January 29, 2010

Landskap baru sosio ekonomi negara

KUALA LUMPUR 28 Jan. – Program Transformasi Kerajaan (PTK) yang digarap hasil daripada kehendak dan harapan rakyat bakal membawa satu perubahan besar terhadap landskap sosio ekonomi negara.

Dengan berpandukan kepada enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA), Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, PTK akan dilaksanakan secara telus, ikhlas, penuh tanggungjawab serta komitmen yang tinggi.

Najib mengakui dalam keadaan sekarang, rakyat amat memerlukan satu bentuk gagasan seperti PTK yang boleh dijadikan momentum ke arah meningkatkan taraf kehidupan mereka.

“Sebagai kerajaan yang telus dengan berlandaskan prinsip kebertanggungjawaban kita tidak akan berhenti daripada melakukan perubahan ini selagi rakyat tidak merasai, menyentuh dan mengalaminya sendiri.

“Namun, usaha ini sudah pasti akan dinilai oleh rakyat sama ada kita benar-benar menunaikan janji atau sebaliknya. Ada risikonya dan sebagai kerajaan bertanggungjawab kita reda ditentukan oleh rakyat apabila tiba masanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan program PTK di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dihadiri oleh 5,000 orang di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala.

Hadir sama, menteri-menteri yang mengetuai NKRA antaranya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Enam NKRA itu ialah meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan, mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman dan menambah baik pengangkutan awam.

Najib berkata, dalam menerima penilaian rakyat, kerajaan tidak terlepas daripada dilihat pencapaiannya secara lebih menyeluruh.

“Kita telah memaklumkan kepada rakyat mengenai enam NKRA. Dalam hal ini, rakyat pasti akan melihat apa pencapaian kita. Berapa kilometer jalan telah dibuat, berapa jumlah murid prasekolah, berapa jumlah golongan miskin tegar yang berjaya kita bebaskan.

“Bagaimana dengan penurunan kadar jenayah, berapa orang yang menggunakan pengangkutan awam dan bagaimana pula dengan komitmen kita memerangi rasuah. Ini semua akan dinilai oleh rakyat,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata, PTK bukannya satu gagasan baru sebaliknya ia merupakan kesinambungan misi dan visi yang telah diasaskan oleh dua Perdana Menteri sebelum ini iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Tun Mahathir dengan Wawasan 2020 manakala Tun Abdullah dengan Misi Nasionalnya. Atas sebab itu, matlamat dan objektif PTK akhirnya mencapai Wawasan 2020.

“PTK merupakan sebahagian daripada agenda kita untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi dan ia sebenarnya merupakan kesimpulan daripada hasrat rakyat dan jangkaan rakyat.

“Kita melaksanakannya bukan secara rambang tetapi berdasarkan kepada penilaian secara objektif,” katanya.

Mengenai skop PTK, Najib berkata, ia merangkumi setiap kementerian dalam kerajaan dengan memberi tumpuan terhadap perkara-perkara utama yang amat penting bagi rakyat agar sejajar dengan konsep ‘Rakyat Didahulukan’.

“Kerajaan kemudian akan melakukan perubahan-perubahan yang penting demi mendatangkan hasil yang besar dan cepat selaras dengan konsep ‘Pencapaian Diutamakan’.

“Ia bagi memastikan setiap warga Malaysia sama ada kaya atau miskin, di bandar atau di kampung, berpelajaran atau tidak berpelajaran, berkuasa atau tidak berkuasa akan menikmati hasil pembangunan negara serta tinggal dalam masyarakat pelbagai dan bersatu,” katanya.

Kata Najib, apa yang dihasratkan itu sejajar dengan konsep 1Malaysia.

Najib sedar bahawa mengubah kerajaan bukan perkara mudah dan antaranya terpaksa berhadapan dengan pelbagai kekangan serta halangan seperti sasaran tidak tercapai, inisiatif tidak mendatangkan hasil selain penolakan daripada masyarakat.

“Malah kita perlu bersedia untuk berhadapan dengan keadaan yang lebih merosot atau seolah-olah semakin merosot sebelum ia menjadi lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun ada cabaran-cabaran yang tidak dapat dielakkan, kerajaan akan tetap bertahan dan berusaha mencapai matlamat.

No comments: