Kerajaan sentiasa fikir apa yang baik untuk rakyat, majukan negeri ini, kata Najib
BINTULU: Kerajaan pusat tidak pernah menolak untuk memikirkan apa yang baik untuk rakyat Sarawak khususnya dalam memajukan negeri ini.Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kita telah ada permuafakatan menjangkau apa yang ditulis dalam perlembagaan dan dokumen penting yang lebih bermakna termaktub persefahaman yang wujud antara pemimpin kerana kita ikhlas membangunkan Sarawak di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).
Katanya di Sarawak ini yang merdeka dalam Malaysia banyak yang telah menjadi kenyataan.
“Sampai hari ini permintaan rakyat Sarawak, kerajaan pusat tidak pernah menolak apa yang difikirkan baik untuk rakyat negeri ini.
“Sarawak bukan sehari dua maju tetapi telah lama maju di bawah BN. Kepimpinan menyaksikan kemajuan demi kemajuan misalnya pengwujudan universiti baharu di Sibu, tarikan pelaburan RM30 bilion untuk Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang semuanya kita beri sokongan,” ujarnya berucap pada majlis Rumah Terbuka Hari Malaysia 2012 di Kampung Assyakirin, semalam.
Katanya cadangan Sarawak untuk pembangunan Empangan Hidroelektrik Bakun dengan pembangunan SCORE turut kita persetujui termasuk banyak lagi perkara lain yang dilakukan.
Justeru katanya: “Hari Malaysia dan Hari Kemerdekaan satu yang signifikan bagi kita, tidak perlu pertikaikan dua tarikh keramat itu.
“Sarawak telah merdeka dalam Malaysia, tidak ada gunanya kita memandang ke belakang sebaliknya perlu ke depan untuk menjadikan negara Malaysia maju sepenuhnya dan berpendapatan tinggi,” jelasnya.
Beliau berkata kepimpinan bukan diwarisi dalam erti kata harta pusaka tetapi kepimpinan adalah dapat menyambung dari satu era ke satu era.
“Kita yakin kepimpinan memahami dan menghayati serta tahu aspirasi rakyat adalah tidak lain di bawah kerajaan BN,” katanya.
Jelasnya untuk membangunkan sebuah negara, bangsa dan tamadun tidak akan menjadi kenyataan dalam masa singkat, tidak mungkin dalam satu generasi segala impian akan terlaksana.
“Waktu merdeka apabila Tunku Abdul Rahman melaungkan merdeka tujuh kali bermakna dengan kemerdekaan itu kita telah berjaya membangunkan negara bermaruah, inilah janji kita,” katanya.
Katanya, ia bukan sekadar laungan merdeka tetapi memastikan merdeka dalam erti kata merubah landskap sosiopolitik negara selama-lamanya yang kini telah menjadi kenyataan.
Sementara itu, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata kesinambungan di bawah pimpinan Najib merupakan jaminan terhadap pembangunan di Sarawak.
Katanya perjuangan membangunkan sesebuah negara memerlukan kestabilan politik – seperti yang ada sekarang di bawah pemerintahan Barisan Nasional.
Antara contoh terbaik pembangunan berkesinambungan ialah perkembangan bandar Bintulu yang diusahakan oleh bekas Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Razak.
“Sekarang pembangunan Bintulu bukan sahaja bertumpu kepada gas cecair asli, tetapi juga usaha untuk mengadakan industri yang canggih menerusi SCORE,” katanya.
Read more: http://www.theborneopost.com/2012/09/17/bn-ikhlas-bangun-sarawak/#ixzz26gOSILyA
No comments:
Post a Comment