January 15, 2012

Pengundi yakin calon boleh menang di Mas Gading

BAU: Para pengundi di kawasan Tasik Biru dan Opar menaruh keyakinan tinggi bahawa calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Parlimen Mas Gading mampu menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Pengerusi Persatuan Warisan Bung Bratak, Datuk Peter Minos berkata, harapan itu adalah terbukti setelah kedua-dua kawasan iaitu Tasik Biru dan Opar dimenangi BN dengan majoriti besar dalam pilihan raya negeri April lalu.

Minos yang merupakan politik veteran berkata penduduk di kedua-dua kawasan terbabit di bawah Parlimen Mas Gading adalah majoritinya adalah Bidayuh.

“Saya cukup yakin BN akan terus kukuh di kawasan kami (Mas Gading) pada PRU akan datang kerana penduduk di sini adalah penyokong kuat BN,” katanya.

Beliau berucap pada majlis jamuan tahun baharu 2012 anjuran Warisan Bung Bratak dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) di Dewan Suarah Bau, di sini malam kelmarin.

Majlis itu dihadiri oleh Presiden SPDP, Tan Sri William Mawan Ikom, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan dan Warisan Datu Ik Pahon Joyik, Pengurus Besar Zecon merangkap pengerusi bersama Rayan Narong dan Timbalan Pengurus Besar SALCRA, Anthony Nogeh.

Minos berkata, penduduk di kawasan terbabit mahu calon boleh menang PRU akan datang kerana mereka yakin BN akan terus membawa pembangunan dan kemakmuran kepada mereka.

“Kami percaya pucuk pimpinan tertinggi BN Pusat dan Negeri akan memberi kepercayaan penuh kepada calon boleh menang untuk menghadapi PRU akan datang,” katanya.

Pada PRU lalu, calon BN-SPDP Datuk Dr Tiki Lafe berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Mas Gading.

Bagaimanapun, Tiki tidak dicalonkan semula bagi mempertahan kerusi Parlimen Mas Gading pada PRU13 akan datang dan SPDP akan memberi peluang kepada muka baharu untuk dicalonkan.

Antara calon-calon yang diuar-uarkan ialah Pahon, Nayan, Anthony dan seorang ahli korporat iaitu Henry Jinep.

No comments: