November 8, 2009

Amalkan disiplin penuhi konsep 1Malaysia

KUALA LUMPUR 7 Nov. - Setiap ahli Pandu Puteri diingatkan supaya lebih berdisiplin agar memenuhi konsep 1Malaysia.

Yang Dipertua Pandu Puteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, segala usaha bagi merealisasikan konsep itu perlu dipikul bersama agar persatuan itu ditonjolkan sebagai pasukan yang boleh membina disiplin diri anak-anak gadis remaja.

Beliau bangga dengan penglibatan ahli Pandu Puteri Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, sekali gus mencerminkan persatuan itu benar-benar mengamalkan konsep 1Malaysia.

Isteri Perdana Menteri percaya sistem disiplin yang diamalkan oleh ahli-ahli Pandu Puteri dapat membentuk mereka untuk berdikari dan berjaya dalam kehidupan kelak.

"Kita juga sering melihat badan-badan sukarela seperti Persatuan Pengakap, Persatuan Bulan Sabit Merah dan Pandu Puteri mempunyai sistem tersendiri yang bermatlamat memaju dan memanfaatkan seseorang individu.

"Dalam mengaplikasikan sistem ini, saya lihat perkara asas yang ditekankan adalah disiplin," katanya.

Rosmah berucap pada majlis meraikan beliau sebagai Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia yang baru di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan logo 1Malaysia Pandu Puteri.

"Saya yakin Perdana Menteri juga akan bersama-sama saya untuk berasa bangga dengan semangat muhibah ini yang mana persatuan wanita tertua di negara ini turut menyahut gagasan 1Malaysia.

"Sama-samalah kita buktikan bahawa konsep 1Malaysia memang sudah lama wujud dan menjadi teras dalam prinsip keahlian Persatuan Pandu Puteri Malaysia," jelasnya.


Sumber : Utusan Online

No comments: