December 6, 2009

Najib ke selatan Thailand

SEREMBAN 5 Dis. – Datuk Seri Najib Tun Razak berharap kunjungan ke selatan Thailand minggu hadapan membolehkan beliau mengetahui lebih tepat pandangan kerajaan negara itu berhubung konflik yang melanda wilayah berkenaan.

Kata Perdana Menteri, Malaysia ingin mengetahui mengenai pendirian kerajaan Thailand dalam mencari penyelesaian konflik yang berlarutan di selatan negara jiran itu.

‘‘Mengenai pertemuan saya dengan Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva minggu hadapan tentulah yang paling utama mengetahui pandangan mereka berhubung konflik di selatan negara itu.

‘‘Walaupun keadaannya sudah reda sedikit, tetapi ia masih belum lagi menampakkan sesuatu penyelesaian yang komprehensif dan muktamad,” kata beliau.

Najib berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan pingat acara badminton Program Tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) Malaysia 2009 di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini hari ini.

Kata Perdana Menteri, beliau akan melakukan lawatan bersama Abhisit ke kawasan berkenaan.

‘‘Ini merupakan jemputan beliau (Abhisit) dan cadangan beliau untuk memberi saya peluang bertemu dengan pemimpin Islam di kawasan tersebut.

‘‘Dengan ini, saya boleh memberi sedikit nasihat kepada mereka bahawa pentingnya semua pihak menjalinkan kerjasama sebagai satu barisan untuk mencapai penyelesaian yang boleh menentukan masa depan yang lebih terjamin,” kata Najib.

Menjawab soalan pemberita berhubung cadangan diwujudkan satu wilayah autonomi di selatan Thailand, Najib menjelaskan, perkataan ‘autonomi’ di negara Thailand memberi pelbagai maksud.

‘‘Kita tidak panggil ‘autonomi’ kerana ia membawa pelbagai pengertian.

‘‘Tetapi apa yang kita harapkan masyarakat tempatan (selatan Thailand) diberi peluang untuk membuat keputusan dalam bidang berkaitan kebajikan, pendidikan, pentadbiran agama dan kebudayaan,” ujar beliau.

Najib berharap pertemuan dengan Abhisit nanti akan memberi ruang kepada masyarakat Islam di selatan negara itu untuk mengemukakan pandangan terhadap konflik yang berlarutan.

‘‘Kita juga harap kerajaan negara itu menekankan soal pembangunan ekonomi, sosial, pendidikan dan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak lagi.

‘‘Jika ini dapat dinikmati oleh rakyat Thailand di selatan negara itu, masa hadapan mereka akan lebih terjamin dan terbela,’’ katanya.

Sumber : Utusan Malaysia Online

No comments: