May 5, 2012

Perhimpunan Sabtu lepas cubaan guling kerajaan

GUA MUSANG: Perhimpunan badan bukan kerajaan yang disokong pembangkang berhampiran Dataran Merdeka di Kuala Lumpur, Sabtu lepas, adalah satu percubaan untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi sistem demokrasi, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, tindakan itu menunjukkan pihak yang terlibat tidak menghormati kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi proses yang sah.
“Mereka ada niat untuk tawan Dataran Merdeka, bukan berhimpun untuk dua tiga jam tetapi dua tiga hari atau lebih daripada itu, nak gambarkan kerajaan tidak boleh mengawal keadaan.
“Mereka nak jadikan Dataran Merdeka sebagaimana Dataran Tahrir di Mesir,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Komuniti 1Malaysia Negeri Kelantan di Padang Pusat Sivik di sini, semalam.
Perdana Menteri yang dalam lawatan kerja sehari ke negeri ini, berucap di hadapan lebih 30,000 orang yang mula menunggu ketibaan beliau sejak jam 7 pagi di padang Pusat Sivik itu.
Hadir pada majlis tersebut antaranya Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.
Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak boleh berkompromi dengan kumpulan tersebut yang cuba menumbangkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara sah.
Beliau berkata, dalam cubaan kumpulan terbabit menawan Dataran Merdeka, mereka telah bertindak ganas antaranya mencederakan anggota polis dan wartawan serta merosakkan kenderaan polis dan harta awam.
Kelmarin, Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat Cabang Rasah, R.Tangam merupakan orang pertama didakwa di mahkamah atas tuduhan melanggar perintah Mahkamah Majistret berhubung larangan menyertai perhimpunan yang bertukar ganas Sabtu lepas.
Semalam, polis menyiarkan gambar 49 individu yang dikehendaki polis dalam akhbar-akhbar tempatan yang disyaki terbabit dalam pelbagai kesalahan sepanjang perhimpunan itu.
Perdana Menteri berkata, kumpulan tersebut menyalahkan polis yang didakwa menyebabkan tercetusnya kekecohan pada perhimpunan tersebut.
Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional mencabar kumpulan itu agar bersaing melalui saluran pilihan raya.
“Kepada kumpulan ini, bersainglah di peti undi, kalau anak jantan bersainglah di peti undi.
“Saya tidak nafikan ada sedikit sebanyak kekasaran oleh polis, tetapi perkara ini boleh dielakkan jika mereka hormati undang-undang yang diluluskan Parlimen,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan telah menawarkan lokasi yang sesuai untuk mereka berhimpun secara aman termasuk di Stadium Merdeka tetapi mereka menolak tawaran itu.
“Mereka tolak Stadium Merdeka kerana niat mereka itu, kalau negara harmoni dan semua dalam keadaan baik, mereka tidak boleh duduk di takhta Putrajaya,” katanya.
Sementara itu, Najib berbangga dengan orang ramai termasuk penduduk di Gua Musang, yang membanjiri padang Pusat Sivik itu, yang dapat berhimpun secara aman dengan semangat perpaduan yang tinggi tanpa mencetuskan keadaan huru-hara.
“Saya tabik kepada orang Gua Musang, kita boleh beritahu pada puak yang berhimpun dekat Dataran Merdeka bahawa orang Gua Musang lebih bertamadun daripada mereka.
“Mereka (penduduk Gua Musang) mencerminkan masyarakat madani, menghormati prinsip undang-undang dan tidak mahu kacau-bilau,” katanya.
Pada sidang media selepas itu, Najib berkata ada usaha menerusi dalam talian oleh pihak tertentu untuk memaparkan polis menggunakan kekerasan berlebihan dan kerajaan akan menerangkan kepada rakyat perkara sebenar.
“Yang pertama mereka tidak menepati janji mereka. Pada awalnya kerajaan juga nak elakkan (perkara tidak diingini) sebab itu kita tawarkan Stadium Merdeka. Mereka nakkan perbalahan dan apabila ini berlaku, mereka boleh tonjolkan kekasaran polis dan sikap kerajaan yang tidak bertimbang rasa…ini boleh jadi modal politik. Sebab itu mereka tolak Stadium Merdeka…padahal (Stadium Merdeka) itulah hasrat mereka sewaktu perhimpunan terdahulu,” katanya.
Beliau berkata, dalam perhimpunan itu terdapat dua kumpulan iaitu yang mahu berhimpun secara aman dan yang mahu ‘hijack’ (rampas) perhimpunan bagi tujuan politik serta merancang untuk menawan Dataran Merdeka sekurang-kurangnya sehingga sambutan Hari Pekerja (1 Mei).
“Bagi yang rasional dan tahu kesannya mereka tak sokong perhimpunan itu.
Mereka tahu bila ada perhimpunan seperti itu mesti ada perkara tidak boleh dikawal..ada orang yang tak hormatkan undang-undang dan melakukan kekerasan serta budaya samseng,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak mempunyai masalah untuk membenarkan mana-mana pihak mengadakan perhimpunan aman termasuk -parti pembangkang dan pihak yang tidak menyokong kerajaan tetapi perlu berdasarkan undang-undang yang ada.
“Mesti ambil tindakan berasaskan undang-undang negara. Undang-undang negara luluskan perhimpunan aman…asalkan bertindak mengikut lunas-lunas tersebut tak ada masalah,” katanya. — Bernama

No comments: