January 4, 2013

Lebih ramai pesara tentera akan dibantu di bawah 1MVHR, kata Zaki

BAU: Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM menjangkakan lebih ramai pesara tentera di negeri akan dibantu di bawah Program 1Malaysia Veteran Home Repair (1MVHR) tahun depan.
Penglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar berkata program ini merupakan permulaan kepada projek transformasi kerajaan untuk membantu pesara-pesara tentera.
Katanya mesyuarat National Blue Ocean Strategy Summit (NBOSS) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 22 Jun 2012, telah memutuskan agar strategi laut biru ini dibangunkan dengan jayanya bagi membantu anggota veteran ATM.
“Setakat ini terdapat 38 permohonan diterima bagi program 1MVHR yang disalurkan kepada JHEV untuk menentukan sama ada layak atau sebaliknya sebelum dikembalikan semula kepada ATM untuk pelaksanaannya.
“Kami menjangkakan ramai lagi akan memohon bagi program ini seperti sebelumnya, strategi laut biru tiga di mana sebanyak 376 permohonan diterima dan dilaksanakan oleh warga tentera yang sedang berkhidmat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan rumah 1MVHR kepada Engker Jising, 49, balu kepada Koperal Rabber Liso yang pernah berkhidmat selama 12 tahun sebagai anggota ATM sehingga 1986.
Simbolik penyerahan kunci rumah telah dilakukan oleh Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah sambil disaksikan oleh Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah dan lain-lain.
Zaki yang ditemui di Dewan Redeem Kampung Apar di sini semalam menambah, penyerahan rumah kepada pesara tentera di bawah strategi laut biru tujuh merupakan lanjutan daripada strategi laut biru tiga untuk pesara-pesara tentera sama ada berpencen atau tidak.
Bantuan katanya, dalam dua bentuk bina baharu, bantuan diberikan kepada kumpulan sasar yang tidak mempunyai rumah atau rumah yang diduduki ketika ini terlalu uzur, tidak selamat ataupun tidak ekonomi untuk dibaiki.
Manakala bantuan bentuk kedua, baik pulih diberikan kepada kumpulan sasar yang mempunyai rumah uzur tetapi masih ekonomi untuk dibaiki melibatkan komponen-komponen asas rumah seperti asap, dinding dan lantai.
Dalam pada itu kos membina baharu rumah Engkar menelan perbelanjaan sebanyak RM48,000 dan untuk daerah Bau sahaja sebanyak empat rumah terlibat dalam program ini melibatkan tiga buah rumah bina baharu dan sebuah rumah baik pulih.
Bilangan keseluruhan projek 1MVHR bagi negeri ini yang diberikan kepada ATM adalah sebanyak 16 rumah, enam daripadanya bina baharu manakala selebihnya 10 rumah baik pulih.

No comments: