November 15, 2009

Khidmat masyarakat

MUAR 14 Nov. - Bermula dengan pengambilan akhir tahun ini, individu yang ingkar menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan dikenakan hukuman khidmat masyarakat bagi menggantikan hukuman penjara dan denda.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, hukuman baru itu adalah selaras dengan pindaan Akta Latihan Khidmat Negara 2003 yang dikuatkuasakan 1 November lalu.

"Akta Latihan Khidmat Negara (Pindaan) 2009 ini akan bermula bagi panggilan kemasukan pelatih Kumpulan 1 Tahun 2010.

"Kesan pindaan ini adalah para pelatih yang ingkar untuk menjalani PLKN apabila notis panggilan disampaikan akan dikenakan hukuman khidmat masyarakat jika sabit kesalahan," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Homestay (Inap Desa) 1Malaysia anjuran Kelab Alumni PLKN di Kampung Sarang Buaya, di sini hari ini.

Seramai 6,804 pelatih gagal melaporkan diri untuk menyertai PLKN sejak program itu diperkenalkan pada 2003.

Mengikut hukuman asal yang diperuntukkan, para pelatih yang ingkar boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan akta berkenaan, terdapat dua jenis pelatih ingkar iaitu di bawah Seksyen 18 apabila tidak melaporkan diri terhadap notis panggilan yang diberikan dan Seksyen 19 kerana melarikan diri semasa menjalani PLKN.

Abdul Hadi berkata, pindaan hukuman tersebut dilaksanakan bagi mengelakkan para pelatih mempunyai rekod buruk sehingga menjejaskan masa depan mereka.

"Secara amnya, hukuman khidmat masyarakat ini melibatkan apa-apa kerja, perkhidmatan atau pelaksanaan arahan bagi kebaikan orang awam.

"Pelatih yang dikenakan hukuman ini jika sabit kesalahan turut tidak akan terlepas daripada menjalani PLKN," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan hukuman berkenaan adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ia turut tertakluk kepada apa-apa syarat yang dinyatakan oleh mahkamah.

Sementara itu, Abdul Hadi berbangga dengan inisiatif Kelab Alumni PLKN menghimpunkan seramai 130 bekas pelatih dari seluruh negara untuk mengikuti program inap desa yang diyakini dapat memberi bakti kepada masyarakat setempat.

"Saya berharap juga kerjasama daripada Kelab Alumni untuk membantu JLKN dalam kajian yang dijalankan terhadap keberkesanan PLKN selama ini.

"Pihak jabatan menyasarkan kajian yang bermula 1 November lalu hingga 7 Disember ini akan dapat menghimpunkan seramai 60,000 responden," katanya.

Pada majlis yang turut dihadiri Presiden Kelab Alumni PLKN, Mohd. Firdaus Md. Alip itu, Abdul Hadi turut merasmikan laman web baru kelab tersebut iaitu wwww.alumniplkn.com.my.


Sumber : Utusan Malaysia Online

No comments: