BUKTI
KUKUH: Lau memeriksa rakaman CCTV yang menunjukkan suspek sedang
membawa pendingin hawa menuruni tangga utama hotel tersebut pagi
semalam.
Rakaman membawa kepada penangkapan lelaki mencuri pendingin hawa hotel
SIBU: Pemasangan
kamera litar tertutup (CCTV) ternyata berbaloi kepada seorang pemilik
hotel di sini selepas rakaman kecurian pendingin hawa membawa kepada
penangkapan seorang penginap di hotel berkenaan, semalam.
Dalam
kejadian di sebuah hotel murah di Jalan Foochow di sini pada jam 5.29
pagi semalam, seorang lelaki dilihat cuba mengalihkan sudut rakaman
sebuah CCTV yang terletak di hadapan kaunter hotel berkenaan.
Namun
tanpa disedarinya, sebuah lagi kamera yang dipasang oleh pihak
pengurusan hotel itu di sudut lain berjaya merakam gelagat suspek.
Selang seminit kemudian, suspek dilihat sedang mengangkat sebuah pendingin hawa keluar dari hotel tersebut.
Pemilik
hotel yang hanya dikenali sebagai Lau, 77, berkata, suspek telah
mendaftar sebagai penginap di sebuah bilik di tingkat lima hotel
tersebut pada kira-kira jam 10 malam kelmarin.
Ketika mendaftar di
kaunter, suspek dikatakan menawarkan diri untuk mencuci pendingin hawa
secara percuma sebagai balasan pengurangan harga sewa biliknya.
“Pekerja
saya memang ada terdengar bunyi bising di tingkat lima hotel pada
malam tadi (kelmarin), tetapi mereka tidak menghiraukannya,” ujar Lau.
Suspek
dipercayai memasuki sebuah bilik kosong di tingkat lima dengan
membengkokkan engsel pintu bilik itu sebelum melarikan pendingin hawa
berkenaan.
Semasa memeriksa rakaman CCTV pada jam 8.15 pagi
semalam, Lau mendapati seorang lelaki sedang menuruni tangga utama
sambil mengangkat pendingin hawa.
Beliau kemudiannya menghubungi pihak polis yang tiba di hotel tersebut untuk melakukan siasatan.
Mujur seorang pekerja syif malam hotel tersebut berjaya mengenal pasti wajah suspek.
Polis kemudian pergi ke bilik penginapan suspek sebelum menahan dan membawanya ke Balai Polis Sentral untuk disoal siasat.
Menurut
Lau, beliau telah mengusahakan perniagaan itu sejak lebih 25 tahun lalu
dan ini bukan kali pertama hotelnya mengalami kecurian.
Justeru, beliau bersyukur kerana pemasangan CCTV di hotel tersebut berjaya membantu polis dalam siasatan mereka.
“Dahulu
saya tidak memasang CCTV, tetapi sekarang, dengan adanya kelengkapan
CCTV, ia banyak membantu dalam menyelesaikan kes dan memudahkan siasatan
dilakukan,” tambahnya.
No comments:
Post a Comment