November 26, 2009

PM: Kita mampu main peranan

WASHINGTON 25 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, berlatar belakangkan kepelbagaian budaya dan toleransinya, Malaysia mampu memainkan peranan berkesan dalam menggalakkan persefahaman lebih mendalam antara negara-negara Islam dan Barat serta pihak lain yang mempunyai jurang perbezaan.

Perdana Menteri berkata, Malaysia mempunyai keupayaan untuk bekerjasama dengan negara dan komuniti lain.

"Dunia mungkin mempunyai masalahnya tetapi ini dapat diselesaikan berdasarkan persefahaman mendalam antara satu sama lain. Malaysia sedia menyumbang ke arah menjadikan dunia ini satu tempat yang lebih baik," katanya pada satu majlis yang dihadiri rakyat Malaysia di Kedutaan Malaysia di sini semalam sempena lawatan beliau ke Washington.

Najib tiba di ibu negara Amerika Syarikat ini dalam keadaan hujan. Beliau sebelum itu berada di New York untuk bertemu pelabur Amerika dan pengurus dana dalam usaha menarik pelaburan ke Malaysia.

Kemesraan dalam kalangan rakyat Malaysia pelbagai kaum terserlah pada majlis itu yang dianjurkan oleh Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Dr. Jamaluddin Jarjis.

Tetamu dijamu sate, mi goreng dan pelbagai juadah Malaysia.

Dalam ucapannya, Najib mengulangi harapannya agar Malaysia mencapai pertumbuhan ekonomi antara lima dan enam peratus tahun depan.

"Kadangkala ekonomi melalui tahap mendatar, maka kita harus bertindak mencapai kemajuan lebih tinggi," kata Perdana Menteri.

Najib yang diiringi Datin Seri Rosmah Mansor akan berlepas ke Trinidad and Tobago pada Rabu untuk menghadiri Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel.

Sumber - Bernama

No comments: