Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata apa yang penting pada masa ini adalah untuk melihat ke hadapan terutama dalam tempoh lapan tahun akan datang, tentang bagaimana mencapai hasrat menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020.
Semalam, Najib memohon maaf bagi pihak BN atas kesilapan lalu sehingga kalah banyak kerusi dan beberapa negeri termasuk Kedah dalam pilihan raya umum (PRU) 2008, tetapi berjanji akan membetulkannya dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Muhyiddin berkata, beliau percaya rakyat sudah mula faham dengan langkah kerajaan memperkenalkan pelbagai program transformasi serta konsep gagasan 1Malaysia yang bertujuan memperbaiki kelemahan serta menambah baik segala usaha yang dilakukan selama ini.
"Macam transformasi nasional, ia mencakupi semua perkara...ekonomi, kerajaan, politik, luar bandar dan pendekatan baru yang diambil perdana menteri dan kerajaan BN pada hari ini. Semuanya masyarakat sudah dapat lihat impak yang agak begitu berkesan dan ini beri satu harapan baru," katanya.
Beliau berkata, kefahaman dan penerimaan rakyat tentang semua perkara tersebut memperlihatkan keyakinan baru di kalangan mereka tentang keupayaan kerajaan BN.
Katanya kekalahan pada PRU-12 telah memberi keinsafan kepada BN tentang apa yang perlu dilakukan dan diperbaiki, termasuk oleh wakil-wakil parti di seluruh negara. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment