January 15, 2012

Penduduk desa, Orang Asli diberi rawatan gigi percuma

PETALING JAYA: Penduduk luar bandar terutama masyarakat orang Asli akan menerima perkhidmatan rawatan pergigian percuma apabila Klinik Kesihatan Pergigian Bergerak 1Malaysia (KPB1M) dilancarkan dalam tempoh terdekat.

Inisiatif terbaru Kementerian Kesihatan itu bagi memastikan golongan berkenaan tidak ketinggalan menikmati kemudahan rawatan pergigian disediakan kerajaan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata, proses itu kini dalam peringkat akhir dan hanya menunggu penyerahan bas daripada Malaysia Development Berhad (MDB).
"Untuk permulaan, kita memfokuskan kawasan terpencil di Pahang dan jika ada sambutan menggalakkan, perkhidmatan itu akan diperluaskan ke seluruh Semenanjung," katanya selepas merasmikan Konvensyen Saintifik Antarabangsa dan Pameran Perdagangan FDI/MBA, di sini, semalam.

Hasan berkata, setiap KPB1M akan diketuai seorang doktor pergigian yang akan membuat rawatan penggiliran berjadual, menggunakan konsep Klinik Bergerak 1Malaysia sedia ada.

Beliau berkata, lebih 3.2 juta rakyat menggunakan perkhidmatan Klinik 1Malaysia (K1M) yang diperkenalkan di seluruh negara sejak 2010.

"Sebanyak 50 K1M lagi akan dibuka sepanjang tahun ini di seluruh negara bagi memperkasakan perkhidmatan penjagaan kesihatan rakyat," katanya.
Sementara itu, Hasan berkata, Malaysia masih bebas daripada penyakit selsema burung, tetapi langkah berjaga-jaga tetap diambil.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Veterinar dan setakat ini tiada tanda jangkitan virus itu dikesan pada ternakan unggas di Malaysia.

“Bagaimanapun, jika ada tanda awal virus itu pada ternakan mereka, ia perlu dilaporkan segera bagi mengelak ia menjadi lebih teruk," katanya.

No comments: