November 26, 2009

RM1j bantuan banjir di Kelantan

RANTAU PANJANG 25 Nov. - Kerajaan Pusat membelanjakan hampir RM1 juta bagi menyediakan pelbagai bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan setakat ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, ia bukan sahaja melibatkan keperluan mangsa di pusat pemindahan malah bantuan kepada mereka yang terputus hubungan.

"Saya telah beri arahan supaya bantuan juga dihantar ke rumah mangsa yang tidak ditenggelami air tetapi terputus hubungan kerana kawasan di sekitarnya banjir.

"Selain itu, saya nasihatkan penduduk supaya janganlah degil nak berpindah terutama sekali kalau air dah sampai ke paras dada kerana kerajaan risau keselamatan mereka," tambahnya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir yang masih ditempatkan di Sekolah Menengah Gual Tinggi, Rantau Panjang di sini hari ini.

Beliau turut ditanya mengenai rungutan bahawa makanan yang dibekalkan kepada mangsa di beberapa pusat pemindahan tidak mencukupi.

Katanya, ia berlaku disebabkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) mengambil masa lama untuk menghantarnya disebabkan banyak jalan ditutup akibat banjir.

"Kelewatan tersebut berlaku pada hari pertama banjir kerana tumpuan kita waktu itu adalah untuk mengeluarkan mangsa dari kediaman masing-masing,'' katanya.

Beliau turut menolak kemungkinan ada pihak cuba mengambil kesempatan dengan mensabotaj peruntukan yang diberikan kerajaan untuk membantu masalah banjir di negeri ini.

Sumber : Utusan online

No comments: