
HARGA
BERPATUTAN: (Dari kanan) Wan Uzir, Rohani dan Yong berpuas hati dengan
harga barangan yang ditawarkan semasa pemeriksaan di Kedai Rakyat
1Malaysia di Pusat Komersial Kuching City, semalam. Turut kelihatan
Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Sih Hua Thong (belakang).
Pelaksanaan 1Malaysia 1Harga melibatkan barangan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), barangan koperasi, FAMA serta barangan bersubsidi oleh kerajaan seperti minyak masak, gula, beras, tepung, gas dan petrol.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Rohani Abdul Karim yang berpuas hati dengan perkara itu berkata, kerajaan telah memperuntukkan subsidi pengangkutan yang besar bagi tujuan tersebut.
Katanya, sejumlah RM150 juta diperuntukkan bagi subsidi pengangkutan dari bandar ke luar bandar, manakala RM60 juta lagi diperuntukkan bagi kos pengangkutan dari Semenanjung Malaysia ke kawasan bandar Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Sejak dilaksanakan berkuat kuasa 1 Mac lepas, kementerian mendapati peniaga mematuhi 100 peratus harga barangan yang ditetapkan di bawah 1Malaysia 1Harga.
“Bagaimanapun, kita ada menerima rayuan daripada beberapa peniaga untuk menghabiskan stok lama sebelum melaksanakan 1Malaysia 1Harga ini.
“Dalam hal ini, kementerian tidak keberatan untuk membenarkan mereka menangguhkan pelaksanaan 1Malaysia 1Harga sehingga stok lama dihabiskan kerana rayuan tersebut adalah wajar bagi kementerian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika pemeriksaan harga barangan di KR1M di Pusat Komersial Kuching City, Jalan Penrissen di sini, semalam.
Turut serta dalam pemeriksaan tersebut ialah Pengarah KPDNKK Sarawak Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman dan Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Stampin Datuk Yong Khoon Seng.
Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar menambah, daripada 31 kawasan Parlimen di negeri ini, empat daripadanya telah mempunyai KR1M iaitu Parlimen Mambong, Stampin, Kota Samarahan dan Petra Jaya.
Usaha kini sedang dilaksanakan untuk membuka lebih banyak KR1M di kawasan-kawasan Parlimen lain di negeri ini termasuk Parlimen yang disandang oleh wakil pembangkang, jelasnya.
No comments:
Post a Comment