SARIKEI: Satu kemalangan maut berlaku di selekoh berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Paoh Sarikei, pagi semalam.
Kemalangan tersebut membabitkan pertembungan tiga kenderaan iaitu lori kargo, Toyota Vios dan Toyota Avanza.
Kemalangan berlaku pada kira-kira jam 8.40 pagi, ketika lori kargo datang dari arah Kuching menuju ke Sibu manakala Vios dan Avanza dari Miri menuju ke Sri Aman untuk me-lawat keluarga.
Menurut pemandu lori kargo yang berusia sekitar 30-an, pada waktu kejadian jalan di kawasan terbabit berada dalam keadaan basah dan berkemungkinan licin akibat hujan yang telah turun sejak awal pagi.
“Ketika saya memandu melalui selekoh itu, secara tiba-tiba saya melihat sebuah kereta (Avanza) berada dalam keadaan hilang kawalan dan memasuki lorong laluan saya.
“Melihat keadaan itu saya cuba mengelak dari berlakunya pertembungan, namun kejadian yang begitu pantas itu tidak mampu saya elakkan, menyebabkan berlakunya pertembungan di antara lori saya dan Avanza itu.
“Akibat pertembungan tersebut dan dalam usaha untuk mengelak, lori saya terbabas ke tepi jalan,” katanya.
Pada masa yang sama juga, Avanza telah terpelanting semula ke laluan asalnya, berputar dengan keadaan bahagian hadapan kenderaan terbabit berada dalam situasi bertentangan dengan kereta Vios yang datang dari laluan yang sama dengannya.
Akibatnya, berlaku satu lagi perlanggaran antara kedua-dua kenderaan terbabit.
Difahamkan bahawa penumpang kereta Vios dan Avanza adalah dari satu keluarga yang sedang dalam perjalanan untuk melawat keluarga mereka di Sri Aman.
Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenali sebagai Limpa Mani berusia dalam lingkungan usia 70-an dan merupakan penumpang di bahagian belakang Avanza manakala pemandunya, Siti Sigan, 30, dan seorang penumpang di bahagian depan kereta terbabit mengalami cedera parah.
Terdapat lima orang dalam Avanza pada waktu kejadian manakala lima lagi berada dalam Vios dan masing-masing turut mengalami kecederaan dan dirujuk ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan lanjutan.
Mangsa yang cedera parah pula dirujuk ke Hospital Sibu.
Bagi pemandu dan kelindan lori kargo pula, mereka hanya mengalami cedera ringan sahaja.
Namun begitu punca sebenar kejadian masih dalam siasatan polis.