May 5, 2012

Aktiviti sukarelawan kurangkan jenayah

TAHNIAH: Ding (tengah) menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta kursus sambil disaksikan oleh Poniman (kanan).
Sokongan masyarakat bertepatan dasar untuk terus membangunkan negara, kata Ding
SARIKEI: Segala aktiviti sukarelawan yang dilaksana merupakan sokongan kepada dasar kerajaan khasnya mengurangkan kadar jenayah.
Ahli Parlimen Sarikei, Ding Kuong Hiing berkata, sambutan dan penyertaan yang memberangsangkan terhadap kursus-kursus yang dianjurkan jabatan kerajaan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), menunjukkan rata-rata anggota sukarelawan di kawasan ini prihatin terhadap masalah setempat.
Katanya, sikap ini juga menunjukkan masyarakat setempat masih mempunyai rasa tanggungjawab bahawa menangani sebarang masalah sosial adalah tanggungjawab bersama dan bukannya dibebankan pada satu pihak sahaja.
“Langkah ini juga melambangkan masyarakat kita masih lagi cintakan kedamaian dan kesejahteraan serta mempunyai semangat perpaduan yang masih kukuh.
“Kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah kerajaan yang mempunyai wawasan dan dasar serta visi yang jelas dalam urus tadbir negara dan mempunyai kepimpinan  untuk memmbimbing rakyat ke arah pembangunan dan kemajuan,” kata Ding.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Kursus Team Building Kementerian Dalam Negeri Daerah Sarikei, semalam.
Sekitar 60 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan yang bernaung di bawah KDN serta ahli badan bukan kerajaan (NGO) serta individu menyertai kursus ini yang telah berlangsung di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sarikei.
Dalam ucapannya, Ding menyeru pihak polis agar memperbanyakkan lagi aktiviti serupa pada masa hadapan.
“Ini terutamanya yang berkaitan dalam usaha untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang betapa pentingnya kerjasama dalam mencegah aktiviti dan masalah sosial yang boleh menjurus kepada kegiatan jenayah.
“Pihak kita akan sentasa memberikan sokongan kepada usaha ini. Kita juga berharap pada masa yang sama, kita dapat membendung dan membanteras segala kegiatan jenayah yang berlaku serta menjadikan bandar Sarikei menjadi sebuah bandar yang bebas jenayah,” kata Ding.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei, Superintenden Poniman Margiman dalam ucapan alu-aluannya berharap semua maklumat dan pengetahuan yang telah diperolehi oleh para peserta pada sepanjang kursus dapat dipraktikkan dalam menjalani kehidupan seharian.
“Pada masa sama, kita ingin menegaskan bahawa program seperti ini akan kita teruskan dari semasa ke semasa, justeru kita menyeru masyarakat agar hadir beramai-ramai menjayakannya.
“Kita juga berharap agar masyarakat dapat bekerjasama dengan pihak kita iaitu menyalurkan apa sahaja maklumat seperti jenayah, aktiviti sosial yang tidak sihat dan sebagainya kepada pihak kita.
“Ini bagi membolehkan pemantauan dilakukan dengan seberapa segera supaya perkara yang tidak diingini dapat dibendung dan dikawal pada peringkat awal sebelum ia menjadi satu masalah yang rumit dan besar,” jelas Poniman.

No comments: