January 22, 2012

Bank Bergerak memudahkan agihan baucar BR1M di Kuching

KUCHING: Bank Bergerak akan disediakan bagi memudahkan 42,209 penerima baucar RM500 Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang telah diluluskan bagi Bahagian Kuching untuk menunaikannya.

Residen Bahagian Kuching, Abdul Rahman Sebli Senusi berkata, tiga bank iaitu Bank Simpanan Nasional (BSN), CIMB dan Maybank telah dilantik untuk tujuan itu.

Beliau menjelaskan pengagihan baucar BR1M itu akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut lima kawasan Parlimen dalam Bahagian Kuching.

“Kita bekerjasama dengan tiga buah bank iaitu BSN, CIMB dan Maybank dalam urusan menunaikan baucar ini semasa pengagihan dilakukan nanti bagi memudahkan penerima BR1M mendapatkan wang tunai,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Abdul Rahman memberitahu, penyerahan baucar akan bermula pada 28 Januari ini dan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

“Setakat ini, Pejabat Residen Kuching telah menerima sebanyak 42,209 senarai penerima yang telah diluluskan.

“Perlu diingatkan bahawa semua penerima BR1M perlu datang sendiri ke lokasi penyerahan yang telah ditetapkan mengikut kawasan masing-masing kerana penerima tidak dibenarkan menghantar wakil bagi menerima baucar itu kelak,” tegasnya lagi.

Selain itu, beliau turut menasihati supaya penerima membawa kad pengenalan diri bagi tujuan tersebut.

Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai pengagihan baucar BR1M itu penerima boleh menghubungi hotline Pejabat Residen Kuching menerusi talian 082-246991 atau 082-244434 untuk menyemak kedudukan permohonan mereka yang dibuka 8 pagi hingga 5 petang.

Bagi pemohon yang belum mengetahui status terkini permohonan, mereka boleh menghubungi hotline BR1M Kementerian Kewangan menerusi talian 1-800-222-500 atau 1-300-88-3010 yang beroperasi dari 9 pagi hingga 5 petang setiap hari bekerja.

“Justeru, kita berharap agar semua penerima sentiasa mengikut arahan pegawai bertugas semasa majlis penyerahan itu nanti agar dapat berjalan dengan lancar,” ujarnya.

Hadir sama, Timbalan Residen Kuching Zamahari Saidi dan Setiausaha Jawatan Kuasa Penyeleras majlis penyerahan baucar BR1M, Hairol Nizam Morshidi.

Berikut jadual pengagihan baucar BR1M mengikut kawasan di Kuching:

Pending pada 31 Januari (3 petang-6 petang) di Dewan Suarah, Padungan pada 1 Februari (9 pagi-2 petang) Dewan Suarah, Batu Kawa 30 Januari (9 pagi-2 petang) di Ibu Pejabat SUPP, Batu Lintang 31 Januari (9 pagi-2 petang) di Ibu Pejabat SUPP, Kota Sentosa 1 Februari (9 pagi-2 petang) di Ibu pejabat SUPP, Samariang 28 Januari (8 pagi-3 petang) di Dewan Hikmah dan di Tapak Medan Sukma Ria (7 petang-11 malam), Satok pada 28 Januari (2 petang-6 petang) di Dewan Merpati Jepang, Tupong pada 29 Januari di Dewan Kampung Tupong Tengah (8 pagi-1 petang), Dewan Kampung Pinang Jawa (2 petang-6 petang), Dewan Taman Malihah (2 petang-6 petang), Dewan SUPP Matang (7 petang-10:30 petang), Demak Laut pada 2 Februari (9 pagi-2 petang) di Dewan PBB Jalan Demak, Pantai Damai pada 6 Februari (9 pagi-2 petang) di Dewan DUN Lama dan Tanjung Datu pada 7 Februari (9 pagi-2 petang) di Dewan Masyarakat Lundu.



No comments: