March 4, 2012

Negara masih perlu 23 peratus tenaga kerja mahir: Fatimah

MENARIK: Fatimah diiringi Dorge (dua kanan) melawat ruang pameran fotografi pada BPIEF 2012 di BCCK, semalam. — Gambar Jeffery Mostapa

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah berkata, statistik semasa menunjukkan pada masa kini, terdapat hanya 25 peratus pekerja mahir di Malaysia.

“Kita cuma ada 25 peratus pekerja mahir berbanding dengan Taiwan 33 peratus, Korea Selatan (36 peratus) dan Singapura (49 peratus) sementara kerajaan menyasarkan untuk mencapai 48 peratus tenaga kerja mahir pada tahun 2020.

“Maka itu, salah satu daripada transformasi pendidikan yang diberi perhatian tinggi oleh kerajaan ialah pendidikan vokasional dan teknik, dan Sarawak khususnya perlu me-ningkatkan peratus pekerja mahir dalam konteks meme-nuhi tenaga kerja di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Borneo Post International Fair (BPIEF) 2012 yang dihadiri Pengerusinya Dorge Rajah, Pengurus Sumber Manusia KTS Holdings juga Penasihat BPIEF, Adeline Lau dan wakil Konsulat Jeneral Indonesia di Kuching, Bapak Gondosoemarto Wibisono di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Fatimah yang juga Penaung BPIEF berkata, penganjuran pameran berkenaan merupakan pelengkap kepada usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat di negeri ini dan membantu pembangunan sumber manusia.

“Baik dari segi akademik mahupun latihan kemahiran, ia pasti akan membantu ke-rajaan ke arah memenuhi keperluan tenaga kerja di SCORE nanti.

“Ia bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar-pelajar sekolah, tetapi juga ibu bapa serta guru kaunseling sekolah untuk mendapatkan maklumat pendidikan yang diperlukan selain bantuan kewang-an,” ujarnya.

Jelasnya, SCORE yang dijangka menawarkan 1.3 juta peluang pekerjaan menjelang tahun 2030, merupakan cabaran dalam usaha kerajaan menyediakan tenaga kerja.

“Kita perlu mengubah persepsi masyarakat terhadap peluang kerjaya bidang kemahiran ke arah mencapai ekonomi berpendapatan tinggi, selain menjadikan latihan kemahiran sebagai pilihan utama kepada lepasa sekolah,” kata beliau.

Fatimah berkata, sistem pendidikan teknik dan vokasional yang baik akan menjana pembangunan sumber manusia yang berkualiti dan seterusnya memacu negara maju berpendapatan tinggi.

Sehubungan itu, katanya, satu transformasi dalam Pendidikan Teknik dan Vokasional merangkumi Program Asas Vokasional (PAV) akan dilaksanakan pada tahun 2012 di 15 buah sekolah menengah.

“Saya menyeru ibu bapa, pengetua dan Jabatan Pelajaran supaya dapat memastikan golongan pelajar yang cenderung belajar secara ‘hands on’ agar mengikuti PAV di sekolah-sekolah menengah pada 2013 nanti.

“Bukan itu sahaja, mereka juga boleh mengikuti PAV di kolej vokasional ataupun institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau swasta, yang menawarkan latihan kemahiran,” tegas beliau lagi.

Pada majlis itu, Fatimah turut menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang Ruang Pameran Terbaik pada BPIEF 2011, yang menyaksikan ACCA Malaysia muncul juara diikuti Baking Industry Training Centre (Singapore) Pte Ltd di tempat kedua dan Universiti UCSI, ketiga.

No comments: