September 18, 2011

PM terima 7,000 permohonan daripada bekas penyokong pembangkang untuk sertai BN

SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menerima 7,000 borang permohonan daripada bekas penyokong pakatan pembangkang untuk menyertai Barisan Nasional (BN).

Beliau menerima borang tersebut yang diserahkan oleh beberapa wakil bekas penyokong pembangkang dari kawasan Sri Muda, Shah Alam, Bukit Kemuning, Puchong, Bukit Jalil, Ijok dan Petaling Jaya pada majlis ramah mesra pemimpin-pemimpin BN ‘Sirih Pulang ke Gagang’ di sini.

Mereka adalah bekas penyokong pakatan PAS-DAP-PKR pada 2008 tetapi kini telah hilang kepercayaan terhadap kerajaan yang memerintah Selangor kini serta telah mengambil keputusan menyokong BN.

Najib ketika berucap pada majlis tersebut menyifatkan tindakan mereka sebagai mencerminkan tahap keyakinan dan kepercayaan kepada kerajaan BN dapat dipulihkan sejak pilihan raya umum 2008.

Sambil berterima kasih di atas sokongan mereka terhadap BN, Najib berkata:

“Saya rasa amat terharu atas persetujuan tuan-tuan dan puan-puan untuk menyokong BN kerana kita berhasrat untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang kuat lagi utuh kerana kestabilan politik merupakan akar tunjang kepada masa depan negara kita.”

Beliau berkata, sekiranya keadaan politik terumbang-ambing dan tidak menentu serta tiada kestabilan politik, kesannya kepada negara adalah amat buruk.

Katanya, pelabur luar dan dalam negara akan bertanya sama ada wujud kestabilan politik di Malaysia sebelum membuat keputusan melabur.

“Jika kita dapat tunjukkan rakyat di Malaysia majoritinya menyokong BN saya percaya kesan pada ekonomi negara kita akan begitu memberangsangkan sekali dan kita akan mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang jauh lebih tinggi lagi,” katanya.

Perdana Menteri berkata, aliran modal ke Malaysia akan membuka peluang pekerjaan dan kadar pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi.

“Tentu tuan-tuan puan-puan mempunyai anak yang memerlukan pekerjaan dan ini akan jadi kenyataan jika kita boleh menambahkan pelaburan di dalam negara,” katanya.

Najib berkata, kerajaan BN menyusun langkah untuk menolong semua kaum di negara ini termasuk golongan miskin dan berpendapatan rendah.

BN juga akan membantu menyelesaikan masalah yang khususnya dihadapi oleh kaum India seperti ketiadaan MyKad, sijil kelahiran di mana kerajaan telah menubuhkan pasukan khas bagi menyelesaikan masalah ini, katanya.

“Saya percaya banyak masalah sudah diselesaikan dan dalam masa terdekat banyak lagi masalah seperti ini akan diselesaikan oleh kerajaan BN,” katanya.

Sementara itu, salah seorang wakil bekas penyokong pembangkang memberitahu pemberita bahawa mereka menyokong BN kerana ada pemimpin pakatan tersebut yang tidak menunaikan janji kepada mereka dan liat untuk membantu menyelesaikan masalah mereka.

K.Vijayakumar, 29, bekas Anggota Jawatankuasa PKR Cabang Bukit Kemuning berkata, beliau berasa tertipu apabila mengadukan masalah rakyat seperti masalah banjir dan jawapan yang diterima mengecewakan iaitu masalah itu perlu dirujuk kepada kerajaan pusat. — Bernama

No comments: