May 12, 2012

Pendekatan baru pelancongan kesihatan

KUCHING: Sarawak akan menggunakan pendekatan baharu untuk mempromosi pelancongan kesihatan dengan menggabungkan pihak hospital dan hotel.
Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg bagaimanapun berkata, usaha tersebut memerlukan pakej menarik semasa dan selepas seseorang pesakit menerima rawatan.
Menurutnya, gabungan antara pihak hospital dan hotel penting sebagai kesinambungan rawatan agar pesakit berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan.
“Pihak hospital boleh buat pakej dengan hotel. Ini merupakan langkah terbaru untuk memberi rawatan kepada pesakit.
“Kita mempunyai kelebihan kerana mempunyai persekitaran indah dan segar, justeru pihak hospital swasta perlu berfikir secara matang.
“Pendekatan terbaharu ini bukan sahaja rawatan tetapi merangkumi terapi atau senaman selepas selepas rawatan,” katanya pada sidang media semasa menerima kunjungan daripada Kuching Specialist Hospital di sini, semalam.
Abang Johari yang juga Menteri Perumahan berkata, antara kawasan menarik yang boleh dijadikan sebagai lokasi terapi merangkumi Damai dan Batang Ai kerana mempunyai persekitaran segar.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, sepanjang tahun lalu seramai 550,000 rakyat Indonesia menerima rawatan di hospital swasta seluruh negeri.
“Kita yakin pada masa terdekat bilangannya akan terus meningkat memandangkan peningkatan penerbangan terus dari negara jiran.
“Pada masa sama perkhidmatan bermutu juga menyumbang kepada bilangan pesakit luar negara mendapat rawatan di negeri ini,” ujarnya.
Selain Indonesia, menurutnya, Brunei turut menyumbang kepada kehadiran pesakit di negeri ini dan ia merupakan perkara yang positif dalam bidang pelancongan kesihatan negeri ini.
“Mutu perkhidmatan kesihatan di negeri ini setanding dengan negara lain termasuk Singapura,” jelasnya.
Sementara itu, Abang Johari mahu semua pemain pelancongan di negeri ini menyokong trend terbaharu itu agar Sarawak menjadi destinasi pilihan pelancong asing mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

No comments: