December 23, 2009

Mutu kerja kontraktor dipersoal

KUALA TERENGGANU 22 Dis. - Kejadian bumbung runtuh yang sudah beberapa kali berlaku di Terengganu boleh menjejaskan imej kerajaan negeri sekali gus menimbulkan persoalan mengenai mutu kerja kontraktor di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said (gambar) yang kecewa dengan kejadian itu berkata, perkara tersebut boleh dielakkan sekiranya kontraktor bertanggungjawab melaksanakan projek menurut spesifikasi.

Menurutnya, ia berlaku kerana ramai kontraktor menjalankan kerja sambil lewa di samping kurang pengawasan oleh pegawai jabatan kerajaan terlibat.

''Ini yang saya rasa dukacita, kenapa ia berlaku. Sebelum ini sudah dua tiga kali kejadian runtuhan bumbung berlaku, sekarang berlaku lagi.

''Semasa diserahkan kepada kontraktor, pegawai datang, kemudian tak datang-datang. Mereka harus menjalankan projek dengan rasa tanggungjawab kerana setiap sen wang yang dibelanjakan adalah wang rakyat," katanya di luar Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau mengulas kejadian sengkuap kaca pada bumbung terminal pengangkutan awam bernilai RM4.2 juta yang dalam pembinaan di Kuala Berang, Hulu Terengganu runtuh semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, tiga pekerja Bangladesh dan seorang pekerja tempatan yang sedang melakukan kerja-kerja memasang plat kaca pada sengkuap untuk bumbung bahagian hadapan terminal itu cedera akibat terkena serpihan kaca.

Pembinaan bumbung tersebut bermula sejak seminggu lalu.

Ahmad berkata, berikutan beberapa kejadian runtuhan bumbung itu, kerajaan negeri akan menyenaraihitamkan pemaju yang tidak menepati spesifikasi projek.

Menurut beliau, kerajaan negeri terpaksa mengambil tindakan tegas bagi memastikan setiap projek dilaksanakan sempurna dan selamat digunakan.

Katanya, tidak ada pihak yang selamat jika pemaju gagal mematuhi spesifikasi ditetapkan.

''Saya harap pengawasan projek sama ada oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) atau pihak-pihak lain dibuat dengan lebih ketat," katanya.

Jelasnya, kerajaan negeri akan menyiasat kejadian tersebut sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

''Sepatutnya dalam setiap pelaksanaan projek, JKR perlu mengadakan pemantauan bagi memastikan projek tidak menghadapi masalah.

''Apa yang mendukacitakan semasa diserahkan kepada kontraktor, pegawai datang lepas itu tidak datang-datang.

''Pegawai datang semula semasa nak serah bangunan. Sebahagian projek yang saya tengok ada yang buat pentas lain sebelah, mungkin silap baca pelan tapi kalau pegawai kita (JKR) ada, boleh tegur," katanya.

Sumber : Utusan Online

Mutu kerja kontraktor dipersoal

KUALA TERENGGANU 22 Dis. - Kejadian bumbung runtuh yang sudah beberapa kali berlaku di Terengganu boleh menjejaskan imej kerajaan negeri sekali gus menimbulkan persoalan mengenai mutu kerja kontraktor di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said (gambar) yang kecewa dengan kejadian itu berkata, perkara tersebut boleh dielakkan sekiranya kontraktor bertanggungjawab melaksanakan projek menurut spesifikasi.

Menurutnya, ia berlaku kerana ramai kontraktor menjalankan kerja sambil lewa di samping kurang pengawasan oleh pegawai jabatan kerajaan terlibat.

''Ini yang saya rasa dukacita, kenapa ia berlaku. Sebelum ini sudah dua tiga kali kejadian runtuhan bumbung berlaku, sekarang berlaku lagi.

''Semasa diserahkan kepada kontraktor, pegawai datang, kemudian tak datang-datang. Mereka harus menjalankan projek dengan rasa tanggungjawab kerana setiap sen wang yang dibelanjakan adalah wang rakyat," katanya di luar Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau mengulas kejadian sengkuap kaca pada bumbung terminal pengangkutan awam bernilai RM4.2 juta yang dalam pembinaan di Kuala Berang, Hulu Terengganu runtuh semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, tiga pekerja Bangladesh dan seorang pekerja tempatan yang sedang melakukan kerja-kerja memasang plat kaca pada sengkuap untuk bumbung bahagian hadapan terminal itu cedera akibat terkena serpihan kaca.

Pembinaan bumbung tersebut bermula sejak seminggu lalu.

Ahmad berkata, berikutan beberapa kejadian runtuhan bumbung itu, kerajaan negeri akan menyenaraihitamkan pemaju yang tidak menepati spesifikasi projek.

Menurut beliau, kerajaan negeri terpaksa mengambil tindakan tegas bagi memastikan setiap projek dilaksanakan sempurna dan selamat digunakan.

Katanya, tidak ada pihak yang selamat jika pemaju gagal mematuhi spesifikasi ditetapkan.

''Saya harap pengawasan projek sama ada oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) atau pihak-pihak lain dibuat dengan lebih ketat," katanya.

Jelasnya, kerajaan negeri akan menyiasat kejadian tersebut sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

''Sepatutnya dalam setiap pelaksanaan projek, JKR perlu mengadakan pemantauan bagi memastikan projek tidak menghadapi masalah.

''Apa yang mendukacitakan semasa diserahkan kepada kontraktor, pegawai datang lepas itu tidak datang-datang.

''Pegawai datang semula semasa nak serah bangunan. Sebahagian projek yang saya tengok ada yang buat pentas lain sebelah, mungkin silap baca pelan tapi kalau pegawai kita (JKR) ada, boleh tegur," katanya.

Sumber : Utusan Online

Had usia bas sekolah dilanjut

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) bersetuju melanjutkan had usia kenderaan bas sekolah daripada 20 tahun kepada 30 tahun berkuat kuasa 1 Januari 2010.

Pengerusi LPKP, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, berikutan itu, LPKP mewajibkan pengusaha bas sekolah sentiasa melakukan pemeriksaan kenderaan secara berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi memastikan keadaan fizikal bas adalah baik dan menjamin keselamatan penumpang.

"Pelanjutan had usia ini diharap dapat memberi peluang kepada pengusaha bas yang mempunyai kenderaan berusia lebih dari 20 tahun untuk terus beroperasi dan memastikan perkhidmatan kepada pelajar sekolah dapat disediakan.

"Ia juga dapat membantu pengusaha bas sekolah mendapatkan pulangan sewajarnya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun penetapan had usia itu tertakluk kepada kelulusan Puspakom.

Selain itu, bagi permohonan lesen baru dan ganti kenderaan, had usia kenderaan yang dilesenkan hendaklah tidak melebihi 20 tahun daripada tarikh pendaftaran kenderaan, katanya.

Sumber - BERNAMA

December 19, 2009

Kembalikan kegemilanganbola sepak

KUALA LUMPUR 18 Dis. - Kejayaan skuad bola sepak bawah 23 tahun negara, mengukir sejarah tersendiri menamatkan penantian 20 tahun pingat emas setelah berjaya menumpaskan 1-0 pasukan Vietnam pada perlawanan akhir pada Sukan SEA ke-25 di Laos, diharap dapat mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak tanah air.

Bekas pemain kebangsaan, Dollah Salleh berkata, beliau berbangga dengan kejayaan itu yang ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia yang akhirnya termakbul.

"Diharap kejayaan ini mampu menceriakan dan sekali gus menghidupkan kembali kegemilangan sukan bola sepak negara setelah mengalami zaman kemerosoton," katanya di sini semalam.

Dollah merupakan antara penjaring gol ketika kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas pada Sukan SEA di Kuala Lumpur semasa mengalahkan Singapura dengan jaringan 3-1 pada tahun 1989.

Beliau berkata, kejayaan yang dicipta oleh skuad bimbingan K.Rajagobal perlu diteruskan agar skuad negara terus digeruni oleh pasukan lawan.

"Saya harap pemain kita dapat kekalkan prestasi mereka dari semasa ke semasa sekiranya ingin terus memegang gelaran juara pada Sukan SEA di Bandung, Indonesia pada 2011 nanti," katanya.

Sementara itu, bekas ketua pasukan bola sepak negara, Ahmad Yusof menyifatkan kemenangan semalam telah berjaya mengubat luka yang telah lama terpendam dalam hati setiap pemain dan peminat bola sepak di negara ini.

"Secara tidak langsung kemenangan hari ini juga dapat menaikkan kembali semangat setiap pemain yang beraksi pada liga Malaysia yang sebelum ini seolah-olah dipandang lekeh," katanya.

Ahmad juga berharap selepas ini liga Malaysia tidak lagi dianggap sebagai kurang berkualiti kerana mereka telah berjaya membuktikan kemampuan sebenar pasukan bola sepak negara.

Sumber- BERNAMA

Negara maju perlu sediakan dana

COPENHAGEN 18 Dis. – Negara-negara maju merupakan penyumbang terbesar kepada pelepasan karbon yang mengakibatkan pemanasan global dan mereka harus bersedia menebus kembali hutang itu dengan menyediakan dana mencukupi untuk menangani krisis perubahan iklim.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dari segi prinsipnya adalah adil dan wajar negara-negara maju membayar balik hutang kepada dunia sekarang kerana merekalah penyebab utama kepada pemanasan global.

Najib berkata, negara-negara maju perlu komited menyediakan dana permulaan berjumlah AS$200 bilion setahun sehingga 2012 bagi membantu negara-negara membangun mengurangkan pelepasan karbon, jika tidak ia hanyalah sesuatu usaha yang retorik semata-mata.

“Pemimpin-pemimpin negara membangun sedar negara-negara maju juga mempunyai komitmen yang besar di negara mereka, bagaimanapun, negara-negara maju harus bertanggungjawab dan ini menuntut sedikit pengorbanan daripada mereka,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas menyampaikan ucapan pada Persidangan Perubahan Iklim anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini malam tadi.

Ketika berucap pada persidangan itu semalam, Najib telah mencadangkan supaya negara-negara maju menyediakan dana berjumlah AS$200 bilion setahun dalam usaha itu dan meningkatkannya kepada AS$800 bilion setahun selepas tempoh itu.

Menurut Perdana Menteri, dana sebanyak AS$10 bilion yang dicadangkan oleh negara-negara maju sebelum ini untuk membantu negara-negara membangun menangani masalah itu adalah terlalu kecil.

Ditanya reaksi pemimpin-pemimpin dunia terhadap ucapannya, Najib berkata, banyak pemimpin negara membangun mengucapkan syabas atas pendirian Malaysia.

“Secara keseluruhannya kita tidak tahu lagi apa reaksi mereka (pemimpin dunia terhadap ucapannya). Kita tengoklah dalam sehari dua ini apa reaksi mereka (kepada ucapannya) tetapi saya cuba untuk melakarkannya bukan sahaja dari segi perspektif Malaysia tetapi juga negara-negara membangun,” katanya.

Mengenai tindakan kerajaan sekiranya negara-negara maju bersedia menyediakan dana kepada Malaysia untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, Najib berkata, kerajaan perlu membuat perancangan dalam bentuk menyediakan tenaga yang berkesan, tenaga yang boleh diperbaharui, teknologi hijau, mengawal penebangan hutan dan pelbagai cara lagi.

Perdana menteri mengulangi kebimbangannya bahawa persidangan ini gagal mencapai kata sepakat ke arah satu perjanjian yang dipersetujui semua pihak.

“Saya lihat masih terdapat banyak perbezaan pendapat yang agak ketara antara negara-negara membangun dengan negara-negara maju, bagaimanapun ia tertakluk kepada apa yang akan berlaku dalam tempoh 24 jam ini.

“Setakat ini, nampaknya sukar untuk dicapai suatu persetujuan yang mengikat,” tambah beliau.

Najib bagaimanapun tidak menolak kemungkinan semua negara boleh mencapai komitmen politik, tetapi ia mestilah disusuli dengan satu perjumpaan dalam masa terdekat iaitu pada tahun depan supaya satu perjanjian dapat dimeterai antara semua negara.

Sumber– Utusan Online

Jangan terpedaya tawaran lumayan

KUALA LUMPUR 18 Dis. - Kerisauan seorang adik terhadap nasib abangnya yang ditahan pihak berkuasa Argentina sejak lapan bulan lalu selepas terpedaya dengan sindiket penyeludupan dadah, berakhir hari ini.

Kepulangan P. Jaya Kumar, 38, ke tanah air hari ini disambut dengan air mata gembira oleh ahli keluarganya yang menunggunya sejak awal pagi.

Adiknya, P. Chitradevi, 33, tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja melihat abangnya dibawa masuk ke sidang akhbar Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, badan yang membantu membawa pulang lelaki itu dengan kerjasama Wisma Putra dan Polis Diraja Malaysia.

Tanpa menghiraukan wakil media yang memenuhi bilik sidang akhbar di pejabat biro itu di sini, mereka saling berpelukan sambil tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kepada ketiga-tiga pihak yang membantu menyelamatkan Jaya Kumar.

"Saya ingin menasihatkan orang ramai supaya jangan terpedaya dengan tawaran lumayan untuk menjadi penghantar barang yang diragui ke luar negara.

"Abang saya hampir terpedaya dengan tawaran sindiket penyeludupan dadah antarabangsa itu sehingga terkandas di Argentina selama beberapa bulan," kata Chitradevi.

Jaya Kumar yang disahkan menghidap masalah mental menjadi mangsa penipuan sindiket dadah kononnya untuk mengambil sebuah lampu meja dari Sao Paolo, Brazil untuk dibawa ke Buenos Aires, Argentina.

Namun, sindiket itu yang didalangi jirannya dan Philip, seorang lelaki warga Nigeria hanya mahu menggunakan Jaya Kumar untuk menyeludup bekalan dadah dari Sao Paolo ke Buenos Aires.

Perjalanan Jaya Kumar bagaimanapun terkandas di Buenos Aires pada 20 Jun lalu apabila tiket penerbangan untuk mengambil dadah di Sao Paolo tidak disediakan.

Dia kemudian ditahan pihak berkuasa Argentina sebelum berita mengenai penahanannya itu disampaikan kepada keluarga yang tinggal di Setapak.

Chitradevi berkata, kali terakhir dia bertemu abangnya ialah pada 28 April lalu sebelum Jaya Kumar berlepas ke Singapura.

"Dia (Jaya Kumar) ada memberitahu telah mendapat pekerjaan di Singapura namun kami tidak risau sesuatu yang buruk kerana dia biasa bekerja di sana pada lewat 90-an.

"Tetapi, sebaik sahaja mendapat berita penahanannya kami terkejut kerana dia berada terlalu jauh. Saya kemudian berusaha mendapatkan bantuan Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO," jelasnya.

Dalam pada itu, Jaya Kumar ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, dia tidak menyangka akan menjadi mangsa penipuan sindiket itu untuk membawa dadah ke negara asing.

Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh berkata, biro itu pada mulanya menjangkakan Jaya Kumar akan pulang pada 22 Disember ini.

"Bagaimanapun, hasil kerja keras yang dilakukan, kita dapat membawa dia pulang bertemu keluarganya lebih awal iaitu hari ini," katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya Kementerian Kesihatan dan Jabatan Imigresen memperketatkan syarat-syarat bagi mereka yang mengalami masalah mental untuk keluar dari negara ini bagi mengelak kejadian sama berulang.


Sumber : Utusan Online

December 10, 2009

Jambatan Persahabatan eratkan hubungan

JELI 9 Dis. - Jambatan Bukit Bunga-Ban Buketa di sini yang kini dinamakan Jambatan Persahabatan berjaya mengeratkan hubungan Malaysia dan negara jiran khususnya di kalangan rakyat yang tinggal berjiran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, hubungan persahabatan itu yang terjalin sejak 50 tahun lalu begitu penting, bukan sahaja kerana ia melibatkan jiran terdekat yang berkongsi sempadan tetapi juga aspirasi mereka.

"Kedua-dua kerajaan telah menunjukkan mereka boleh bekerjasama untuk kepentingan rakyat negara masing-masing.

"Tindakan bijak kedua-dua kerajaan pada 14 Oktober 2004 untuk menandatangani perjanjian bagi membina jambatan ini memperlihatkan hubungan baik yang terjalin telah menghasilkan banyak projek dua hala bagi kepentingan rakyat yang tinggal di sempadan bersama," ujarnya.

Najib berkata demikian dalam ucapannya ketika bersama-sama Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva pada Majlis Menamakan Semula Jambatan Bukit Bunga-Ban Buketa sebagai Jambatan Persahabatan di sini hari ini.

Mereka berdua kemudiannya menyaksikan upacara menandatangani perjanjian pemilikan, penyelenggaraan dan penggunaan jambatan itu antara Ketua Pengarah Jabatan Lebuh Raya Thailand, Veera Ruangsooksriwong dan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Malaysia, Prof. Datuk Seri Judin Abdul Karim.

Majlis itu diadakan sempena lawatan sehari Najib ke Narathiwat di Selatan Thailand hari ini.

Jambatan Persahabatan (dulunya Jambatan Muhibah) yang merupakan jambatan kedua merentangi Sungai Golok, merupakan salah satu projek usaha sama yang dilaksanakan oleh kedua-dua negara dengan kos bersama.

Ia di bawah rangka kerja Strategi Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand untuk Kawasan Sempadan (JDS).

Jambatan sepanjang 120 meter itu dibangunkan dengan jalan penghubung yang menelan kos keseluruhan RM9.2 juta dan telah disiapkan pada penghujung 2007.

Dalam ucapannya, Najib berkata, pembinaan Kompleks Kastam dan Imigresen (CIQ) di Bukit Bunga bernilai RM37.2 juta akan siap pertengahan tahun depan.


Sumber : Utusan Online

Komitmen bantu selatan Thai

KUCHING 9 Dis. - Lawatan Datuk Seri Najib Tun Razak ke Narathiwat yang tetap diteruskan hari ini membuktikan pendirian cukup berani dan komitmen luar biasa Malaysia dalam membantu mencari penyelesaian di wilayah selatan negara itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Perdana Menteri telah sedia maklum berlaku insiden serangan bom hingga menyebabkan tiga kematian di wilayah selatan Thailand kelmarin.

Bagaimanapun, katanya, Najib dan Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva tetap mengadakan pertemuan yang membuktikan komitmen tinggi kedua-dua pemimpin itu sekali pun dalam menghadapi ancaman sebegitu rupa.

Menurutnya, hubungan yang baik antara Malaysia-Thailand akan membolehkan Najib dan Abhisit mencari jalan penyelesaian terbaik kepada krisis yang sedang melanda wilayah terbabit.

"Hubungan kedua-dua pemimpin ini begitu erat sekali malah menerusi keikhlasan akan membolehkan banyak perkara diselesaikan bukan setakat keputusan menarik kehadiran tentera di selatan Thailand tetapi lebih daripada itu,"ujarnya.

Sumber : Utusan online

CUEPACS mahu perkhidmatan kontrak ditamatkan

KUALA LUMPUR 9 Dis. - Kerajaan diminta menamatkan skim perkhidmatan kontrak di kalangan penjawat awam mulai tahun 2011 sebaliknya mereka perlu diserapkan ke jawatan tetap.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, penamatan itu perlu dibuat secara berperingkat-peringkat memandangkan terdapat 60,000 pekerja kontrak dalam perkhidmatan awam ketika ini.

"Kita mahu semua pekerja kontrak untuk tahun 2010 diberi jawatan tetap walaupun mereka masih baru, tetapi keutamaan perlu diberikan kepada orang yang telah lama berkhidmat.

"CUEPACS memang memandang serius perkara ini kerana banyak generasi muda, kebanyakannya masih berumur bawah 30 tahun sudah seronok bekerja tetapi perkhidmatan mereka tidak disambung," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menutup Persidangan Perwakilan Kesatuan Inspektor Kesihatan Semenanjung Malaysia Sesi 2009/2011 di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyelar tindakan sesetengah ketua jabatan yang terlalu mudah memberhentikan pekerja dengan menggunakan alasan tidak cukup peruntukan.

"Memang mereka ini kontrak, tetapi kalau sudah berkhidmat sehingga 10 tahun, tak kan senang-senang hendak berhenti.

"Sebagai ketua, janganlah jadi diktator. Pendatang asing pun kita tidak boleh memberhentikan mereka, inikan pula rakyat kita sendiri," katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Omar berkata, pihaknya akan memohon penambahan lima tangga gaji bagi setiap gred perkhidmatan yang telah mencapai tangga gaji mati.

Beliau berkata, perkara itu akan dikemukakan secara terperinci dalam mesyuarat CUEPACS bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang dijangka diadakan selewat-lewatnya minggu pertama bulan Januari tahun hadapan.

"Sebanyak 45 peratus daripada 1.2 juta penjawat awam di negara ini sudah mencapai gaji maksimum.

"Sekiranya tiada kenaikan gaji, kita bimbang ia akan menjejaskan prestasi dan produktiviti," katanya.

Beliau turut berkata, pihaknya akan mengutarakan pembelaan penjawat awam yang telah dikenakan tindakan tata tertib melibatkan pemberhentian kerja, untuk mendapatkan bayaran pampasan perkhidmatan dan gantian cuti rehat yang telah dikumpul.

Katanya, kesalahan yang dilakukan itu tidak ada kena-mengena dengan bayaran pampasan yang dituntut.

Sumber : Utusan online

December 6, 2009

Najib ke selatan Thailand

SEREMBAN 5 Dis. – Datuk Seri Najib Tun Razak berharap kunjungan ke selatan Thailand minggu hadapan membolehkan beliau mengetahui lebih tepat pandangan kerajaan negara itu berhubung konflik yang melanda wilayah berkenaan.

Kata Perdana Menteri, Malaysia ingin mengetahui mengenai pendirian kerajaan Thailand dalam mencari penyelesaian konflik yang berlarutan di selatan negara jiran itu.

‘‘Mengenai pertemuan saya dengan Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva minggu hadapan tentulah yang paling utama mengetahui pandangan mereka berhubung konflik di selatan negara itu.

‘‘Walaupun keadaannya sudah reda sedikit, tetapi ia masih belum lagi menampakkan sesuatu penyelesaian yang komprehensif dan muktamad,” kata beliau.

Najib berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan pingat acara badminton Program Tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) Malaysia 2009 di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini hari ini.

Kata Perdana Menteri, beliau akan melakukan lawatan bersama Abhisit ke kawasan berkenaan.

‘‘Ini merupakan jemputan beliau (Abhisit) dan cadangan beliau untuk memberi saya peluang bertemu dengan pemimpin Islam di kawasan tersebut.

‘‘Dengan ini, saya boleh memberi sedikit nasihat kepada mereka bahawa pentingnya semua pihak menjalinkan kerjasama sebagai satu barisan untuk mencapai penyelesaian yang boleh menentukan masa depan yang lebih terjamin,” kata Najib.

Menjawab soalan pemberita berhubung cadangan diwujudkan satu wilayah autonomi di selatan Thailand, Najib menjelaskan, perkataan ‘autonomi’ di negara Thailand memberi pelbagai maksud.

‘‘Kita tidak panggil ‘autonomi’ kerana ia membawa pelbagai pengertian.

‘‘Tetapi apa yang kita harapkan masyarakat tempatan (selatan Thailand) diberi peluang untuk membuat keputusan dalam bidang berkaitan kebajikan, pendidikan, pentadbiran agama dan kebudayaan,” ujar beliau.

Najib berharap pertemuan dengan Abhisit nanti akan memberi ruang kepada masyarakat Islam di selatan negara itu untuk mengemukakan pandangan terhadap konflik yang berlarutan.

‘‘Kita juga harap kerajaan negara itu menekankan soal pembangunan ekonomi, sosial, pendidikan dan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak lagi.

‘‘Jika ini dapat dinikmati oleh rakyat Thailand di selatan negara itu, masa hadapan mereka akan lebih terjamin dan terbela,’’ katanya.

Sumber : Utusan Malaysia Online

LIMA 2009 berakhir cemerlang

LANGKAWI 5 Dis. - Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2009 yang bermula Selasa lalu melabuhkan tirainya hari ini dengan mencatatkan urus niaga industri pertahanan dan keselamatan yang dianggarkan bernilai RM9.5 bilion.

Jumlah dagangan itu melibatkan nilai rasmi sebanyak RM4.7 bilion, manakala bakinya melibatkan persetujuan pelbagai memorandum persefahaman (MoU) dan kontrak tidak rasmi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah rasmi berkenaan, syarikat swasta mencatatkan pemeteraian kontrak dan MoU terbesar iaitu sebanyak RM2.4 bilion

Katanya, Kementerian Pertahanan pula mencatatkan nilai keseluruhan RM1.27 bilion diikuti urus niaga syarikat swasta di tapak pameran masing-masing (RM1 bilion) dan agensi-agensi kerajaan lain sejumlah RM17.56 juta.

"Jumlah ini rendah sedikit daripada yang dicatatkan pada penganjuran dua tahun lalu tetapi kita faham ia disebabkan kemelesetan ekonomi yang teruk ketika ini.

"Saya yakin untuk tempoh dua tahun akan datang, beberapa majlis menandatangani kontrak dan pembekalan aset tentera akan terus dijalankan yang kita akan umumkan dari semasa ke semasa," katanya pada sidang akhbar LIMA 2009 yang berakhir hari ini di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini.

Edisi LIMA kali ini melibatkan 325 peserta dari 25 buah negara antaranya Australia, Belarus, Denmark Singapura, New Zealand, Indonesia, Hong Kong, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).

Ia dibahagikan kepada dua sektor iaitu maritim yang diadakan di Awana Porto Malai dan segmen udara di MIEC.

Ahmad Zahid berkata, LIMA 2009 berlangsung dengan jaya termasuk menyaksikan penyertaan syarikat tempatan yang menempah seluas 37 peratus lantai pameran sekali gus membuktikan mereka mula bergerak untuk menjadi pemain-pemain utama dalam industri pertahanan.

Katanya, ia juga menyaksikan kehadiran panglima laut seramai 31 orang dari seluruh dunia yang mengambil bahagian dalam Persidangan Maritim Antarabangsa.

Menurut beliau, LIMA 2009 yang mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan turut menyemarakkan lagi industri pelancongan negara apabila ia menganjurkan karnival di pekarangan letak kereta Awana Porto Malai dan Kompleks Pekan Rabu di Kuah.

"Para peserta karnival itu mempamerkan pelbagai jenis produk, kraf tangan dan makanan yang terdapat di negeri masing-masing bagi membolehkan pengunjung mengenali produk mereka," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberitahu, kehadiran pelawat yang mengunjungi pameran sepanjang lima hari itu dianggarkan mencecah 78,000 orang.

Katanya, ia melibatkan pelawat perdagangan sejumlah 38,000 orang dan bakinya merupakan pengunjung awam.

Menurut beliau, LIMA yang dianjurkan sejak 1991 hasil ilham bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan diteruskan pada 2011.

Sumber : Utusan Online

2 lagi kategori dilulus

KUALA LUMPUR 5 Dis. – Kabinet telah meluluskan dua lagi kategori baru bagi Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai tambahan kepada lima kategori sedia ada untuk diguna pakai dalam menguruskan pendaftaran golongan itu.

Kategori baru OKU itu adalah ‘kurang upaya pertuturan’ khusus untuk yang tidak boleh bertutur sehingga menyebabkan gangguan berkomunikasi seperti afonia (tidak ada suara) dan dysarthria (tidak boleh bercakap).

Sementara itu ‘orang kurang upaya mental’ pula merujuk kepada seseorang yang menghidap skizofrenia, kecelaruan emosi, kecelaruan mental yang serius dan kronik serta menjalani rawatan psikiatri sekurang-kurang dua tahun.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, dengan tambahan itu kini terdapat tujuh kategori OKU yang boleh diguna pakai dalam menguruskan pendaftaran mereka di negara ini.

‘‘Dengan tambahan itu, lebih ramai yang mengalami ketidakupayaan akan mendapat manfaat serta kemudahan yang disedia selaras dengan dasar dan Pelan Tindakan Nasional OKU,’’ jelasnya.

Beliau berkata demikian, pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari OKU Peringkat Kebangsaan 2009 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menterinya, Datuk Paduka Chew Mei Fun dan Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Meme Zainal Rashid.

Kategori OKU sedia ada, adalah golongan kurang upaya penglihatan, kurang pendengaran, kurang upaya fizikal, masalah pembelajaran dan kurang upaya pelbagai.

Shahrizat memberitahu, kerajaan melalui Bajet 2010 memperuntukkan RM224 juta membantu OKU melaksanakan program pemulihan dalam komuniti dan menaik taraf empat buah institusi Taman Sinar Harapan di negara ini.

Katanya, kerajaan sangat peka nasib OKU dan mahu mereka mendapat hak menikmati kualiti hidup yang sempurna sama seperti anggota masyarakat lain.

Jelas beliau, apa sahaja perancangan yang mahu dibuat dalam kerajaan mesti mengambil kira hak OKU.

Sehubungan itu, Shahrizat menyeru agensi kerajaan dan swasta memberi peluang pekerjaan kepada OKU dan membantu mereka mencapai impian menjadi usahawan.

‘‘Mereka berbakat dalam pelbagai bidang. Kita mesti cari mereka untuk mengilap potensi yang ada,’’ katanya.


Sumber : Utusan Malaysia Online