September 25, 2011

Sambutan Hari Jadi TYT meriah, harmoni

KUCHING: Sambutan Hari Jadi Ke-90 Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin diadakan dalam suasana meriah dan harmoni.

Kehadiran ribuan rakyat Sarawak berbilang kaum memenuhi Padang Merdeka sejak jam 6.30 pagi lagi untuk meraikan sambutan itu semalam menunjukkan cinta rakyat terhadap pemimpin tertinggi negeri itu.

Sambutan itu dimulakan dengan pemeriksaan Pasukan Kawalan Kehormatan Utama oleh Yang di-Pertua Negeri sebaik sahaja ketibaan beliau dan Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah.

Sambutan itu diteruskan dengan istiadat perbarisan dan rapat raksasa sejurus selepas ucapan daripada Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Sebanyak 90 kontinjen terdiri daripada organisasi kerajaan dan swasta terlibat dalam rapat raksasa tersebut.

Sambutan lebih meriah lagi dengan acara persembahan padang yang disertai oleh pelbagai agensi termasuk institut pengajian tinggi dan beberapa sekolah menengah di sekitar bandar Kuching.

Turut menceriakan lagi suasana ialah penyertaan kira-kira 200 anak-anak kecil daripada beberapa Taman Bimbingan Kanak-kanak(Tabika) dalam acara simbolik hari jadi itu.

Majlis tersebut diakhiri dengan Hormat Diraja oleh Pasukan Kawalan Kehormatan Utama dan Pancaragam Polis Diraja Malaysia

No comments: