KUCHING: Penduduk negeri ini tidak perlu khuatir
akan menghadapi kekurangan beras kerana Sarawak dijamin mempunyai
bekalan mencukupi termasuk pada musim tengkujuh.
Pengarah
Urusan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) Datuk Bakry Hamzah berkata,
Sarawak pada setiap masa mempunyai bekalan yang mencukupi, malah
melebihi untuk menampung keperluan sehingga enam bulan.
“Bekalan
yang kita ada mencukupi pada setiap masa. Di Sarawak sahaja, kita
mempunyai hampir 70,000 tan bekalan beras dan ini cukup bagi bekalan
lebih enam bulan,” ujarnya.
Malah, katanya, Sarawak juga tidak akan menghadapi masalah bekalan jika berlaku musim tengkujuh.
Beliau
berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat
Perniagaan BERNAS kepada Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang
mewakili Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) di Wisma Bapa Malaysia di sini,
semalam.
Penyerahan zakat berkenaan merupakan sumbangan zakat
tahunan daripada BERNAS dan semalam BERNAS menyerahkan zakat perniagaan
bagi tahun kewangan 2011 berjumlah RM379,326 kepada TBS.
Sementara
itu, Bakry dalam kenyataan akhbarnya semalam memberitahu, pada kewangan
2010, zakat perniagaan yang disampaikan oleh BERNAS berjumlah
RM366,160.
“Pada tahun ini, pemberian zakat diteruskan bagi
menunaikan tanggungjawab sosial korporat syarikat kepada masyarakat di
Sarawak,” kata beliau.
Majlis penyerahan itu turut dihadiri Yang
Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Putit Matzen dan Ketua Pegawai
Eksekutif Beras Corporation Sdn Bhd (anak syarikat BERNAS) Mohd
Kamaluddin Mohd Effendie.
Kamaluddin ketika ditemui selepas majlis
yang sama berkata, fasa pertama Projek Bidang Ekonomi Utama Negara
(NKEA) Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) EPP 11 (Projek Penggerak
Ekonomi) Batang Lupar, Sri Aman kini dalam proses awal pelaksanaannya.
Menurut
beliau, pelaksanaan awal projek penanaman padi di kawasan jelapang itu
termasuk melakukan kajian dan analisis di peringkat akar umbi, iaitu
bersama petani terlibat.
“Kini kajian sedang dibuat di peringkat
akar umbi untuk mendapatkan maklumat, data dan sebagainya kerana
terdapat beberapa isu di akar umbi antaranya berkaitan tanah, yang
sudah menjadi kebiasaan isu utama dalam projek besar,” katanya.
Kamaluddin
berkata, antara lain isu yang dikenal pasti juga adalah dari segi
kordinasi antara agensi-agensi kerana ia melibatkan pelbagai agensi
kerajaan bagi menjayakan projek.
Malah, pihak BERNAS sedang
berbincang dengan kerajaan bagi menyelesaikan beberapa isu yang dikenal
pasti sebelum memulakan projek, kata beliau.
“Kita tidak boleh
memulakan sesuatu projek dan tidak akan memulakan sesuatu projek tanpa
ada persetujuan daripada kerajaan dan petani khasnya keyakinan mereka
mengenai manfaat projek,” tegasnya ketika ditanya mengenai tarikh
sebenar permulaan projek akan dilancarkan.
Beliau menjelaskan,
Bahagian Perparitan dan Saliran Pertanian Kementerian Pertanian dan Asas
Tani (MOA) memaklumkan kemungkinan kerja-kerja infrastruktur akan
dilaksanakan dalam masa terdekat, yang mungkin memakan masa
sekurang-kurangnya dua tahun untuk disiapkan.
Bagi projek fasa
pertama yang melibatkan kawasan Seduku, Gran/Stumbin dan Entulang itu,
ia dianggarkan mendapat penyertaan daripada kira-kira 5,000 isi rumah.
Bagaimanapun,
projek yang merangkumi keluasan 2,817 hektar itu mungkin mencapai
pembabitan lebih 15,000 peserta apabila ia dijalankan pada skala
sepenuhnya.
“Fasa kedua Projek NKEA BERNAS EPP 11 Batang Lupar
membabitkan kawasan Lingga/Banting, namun kita belum tahu bila
pelaksanaan kerana terserah kepada kerajaan untuk memutuskannya,” kata
Kamaluddin.
Beliau menjelaskan, projek penanaman padi berkenaan
dilaksanakan berdasarkan projek perintis yang telah dibuat pada tahun
2011 dengan membabitkan dua buah rumah panjang di Sri Aman.
“Projek
ini membabitkan keluasan 77 hektar iaitu 20 hektar bagi tanaman padi
moden sementara 57 hektar padi tradisional dengan dua musim.
“Musim
utama hasil padi kita mencapai lebih 3.4 tan sehektar dan luar musim
yang baharu kita tuai pada September lepas, lebih kurang dua tan kerana
serangan serangga perosak yang begitu tinggi,” jelas Kamaluddin.