March 25, 2012

Sarawak paling banyak PBR

MILIKMU: Len (empat kiri) melakukan penyerahan kunci dan sijil rumah Program Bantuan Rumah kepada Azmi Seman dan isterinya, sambil disaksikan oleh Zaki (tiga kiri), Stephen (dua kanan) dan tetamu kehormat yang lain.

SARIKEI: Sebanyak 376 rumah di Sarawak menerima bantuan dalam Program Bantuan Rumah (PBR) di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan 3 (NBOS 3) bagi tahun 2011.

Ini meliputi bantuan seperti Bina Baharu (BB) serta Baik Pulih (BP) dan telah melibatkan kos berjumlah RM8.6 juta.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datu Len Talif Salleh berkata, di bahagian Sarikei sahaja terdapat 148 rumah yang telah menerima bantuan BB dan BP.

“Sebanyak 100 kampung di bahagian ini telah terlibat dengan kedua-dua program ini, di mana 48 kampung telah menerima bantuan BB manakala 48 yang lain telah menerima bantuan BP.

“Menerusi program NBOS 3 ini, kira-kira 30 peratus yang melibatkan wang berjumlah RM2.6 juta telah pun digunakan untuk tujuan kos pengangkutan dan penghantaran bahan binaan.

“Harga bahan binaan yang lebih tinggi di kawasan pedalaman telah dapat ditampung, tanpa satu rumah pun yang gagal disiapkan mengikut garis panduan ditetapkan dan penjimatan kos telah dapat dicapai.

“Terdapat empat daerah yang terlibat dengan program BB dan BP ini iaitu daerah Sarikei sebanyak 148 buah, Betong (60), Kanowit (135) dan Serian (33),” kata Len.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmiannya di Majlis Penyerahan Rumah PBR Daerah Sarikei di dewan serba guna Kampung Seberang Sarikei, semalam.

Sementara itu dalam ucapan alu-aluannya, Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia Mejar Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar berkata, Sarawak merupakan negeri yang paling banyak menerima bantuan terbabit melalui program NBOS 3.

“Program ini telah kami lancarkan di Sarawak dan Sabah bermula bulan Ogos 2011 yang melibatkan 406 rumah.

“Pada 15 Januari 2012 iaitu dalam tempoh enam bulan sahaja kita telah berjaya menyiapkan kesemua pembinaan tersebut dan keadaan ini telah memberikan satu rangsangan yang positif kepada pihak kami, tetapi apa yang paling bermakna sekali ialah ia dapat memberi manfaat kepada masyarakat amnya.

“Pada masa yang sama, kami merasakan bahawa kewujudan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tanggapan masyarakat yang hanya menjurus kepada tanggungjawab sebagai benteng kepada rakyat menghadapi ancaman musuh dapat kami perluaskan lagi dengan usaha menghulurkan bantuan secara terus untuk meningkatkan taraf hidup rak-yat,” kata Zaki.

Dalam majlis tersebut turut dilangsungkan upacara simbolik pe-nyerahan kunci dan sijil rumah PBR kepada beberapa pemilik dari da-erah Sarikei yang disempurnakan oleh Len Talif.

Turut hadir Ahli Parlimen Tanjung Manis Datuk Norah Tun Abdul Rahman, Panglima 9 Briged Brigedier Jeneral Datuk Stephen Mundaw, Panglima 3 Briged Brigedier Jeneral Hasagaya Abdullah, Ketua Staf Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia Kolonel Abdullah Mansoor, Penolong Pengarah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Sarawak Piee Joheng, Resi-den Bahagian Sarikei Michael Dawi Alli serta sekitar 100 orang yang terdiri daripada wakil jabatan kerajaan dan masyarakat setempat

No comments: