SINGAPURA 14 Nov. - Negara- negara Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) sepakat berusaha mengukuhkan lagi kedudukan setiap ekonomi masing-masing untuk mencapai pemulihan daripada krisis sepenuhnya seperti yang diharapkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mesyuarat pemimpin APEC hari ini bersetuju bahawa walaupun krisis global pada tahap paling buruk sudah reda tetapi pemulihan sepenuhnya belum berlaku, lebih-lebih lagi dalam bentuk ekonomi sebenar.
Dalam hal ini, Najib berkata, sidang APEC menolak dasar perlindungan dari segi perdagangan kerana ia akan menyebabkan terencatnya pemulihan ekonomi dunia.
"Semua negara akan rugi sekiranya trend dasar perlindungan diteruskan," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.
Kesepakatan pemimpin-pemimpin APEC mengenai keadaan ekonomi dunia hari ini menjawab persoalan asas yang dikemukakan dalam sidang ini, sama ada krisis sudah berlalu atau belum.
Apa yang dimaksudkan dengan ekonomi sebenar pula ialah perkara berkaitan dengan produk serta perkhidmatan dan bukannya jual beli mata wang atau saham semata-mata.
Untuk mengukuhkan pemulihan ini, menurut Perdana Menteri, mesyuarat APEC juga bersetuju supaya rundingan Pusingan Doha di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) diselesaikan tahun depan.
"Setiap negara perlu mengarahkan perunding mereka bekerja keras mencari penyelesaian," kata beliau.
Najib menambah, APEC juga bersetuju mencari jalan penambahbaikan perhubungan antara negara-negara Asia Pasifik, baik dalam bentuk fisikal mahupun udara.
Ketetapan ini adalah selaras dengan tema sidang APEC kali ini iaitu Memperkukuhkan Pertumbuhan, Menghubungkan Rantau sebagai usaha meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi, kerjasama, perdagangan dan pelaburan merentas rantau Asia Pasifik, katanya.
Perdana Menteri juga memberitahu, pemimpin APEC turut bersetuju perlunya memudahkan urusan perniagaan di kawasan dan merentas sempadan Asia Pasifik.
Tahun depan juga, katanya, penilaian akan dibuat atas Matlamat Bogor yang diputuskan dalam sidang APEC 1994 di Bogor, Indonesia yang menetapkan perdagangan dan pelaburan bebas dan terbuka di Asia Pasifik menjelang 2010 bagi negara maju dan 2020 bagi negara membangun.
APEC juga, menurut Perdana Menteri, menyatakan pentingnya untuk membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (SME) secara tersusun dari segi penyelidikan dan pembangunan (R&D), teknologi baru dan rangkaian bekalan.
"SME adalah teras ekonomi bagi APEC, termasuk Malaysia ," katanya.
Beliau turut menjelaskan hasil pertemuannya dengan Presiden Chile , Michelle Bachelet dan Perdana Menteri Australia , Kevin Rudd.
Katanya, Chile mahu menyempurnakan persetujuan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Malaysia dan berharap dapat melawat negara ini bagi menandatangani perjanjian itu.
Bagaimanapun tambah beliau, rancangan awal untuk melawat Malaysia selepas sidang APEC ini ditangguhkan berikutan rundingan perjanjian itu belum selesai.
Dengan Australia pula, kata Najib, FTA masih dalam rundingan dengan negara itu menawarkan bantuan latihan vokasional untuk rakyat Malaysia.
Rakan sejawatan dari Australia itu juga mengundang Perdana Menteri untuk mengadakan lawatan rasmi.
Pihak Australia, menurut Najib, mahu Malaysia membanteras sindiket penyeludupan manusia.
Mengenai sidang kemuncak Amerika Syarikat dengan ASEAN esok, beliau berkata, kesediaan Presiden Barack Obama menghadirinya menunjukkan pentadbiran beliau menganggap pertubuhan ini penting dalam peranannya membawa kepada integrasi serantau yang lebih luas pada masa depan. - Mingguan