December 19, 2009

Jangan terpedaya tawaran lumayan

KUALA LUMPUR 18 Dis. - Kerisauan seorang adik terhadap nasib abangnya yang ditahan pihak berkuasa Argentina sejak lapan bulan lalu selepas terpedaya dengan sindiket penyeludupan dadah, berakhir hari ini.

Kepulangan P. Jaya Kumar, 38, ke tanah air hari ini disambut dengan air mata gembira oleh ahli keluarganya yang menunggunya sejak awal pagi.

Adiknya, P. Chitradevi, 33, tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja melihat abangnya dibawa masuk ke sidang akhbar Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, badan yang membantu membawa pulang lelaki itu dengan kerjasama Wisma Putra dan Polis Diraja Malaysia.

Tanpa menghiraukan wakil media yang memenuhi bilik sidang akhbar di pejabat biro itu di sini, mereka saling berpelukan sambil tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kepada ketiga-tiga pihak yang membantu menyelamatkan Jaya Kumar.

"Saya ingin menasihatkan orang ramai supaya jangan terpedaya dengan tawaran lumayan untuk menjadi penghantar barang yang diragui ke luar negara.

"Abang saya hampir terpedaya dengan tawaran sindiket penyeludupan dadah antarabangsa itu sehingga terkandas di Argentina selama beberapa bulan," kata Chitradevi.

Jaya Kumar yang disahkan menghidap masalah mental menjadi mangsa penipuan sindiket dadah kononnya untuk mengambil sebuah lampu meja dari Sao Paolo, Brazil untuk dibawa ke Buenos Aires, Argentina.

Namun, sindiket itu yang didalangi jirannya dan Philip, seorang lelaki warga Nigeria hanya mahu menggunakan Jaya Kumar untuk menyeludup bekalan dadah dari Sao Paolo ke Buenos Aires.

Perjalanan Jaya Kumar bagaimanapun terkandas di Buenos Aires pada 20 Jun lalu apabila tiket penerbangan untuk mengambil dadah di Sao Paolo tidak disediakan.

Dia kemudian ditahan pihak berkuasa Argentina sebelum berita mengenai penahanannya itu disampaikan kepada keluarga yang tinggal di Setapak.

Chitradevi berkata, kali terakhir dia bertemu abangnya ialah pada 28 April lalu sebelum Jaya Kumar berlepas ke Singapura.

"Dia (Jaya Kumar) ada memberitahu telah mendapat pekerjaan di Singapura namun kami tidak risau sesuatu yang buruk kerana dia biasa bekerja di sana pada lewat 90-an.

"Tetapi, sebaik sahaja mendapat berita penahanannya kami terkejut kerana dia berada terlalu jauh. Saya kemudian berusaha mendapatkan bantuan Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO," jelasnya.

Dalam pada itu, Jaya Kumar ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, dia tidak menyangka akan menjadi mangsa penipuan sindiket itu untuk membawa dadah ke negara asing.

Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh berkata, biro itu pada mulanya menjangkakan Jaya Kumar akan pulang pada 22 Disember ini.

"Bagaimanapun, hasil kerja keras yang dilakukan, kita dapat membawa dia pulang bertemu keluarganya lebih awal iaitu hari ini," katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya Kementerian Kesihatan dan Jabatan Imigresen memperketatkan syarat-syarat bagi mereka yang mengalami masalah mental untuk keluar dari negara ini bagi mengelak kejadian sama berulang.


Sumber : Utusan Online

No comments: