September 9, 2012

Kemajuan terus dikecapi

SELAMAT PANJANG UMUR: Tun Salahuddin memotong kek hari jadi disaksikan oleh Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah dan Taib semasa Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa di Stadium Miri semalam.
MIRI: Sarawak terus mengecapi pelbagai perubahan kemajuan bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana perancangan program pembangunan yang teliti, teratur dan memanfaatkan semua rakyat.
Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, perubahan yang dirancang tidak membabitkan janji-janji palsu tetapi mendahulukan kebaikan rakyat secara menyeluruh.
“Dalam pilihan raya, rakyat tahu apa yang kita cakap ialah perkara yang kita punyai hasrat yang serius untuk melaksana, bukan janji melepas kata memancing undi, selepas itu dilupa.
“Inilah sebabnya mengapa BN memerintah negeri ini dan ini sebab Sarawak senantiasa bergerak lebih tinggi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena sambutan Hari Jadi Ke-91 Yang di-Pertua Ne-geri Tun Datuk Patinggi Abang  Muhammad Salahuddin di Stadium Miri, semalam.
Taib berkata, perubahan yang diidamkan sekarang adalah keupayaan mentransformasikan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi dan menjana pembangunan Wawasan 2020.
Antara usaha kerajaan negeri memantapkan keupayaan ekonomi ne-geri ialah menerusi projek-projek mega dalam Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), katanya.
Perubahan yang dijanjikan BN, jelasnya, akan dikotakan tetapi bukan dijadikan sebagai umpan untuk menarik perhatian rakyat seperti yang kerap dipraktikkan oleh parti lawan khasnya semasa kempen pilihan raya.
“Setiap kali pilihan raya, ada perubahan baharu, ada gambaran dari dasar yang telah dicipta untuk membawa perubahan yang baik dan terus berlangsung. Pembangunan dari satu peringkat akan disatukan dengan peringkat yang lebih tinggi lagi,” jelasnya.
BN Sarawak, katanya, tidak ber-sifat angkuh dengan menggembar-gemburkan usaha mereka mentransformasikan negeri selama ini.
Menurut beliau, sikap berkenaan ibarat sikap penyu yang hanya berdiam diri di tepi pantai tetapi banyak mengeluarkan telur.
Tentang kepimpinan di Sarawak, Taib berkata, pertukaran kepimpinan harus dirancang dengan teliti dalam tempoh masa yang sesuai agar rakyat mendapat  jaminan daripada barisan pemimpin baharu.
Pertukaran kepimpinan yang drastik, katanya, dikhuatiri akan menjejaskan kestabilan politik dan sosial rakyat pelbagai kaum di negeri ini serta membantutkan projek-projek pembangunan yang dirancang untuk mengangkat status ekonomi negeri.
“Dalam keadaan demikian (di Sara-wak), pertukaran kepimpinan ber-jalan dengan teratur, cukup meng-ambil perkiraan dalam keadaan yang baik dan mengambil perkiraan me-ngenali hasrat rakyat yang sebenar-nya,” jelasnya.
Sementara itu, Taib menyanjung tinggi kepimpinan Tun Salahuddin dan mengucap tahniah kepada beliau kerana berjaya menjadi Payung Negeri Sarawak dengan baik sekali.
“Tun sendiri telah menyaksikan banyak perubahan,” kata Taib. “Sejak 49 tahun menyertai Malaysia, rakyat Sarawak berbangga dengan pencapaian yang dibangunkan oleh BN dan mahu kerajaan memimpin negeri ini dan membawa lebih ba-nyak pembangunan sebagai negeri berpendapatan tinggi.
“Tahun baharu (2013) kita akan meraikan tahun ke-50 Sarawak dalam Malaysia, kita meraikannya dengan perasaan syukur dan cukup bangga kerana usaha rakyat kita telah nampak oleh mereka sendiri,” ujarnya.

No comments: