January 28, 2012

Stesen minyak menipu ditutup

MIRI: Sebuah stesen minyak di sini diarahkan tutup serta-merta oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Miri setelah didapati menipu dengan menjual minyak petrol dan diesel tidak menepati kuantiti yang dibeli oleh pelanggan.

Perkara itu didedahkan sepasukan pegawai penguat kuasa kementerian terbabit yang membuat pemeriksaan ke atas sebuah stesen minyak yang terletak di Jalan Lutong, berhampiran simpang Tudan, di sini.

Ketua Cawangan KPDNKK Miri, Zakaria Awang ketika ditemui di stesen minyak tersebut berkata, sekitar jam 10 pagi semalam, sepasukan lima pegawainya yang diketuai Penolong Penguat Kuasa Mohd Fuzaimie Idlan Tajudin selaku pegawai serbuan dan dibantu kakitangan Metrology Corporation Malaysia, membuat pemeriksaan ke atas stesen minyak berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan yang dilakukan dengan menggunakan alat penyukat ketepatan isi padu mendapati kesemua alat sukat di 20 pam minyak di stesen berkenaan adalah tidak tepat dengan menunjukkan bacaan melebihi had selisih yang dibenarkan di bawah Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972.

Menurut beliau, had selisih yang dibenarkan mengikut akta itu adalah tidak melebihi 10 mililiter (ml).

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan dua kali dengan menggunakan alat penyukat tersebut, kita dapati kesemua alat sukat pada pam-pam di stesen ini menunjukkan bacaan had selisih antara 120ml hingga 150ml untuk setiap 20 liter sama ada petrol RON95, RON97 serta diesel dan jumlah ini melebihi had selisih yang dibenarkan,” katanya sambil menegaskan kesalahan ini merupakan satu bentuk penipuan terhadap pelanggan.

Ini bermakna, katanya, setiap liter minyak sama ada petrol atau diesel yang dibeli pelanggan dari stesen berkenaan akan berkurangan kuantitinya, namun bayaran tetap pada harga yang telah ditetapkan.

Menurut Zakaria, kes ini akan disiasat mengikut Seksten 30 (1) ATS 1972 yang memperuntukkan denda maksimum RM25,000 untuk kesalahan yang dilakukan pihak syarikat dan RM15,000 untuk individu.

“Kes ini merupakan yang pertama di Miri mungkin juga yang pertama di Sarawak atau di seluruh negara setakat ini,” katanya sambil memberitahu pemeriksaan itu dilakukan berikutan arahan yang dikeluarkan pihak kementerian agar memantau semua stesen minyak di seluruh negara untuk mengelak kes penipuan sedemikian yang sudah pasti merugikan para pelanggan.

Katanya, pihaknya akan membuat pemantauan berterusan dengan melakukan pemeriksaan ke atas semua stesen minyak yang beroperasi di Bahagian Miri.

“Selepas ini, kita akan memperluaskan operasi ini kepada dua kali setahun untuk mengelak kes-kes penipuan sebegini daripada terus berlaku dan pada masa sama menentukan setiap kuantiti yang dijual kepada pelanggan adalah tepat,” ujar beliau lanjut.

Pada masa sama, beliau menasihatkan para pengusaha stesen minyak lain di seluruh negara agar menjadikan kes ini satu bentuk pengajaran agar lebih peka dengan alat timbang dan sukat di premis masing-masing.

Dalam pada itu, menurut Zakaria, stesen berkenaan boleh memulakan operasi seperti biasa setelah segala urusan siasatan kes selesai dan alat sukat di kesemua pam minyaknya telah ditentusahkan semula oleh pihak Metrology.

Beliau menambah, stesen itu merupakan yang kedua diperiksa sejak operasi berkenaan dilancarkan Khamis lalu.

“Dalam pemeriksaan kelmarin (Khamis), kita hanya memberikan amaran kepada pengusaha stesen berkenaan berikutan bacaan had selisih yang masih boleh diterima pakai,” katanya.

Sehubungan itu, Zakaria menasihatkan para pengguna yang berasa curiga terhadap kekurangan kuantiti minyak petrol yang dibeli daripada yang sepatutnya dari mana-mana stesen minyak di sini agar tampil membuat aduan di pejabat kementerian di sini


Read more: http://www.theborneopost.com/2012/01/28/stesen-minyak-menipu-ditutup/#ixzz1knN0ETBE

No comments: