September 11, 2011

Institut Pusat Penyelidikan Asia dan Pasifik akan ditubuh di UiTM Sarawak

KUCHING: Sarawak dijangka mempunyai sebuah lagi institut penyelidikan yang berpangkalan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak pada masa akan datang.

Cadangan penubuhan institut yang dinamakan Institut Pusat Penyelidikan Asia dan Pasifik itu merupakan hasil kerjasama antara UiTM Sarawak bersama Century Foundation Bangalore, India.

Presiden Century Foundation Bangalore daripada Universiti Bangalore Profesor Madya Dr Sivaram berkata, agenda mengenai perkara telah dibincangkan bersama pihak UiTM.

“Namun ia perlu mendapat pertimbangan daripada kerajaan Malaysia amnya dan Sarawak khasnya dan kemudian barulah kita memulakan usaha itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Kongres Biodiversiti Sedunia Kedua yang disempurnakan Menteri Muda Alam Sekitar Datuk Peter Nansian Ngusie di sini, semalam.

Sehubungan itu, kata Sivaram satu mesyuarat yang mungkin akan diadakan di Bangalore, India bersama kerajaan Sarawak, yang menjemput wakil UiTM serta kerajaan sendiri.

Ia ujar beliau mengenai mobiliti serta logistik untuk menubuhkan institut penyelidikan itu.

Kata Sivaram, inisiatif pusat itu nanti akan memperlihatkan semua aspek flora dan fauna di Sarawak yang bakal memberi manfaat kepada negeri ini.

Sementara itu Nansian berkata, bagi mengekalkan kelestarian alam semula jadi di negeri ini, ia memerlukan pendekatan yang disusun dengan baik serta profesional.

“Justeru kita menyambut baik hasrat penubuhan pusat yang kita jangkakan memberi manfaat untuk biodiversiti kita dan pada masa yang sama memeliharanya,” tegas beliau.

Nansian berharap dalam usaha itu nanti, ia turut menjadikan UiTM Sarawak sebagai salah satu daripada pengasas institut pusat terbabit.

Terdahulu Rektor UiTM Sarawak Profesor Dr Jamil Hamali dalam ucapannya berkata, UiTM berhasrat menjalin hubungan yang lebih kukuh dan berkekalan dengan Century Foundation Bangalore, India.

Beliau berkata, ia melalui rancangan menubuhan Institut Pusat Penyelidikan Asia dan Pasifik berpangkalan di UiTM Sarawak.

“Ia sebagai satu platform mewujudkan hubungan di kalangan saintis dan kepakaran antarabangsa melalui rakan kongsi dan usaha sama penyelidikan menggunakan geran antarabangsa bagi meningkatkan kekuatan maklumat penyelidikan global,” katanya.

Kongres selama tiga hari bermula semalam itu disertai kira-kira 200 peserta dari 31 negara yang menyaksikan India peserta terbanyak iaitu 60 orang diikuti Iran seramai 19 orang delegasi.

No comments: