September 29, 2011

Tiada unsur sabotaj, pengganas dalam letupan di Empire Gallery

PETALING JAYA: Siasatan awal mendapati letupan yang berlaku di pusat beli-belah Empire Gallery di Subang Jaya dekat sini semalam tiada kaitan dengan sabotaj dan kegiatan pengganas, kata Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A.Thaivegan.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan kejadian disebabkan kecuaian.

“Berdasarkan siasatan awal, tiada apa-apa bukti menunjukkan kejadian berlaku akibat sabotaj atau ada kaitan dengan terrorisme.

“Kita anggap ini adalah satu kemalangan, yang mana kita tahu ia disebabkan kebocoran gas. Tapi kita mahu tahu apa punca sebenar letupan itu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian.

Beliau berkata siasatan akan mengambil kira kertas siasatan daripada pihak bomba dan Suruhanjaya Tenaga.

“Unit Forensik Polis akan siasat perkara ini dengan mengambil kira pelbagai sudut sebelum membuat kesimpulan,” katanya.

Letupan kira-kira jam 3.30 pagi dipercayai berpunca daripada kebocoran saluran gas itu menyebabkan empat orang cedera ringan.

Ia berlaku di aras bawah yang menempatkan kedai-kedai makan. — Bernama

No comments: