KUANTAN: Datuk Seri Najib Razak memberi tempoh tiga bulan kepada pasukan petugas khas semakan semula Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) untuk membuat penambahbaikan dan menyediakan cadangan baru yang dapat memuaskan hati setiap penjawat awam di semua peringkat.Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan memastikan cadangan serta penambahbaikan kepada skim berkenaan mengambil kira maklum balas daripada pelbagai pihak yang diterima sebelum ini.Justeru, beliau yakin penjawat awam akan mendapat kepuasan menyeluruh selepas SBPA disemak semula dan diberi penambahbaikan oleh pasukan petugas khas yang dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam.
“Saya akui banyak menerima maklum balas mengatakan tidak berpuas hati dengan skim baru ini dan kerajaan akan mempertimbangkannya sebaik mungkin supaya ia dapat memberi kepuasan kepada semua penjawat awam.
“Kita terima jika ada kepincangan (dalam SBPA) dan berusaha memperbaikinya. Sebab itu kita tubuhkan pasukan petugas khas ini yang akan menimbang segala maklum balas dan rayuan untuk menambah baik lagi skim berkenaan,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan perdana menteri bersama pegawai/kakitangan awam kerajaan/agensi kerajaan di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang di sini, semalam.
Hampir 7,000 penjawat awam dari seluruh Pahang hadir pada majlis berkenaan yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Seri Adnan Yaakob; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Sufian Ismail.
Najib sebelum ini, mengarahkan SBPA disemak semula, sekali gus menyelesaikan isu dibangkitkan berkaitan skim berkenaan, membabitkan 1.4 juta penjawat awam.
Selain itu, Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan bersedia menimbangkan pemberian gaji dan bonus lebih tinggi kepada penjawat awam, tetapi ia perlu selari dengan peningkatan produktiviti perkhidmatan masing-masing.
Katanya, jika produktiviti meningkat, ia mampu menjana ekonomi lebih baik, seterusnya membolehkan kerajaan memperoleh pendapatan lebih tinggi, meningkatkan daya saing negara dan memacu sebagai negara maju.
“Daripada kita kekang pendapatan penjawat awam, lebih baik kita beri tambahan gaji dan bonus supaya mereka lebih rajin bekerja dan membantu hasil dan pendapatan kerajaan berkembang,” katanya.
Beliau turut mengakui pentingnya tanggungjawab penjawat awam dalam pentadbiran negara kerana apa jua dasar dan agenda besar bergantung kepada peranan serta sumbangan mereka.
Sementara itu, pada sidang media selepas melancarkan Program Ihsan Samudera Peringkat Kebangsaan di Kampung Tanjung Lumpur, Perdana Menteri turut mengumumkan berita baik kepada nelayan pesisir pantai bahawa mereka boleh mula memohon Skim Bantuan Perumahan (SBP) antara RM5,000 hingga RM10,000 untuk membaik pulih rumah masing-masing.
Perdana Menteri berkata, borang skim berkenaan akan diedarkan menerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) masing-masing.
Beliau berkata, peruntukan bantuan membaik pulih rumah nelayan itu adalah sebahagian daripada RM300 juta Tabung Khas Perumahan Nelayan yang diumumkan dalam Bajet 2012.
“Skim bantuan ini terbuka kepada semua nelayan pesisir pantai dan mereka boleh mengemukakan permohonan mulai sekarang dan borang akan diedarkan melalui persatuan nelayan di kawasan masing-masing,” katanya.
Lebih 20,000 orang hadir pada program itu yang juga satu daripada usaha mendukung Gagasan 1Malaysia dengan fokus kepada pelaksanaan khidmat masyarakat dalam pelbagai aspek secara turun padang dan mendekati rakyat.
Program itu didokongi sepenuhnya Yayasan 1MDB dengan usaha sama Yayasan FELDA dan kerjasama Jabatan Perikanan, Persatuan Nelayan Kebangsaan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, kementerian dan kerajaan negeri.
Nelayan Berjaya Naikkan Ikan Pari Seberat 250 Kilogram
-
MIRI: Seorang nelayan dari Kuala Sibuti dekat sini, terkejut apabila pukat
yang dinaikkannya bukan hanya mengaut ikan biasa malah seekor ikan pari
gerga...
5 years ago
No comments:
Post a Comment