December 4, 2011

Syarat ganti rumah panjang

PAKAN: Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang, berkata penduduk yang bercadang menggantikan rumah panjang lama perlu mempunyai dana, pelan dan menyediakan kawasan tapak terlebih dulu.

"Ini bagi mengelak kelewatan dan masalah lain bagi memberi harapan baru, hala tuju serta kejayaan dalam kehidupan mereka," katanya pada sesi bertemu orang ramai di Rh.Sandai, Nanga Menggilas, Ulu Pedanum di sini, petang semalam.

Pada majlis itu, beliau juga menyampaikan geran kerajaan berjumlah RM367,500 kepada 45 rumah panjang di daerah itu.
Beliau berkata, adalah satu kebiasaan bagi penduduk untuk menetap di kawasan yang mempunyai hubungan jalan yang baik daripada tinggal di kawasan pedalaman di mana sungai kekal menjadi satu-satunya jalan penghubung.

"Secara peribadi, ini adalah satu pilihan yang hebat kerana selain mudah dihubungi, jalan itu akan memudahkan usaha kerajaan untuk membawa masuk bekalan air dan elektrik selepas ini.

"Orang ramai juga boleh menikmati faedah teknologi komunikasi dan maklumat kerana terletak berdekatan dengan bandar atau mana-mana kawasan yang maju," katanya.

Salang berkata, pelan itu membolehkan pengubahsuaian dilakukan pada masa depan jika keadaan memerlukan dan menyediakan lebih banyak kawasan tempat letak kenderaan.
Sementara itu, semasa merasmikan majlis makan malam bagi mengumpul sumbangan Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) bagi cawangan Pakan, beliau berharap badan induk yang berpangkalan di Kuching itu dapat membantu bagi memulihara tradisi dan budaya masyarakat Dayak.

Beliau berkata, banyak tradisi dan budaya itu dilupakan dan akhirnya pupus berikutan kurangnya usaha galakan di kalangan generasi muda.

"SDNU perlu menjadi jambatan penghubung antara masyarakat dan kerajaan dan berfungsi sebagai sebuah badan mesra kerajaan agar ia dapat membantu menyelesaikan masalah, aspirasi dan harapan yang dihadapi suku kaum berkenaan," katanya. - BERNAMA

No comments: