September 4, 2011

Ukiran patung buaya kuno tarikan pelancong ke S’wak

MIRI: Ukiran patung-patung buaya kuno bakal menjadi satu lagi tarikan pelancongan berasaskan ekologi di Sarawak untuk menarik kedatangan pelancong.

Diukir daripada tanah dan digunakan sebagai sebahagian ritual masyarakat kaum Iban dan Lun Bawang, patung berusia 3,000 tahun itu melambangkan semangat buaya yang kental.

Reptilia tropika itu yang boleh hidup dalam air dan daratan telah wujud lebih awal daripada dinosaur yang menguasai dunia berjuta-juta tahun dahulu.

Pengarah Muzium Sarawak, Ipoi Datan berkata, patung berkenaan yang melambangkan semangat juang buaya, ditemui di lebih 70 lokasi antara Bahagian Betong di selatan negeri ini dan Lawas, daerah di hujung utara Sarawak.

“Kami telah menjalankan kajian di tapak-tapak patung berkenaan pada 2004 dan kerja itu dipergiatkan lagi tiga tahun kemudiannya.

“Penemuan terbesar setakat ini ialah ukiran patung sepanjang 53 kaki (16.2 meter),” katanya di sini baru-baru ini.

Daripada kaji selidik yang dijalankan, beliau berkata ,lebih 40 tapak milik masyarakat Iban ditemui antara Bahagian Betong dan Balingian di Bahagian Mukah.

Katanya, masyarakat Iban yang menjalankan pertanian padi bukit mempunyai kepercayaan tradisi bahawa patung itu memainkan peranan dalam melindungi tanaman mereka.

“Patung itu akan digunakan dalam ritual ‘Malik Umai’, di mana masyarakat petani tradisional Iban percaya ia (patung) memiliki semangat buaya untuk menakutkan dan menghalau haiwan perosak yang cuba memusnahkan tanaman mereka,” kata Ipoi.

Dalam kes masyarakat kuno Lun Bawang, beliau berkata, patung buaya diukir untuk menjadi lambang pada perayaan meraikan kejayaan memburu kepala.

Beliau berkata, patung tanah yang mengeras selepas beberapa tahun juga dijadikan sebagai penanda sempadan tanah.

Dengan penghijrahan anggota masyarakat Lun Bawang ke luar negeri ini, katanya ,mereka turut membawa bersama tradisi mereka yang telah membawa kepada penemuan patung-patung buaya di negeri jiran, Sabah.

Beliau berkata, nilai arkeologi patung-patung berkenaan adalah setanding dengan megalit atau struktur batu yang ditemui di Sarawak. — Bernama

No comments: