GUA MUSANG: Perhimpunan badan bukan kerajaan yang disokong
pembangkang berhampiran Dataran Merdeka di Kuala Lumpur, Sabtu lepas,
adalah satu percubaan untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh
rakyat menerusi sistem demokrasi, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana
Menteri berkata, tindakan itu menunjukkan pihak yang terlibat tidak
menghormati kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi proses yang sah.
“Mereka
ada niat untuk tawan Dataran Merdeka, bukan berhimpun untuk dua tiga
jam tetapi dua tiga hari atau lebih daripada itu, nak gambarkan kerajaan
tidak boleh mengawal keadaan.
“Mereka nak jadikan Dataran Merdeka
sebagaimana Dataran Tahrir di Mesir,” katanya ketika berucap merasmikan
Karnival Komuniti 1Malaysia Negeri Kelantan di Padang Pusat Sivik di
sini, semalam.
Perdana Menteri yang dalam lawatan kerja sehari ke
negeri ini, berucap di hadapan lebih 30,000 orang yang mula menunggu
ketibaan beliau sejak jam 7 pagi di padang Pusat Sivik itu.
Hadir
pada majlis tersebut antaranya Menteri Penerangan Komunikasi dan
Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Perdagangan Antarabangsa
dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kewangan Datuk
Dr Awang Adek Hussin dan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh
Hamzah.
Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak boleh berkompromi
dengan kumpulan tersebut yang cuba menumbangkan kerajaan yang dipilih
oleh rakyat secara sah.
Beliau berkata, dalam cubaan kumpulan
terbabit menawan Dataran Merdeka, mereka telah bertindak ganas antaranya
mencederakan anggota polis dan wartawan serta merosakkan kenderaan
polis dan harta awam.
Kelmarin, Timbalan Ketua Parti Keadilan
Rakyat Cabang Rasah, R.Tangam merupakan orang pertama didakwa di
mahkamah atas tuduhan melanggar perintah Mahkamah Majistret berhubung
larangan menyertai perhimpunan yang bertukar ganas Sabtu lepas.
Semalam,
polis menyiarkan gambar 49 individu yang dikehendaki polis dalam
akhbar-akhbar tempatan yang disyaki terbabit dalam pelbagai kesalahan
sepanjang perhimpunan itu.
Perdana Menteri berkata, kumpulan
tersebut menyalahkan polis yang didakwa menyebabkan tercetusnya
kekecohan pada perhimpunan tersebut.
Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional mencabar kumpulan itu agar bersaing melalui saluran pilihan raya.
“Kepada kumpulan ini, bersainglah di peti undi, kalau anak jantan bersainglah di peti undi.
“Saya
tidak nafikan ada sedikit sebanyak kekasaran oleh polis, tetapi perkara
ini boleh dielakkan jika mereka hormati undang-undang yang diluluskan
Parlimen,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan telah
menawarkan lokasi yang sesuai untuk mereka berhimpun secara aman
termasuk di Stadium Merdeka tetapi mereka menolak tawaran itu.
“Mereka
tolak Stadium Merdeka kerana niat mereka itu, kalau negara harmoni dan
semua dalam keadaan baik, mereka tidak boleh duduk di takhta Putrajaya,”
katanya.
Sementara itu, Najib berbangga dengan orang ramai
termasuk penduduk di Gua Musang, yang membanjiri padang Pusat Sivik itu,
yang dapat berhimpun secara aman dengan semangat perpaduan yang tinggi
tanpa mencetuskan keadaan huru-hara.
“Saya tabik kepada orang Gua
Musang, kita boleh beritahu pada puak yang berhimpun dekat Dataran
Merdeka bahawa orang Gua Musang lebih bertamadun daripada mereka.
“Mereka
(penduduk Gua Musang) mencerminkan masyarakat madani, menghormati
prinsip undang-undang dan tidak mahu kacau-bilau,” katanya.
Pada
sidang media selepas itu, Najib berkata ada usaha menerusi dalam talian
oleh pihak tertentu untuk memaparkan polis menggunakan kekerasan
berlebihan dan kerajaan akan menerangkan kepada rakyat perkara sebenar.
“Yang
pertama mereka tidak menepati janji mereka. Pada awalnya kerajaan juga
nak elakkan (perkara tidak diingini) sebab itu kita tawarkan Stadium
Merdeka. Mereka nakkan perbalahan dan apabila ini berlaku, mereka boleh
tonjolkan kekasaran polis dan sikap kerajaan yang tidak bertimbang
rasa…ini boleh jadi modal politik. Sebab itu mereka tolak Stadium
Merdeka…padahal (Stadium Merdeka) itulah hasrat mereka sewaktu
perhimpunan terdahulu,” katanya.
Beliau berkata, dalam perhimpunan
itu terdapat dua kumpulan iaitu yang mahu berhimpun secara aman dan
yang mahu ‘hijack’ (rampas) perhimpunan bagi tujuan politik serta
merancang untuk menawan Dataran Merdeka sekurang-kurangnya sehingga
sambutan Hari Pekerja (1 Mei).
“Bagi yang rasional dan tahu kesannya mereka tak sokong perhimpunan itu.
Mereka
tahu bila ada perhimpunan seperti itu mesti ada perkara tidak boleh
dikawal..ada orang yang tak hormatkan undang-undang dan melakukan
kekerasan serta budaya samseng,” katanya.
Perdana Menteri berkata,
kerajaan tidak mempunyai masalah untuk membenarkan mana-mana pihak
mengadakan perhimpunan aman termasuk -parti pembangkang dan pihak yang
tidak menyokong kerajaan tetapi perlu berdasarkan undang-undang yang
ada.
“Mesti ambil tindakan berasaskan undang-undang negara.
Undang-undang negara luluskan perhimpunan aman…asalkan bertindak
mengikut lunas-lunas tersebut tak ada masalah,” katanya. — Bernama