November 1, 2009

Ambil kira kehendak rakyat

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan sedia melaksanakan dasar sekolah satu aliran sekiranya itu kehendak rakyat negara ini.

Tegas Perdana Menteri, dalam melaksanakan dasar itu, kehendak rakyat perlu diambil kira kerana kerajaan tidak mahu ia menyebabkan perbalahan dan kesan buruk kepada masyarakat.

Beliau berkata, tiada gunanya dasar sekolah satu aliran diperkenalkan jika akhirnya ia boleh mencetuskan ketegangan dalam hubungan antara kaum.

“Kita hanya akan mengubah dasar (kepada satu aliran) berdasarkan kehendak masyarakat kita. Jika masyarakat bersedia buat perubahan kita akan ubah dan selagi mereka tidak bersedia, kita akan kekalkan seperti sedia ada.

“Tujuan kita (laksanakan dasar ini) adalah untuk kebaikan iaitu pupuk perpaduan tetapi jika keputusan itu sendiri membawa kepada ketegangan antara kaum, apa maknanya?” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis perhimpunan Perdana Menteri bersama warga kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini hari ini.

Perdana Menteri mengulas saranan Ahli-ahli Parlimen yang meminta kerajaan menyusun semula sistem pendidikan negara termasuk melaksanakan sekolah satu aliran bagi memastikan perpaduan antara kaum dapat dicapai.

Ia rentetan cadangan sekolah satu aliran dikemukakan oleh Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim baru-baru ini bagi merealisasikan matlamat 1Malaysia.

Bagaimanapun, MIC dan MCA menentang cadangan melaksanakan sistem pendidikan satu aliran dengan menyatakan bahawa sekolah jenis kebangsaan yang ada tidak menghalang usaha ke arah mewujudkan perpaduan nasional.

Dalam perkembangan sama, Najib berkata, sistem pendidikan di negara ini telah bermula dengan pelaksanaan dasar sekolah pelbagai aliran yang berasaskan kepada kumpulan etnik dan komuniti.

Beliau berkata, melalui dasar itu setiap rakyat berhak memilih jenis pendidikan yang mereka kehendaki.

“Oleh itu, jika kita hendak ubah iaitu memperkenalkan sekolah satu aliran ia memerlukan satu perubahan dan anjakan besar dari segi dasarnya.

“Apakah rakyat kita bersedia menafikan hak mereka untuk memilih apa jenis pendidikan? Saya fikir perkara ini belum ada kata putus dalam masyarakat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengakui terdapat sebahagian masyarakat yang mahukan sekolah satu aliran.

“Ada yang fikir baik ada satu aliran tetapi ada juga yang fikir bahawa dia (rakyat) hendakkan hak untuk memilih.

“Saya tidak mahu berlaku perbalahan dalam masyarakat kita kerana soal pendidikan ini amat sensitif,” katanya.

Sumber : Malaysiakini

No comments: