap ceramah yang disampaikan,” ujarnya.

Beliau memberitahu bahawa bilik gerakan di peringkat negeri, bahagian dan daerah akan dibuka bagi membolehkan maklumat pemantauan dapat disalurkan terus kepada JPNIN.

“Kami juga membekukan semua cuti kakitangan JPNIN Negeri sehingga 16 April 2011 dan semua pegawai JPNIN dan ahli-ahli KRT turun padang, sentiasa berwaspada serta sedia membantu agensi-agensi lain bagi memastikan pilihan raya negeri kali ini berjalan dengan lancar.

“Saya sendiri akan berada di Sarawak sepanjang tempoh pilihan raya ini bagi memantau situasi bersama warga JPNIN dan ahli KRT,” tambahnya.

No comments: