October 20, 2012

Bekalan beras Sarawak cukup

KUCHING: Penduduk negeri ini tidak perlu khuatir akan menghadapi kekurangan beras kerana Sarawak dijamin mem­punyai bekalan mencukupi ter­masuk pada musim tengkujuh.
Pengarah Urusan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) Datuk Bakry Hamzah berkata, Sarawak pada setiap masa mem­punyai bekalan yang mencukupi, malah melebihi untuk menam­pung keperluan sehingga enam bulan.
“Bekalan yang kita ada men­cukupi pada setiap masa. Di Sarawak sahaja, kita mempunyai hampir 70,000 tan bekalan beras dan ini cukup bagi bekalan lebih enam bulan,” ujarnya.
Malah, katanya, Sarawak juga tidak akan menghadapi masalah bekalan jika berlaku musim tengkujuh.
Beliau berkata demikian ke­pada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan BERNAS kepada Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang mewakili Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.
Penyerahan zakat berkenaan merupakan sumbangan zakat tahunan daripada BERNAS dan semalam BERNAS meny­erahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2011 berjumlah RM379,326 kepada TBS.
Sementara itu, Bakry dalam kenyataan akhbarnya semalam memberitahu, pada kewangan 2010, zakat perniagaan yang disampaikan oleh BERNAS ber­jumlah RM366,160.
“Pada tahun ini, pemberian za­kat diteruskan bagi menunaikan tanggungjawab sosial korporat syarikat kepada masyarakat di Sarawak,” kata beliau.
Majlis penyerahan itu turut di­hadiri Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Putit Matzen dan Ketua Pegawai Eksekutif Beras Corporation Sdn Bhd (anak syari­kat BERNAS) Mohd Kamaluddin Mohd Effendie.
Kamaluddin ketika ditemui selepas majlis yang sama ber­kata, fasa pertama Projek Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Padiberas Nasional Berhad (BER­NAS) EPP 11 (Projek Penggerak Ekonomi) Batang Lupar, Sri Aman kini dalam proses awal pelaksanaannya.
Menurut beliau, pelaksanaan awal projek penanaman padi di kawasan jelapang itu termasuk melakukan kajian dan analisis di peringkat akar umbi, iaitu bersama petani terlibat.
“Kini kajian sedang dibuat di peringkat akar umbi untuk mendapatkan maklumat, data dan sebagainya kerana terdapat be­berapa isu di akar umbi antaranya berkaitan tanah, yang sudah men­jadi kebiasaan isu utama dalam projek besar,” katanya.
Kamaluddin berkata, antara lain isu yang dikenal pasti juga adalah dari segi kordinasi antara agensi-agensi kerana ia meli­batkan pelbagai agensi kerajaan bagi menjayakan projek.
Malah, pihak BERNAS sedang berbincang dengan kerajaan bagi menyelesaikan beberapa isu yang dikenal pasti sebelum memulakan projek, kata beliau.
“Kita tidak boleh memulakan sesuatu projek dan tidak akan memulakan sesuatu projek tanpa ada persetujuan daripada kerajaan dan petani khasnya keyakinan mereka mengenai manfaat pro­jek,” tegasnya ketika ditanya mengenai tarikh sebenar permu­laan projek akan dilancarkan.
Beliau menjelaskan, Bahagian Perparitan dan Saliran Pertanian Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MOA) memaklumkan kemungkinan kerja-kerja infras­truktur akan dilaksanakan dalam masa terdekat, yang mungkin me­makan masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk disiapkan.
Bagi projek fasa pertama yang melibatkan kawasan Seduku, Gran/Stumbin dan Entulang itu, ia dianggarkan mendapat peny­ertaan daripada kira-kira 5,000 isi rumah.
Bagaimanapun, projek yang merangkumi keluasan 2,817 hektar itu mungkin mencapai pembabitan lebih 15,000 peserta apabila ia dijalankan pada skala sepenuhnya.
“Fasa kedua Projek NKEA BERNAS EPP 11 Batang Lupar membabitkan kawasan Lingga/Banting, namun kita belum tahu bila pelaksanaan kerana terserah kepada kerajaan untuk memutuskannya,” kata Kamaluddin.
Beliau menjelaskan, projek penanaman padi berkenaan dilaksanakan berdasarkan projek perintis yang telah dibuat pada tahun 2011 dengan membabitkan dua buah rumah panjang di Sri Aman.
“Projek ini membabitkan keluasan 77 hektar iaitu 20 hektar bagi tanaman padi moden sementara 57 hektar padi tradisional dengan dua musim.
“Musim utama hasil padi kita mencapai lebih 3.4 tan sehektar dan luar musim yang baharu kita tuai pada September lepas, lebih kurang dua tan kerana serangan serangga perosak yang begitu tinggi,” jelas Kamaluddin.

No comments: