KUALA TERENGGANU 22 Dis. - Kejadian bumbung runtuh yang sudah beberapa kali berlaku di Terengganu boleh menjejaskan imej kerajaan negeri sekali gus menimbulkan persoalan mengenai mutu kerja kontraktor di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said (gambar) yang kecewa dengan kejadian itu berkata, perkara tersebut boleh dielakkan sekiranya kontraktor bertanggungjawab melaksanakan projek menurut spesifikasi.
Menurutnya, ia berlaku kerana ramai kontraktor menjalankan kerja sambil lewa di samping kurang pengawasan oleh pegawai jabatan kerajaan terlibat.
''Ini yang saya rasa dukacita, kenapa ia berlaku. Sebelum ini sudah dua tiga kali kejadian runtuhan bumbung berlaku, sekarang berlaku lagi.
''Semasa diserahkan kepada kontraktor, pegawai datang, kemudian tak datang-datang. Mereka harus menjalankan projek dengan rasa tanggungjawab kerana setiap sen wang yang dibelanjakan adalah wang rakyat," katanya di luar Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Beliau mengulas kejadian sengkuap kaca pada bumbung terminal pengangkutan awam bernilai RM4.2 juta yang dalam pembinaan di Kuala Berang, Hulu Terengganu runtuh semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, tiga pekerja Bangladesh dan seorang pekerja tempatan yang sedang melakukan kerja-kerja memasang plat kaca pada sengkuap untuk bumbung bahagian hadapan terminal itu cedera akibat terkena serpihan kaca.
Pembinaan bumbung tersebut bermula sejak seminggu lalu.
Ahmad berkata, berikutan beberapa kejadian runtuhan bumbung itu, kerajaan negeri akan menyenaraihitamkan pemaju yang tidak menepati spesifikasi projek.
Menurut beliau, kerajaan negeri terpaksa mengambil tindakan tegas bagi memastikan setiap projek dilaksanakan sempurna dan selamat digunakan.
Katanya, tidak ada pihak yang selamat jika pemaju gagal mematuhi spesifikasi ditetapkan.
''Saya harap pengawasan projek sama ada oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) atau pihak-pihak lain dibuat dengan lebih ketat," katanya.
Jelasnya, kerajaan negeri akan menyiasat kejadian tersebut sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
''Sepatutnya dalam setiap pelaksanaan projek, JKR perlu mengadakan pemantauan bagi memastikan projek tidak menghadapi masalah.
''Apa yang mendukacitakan semasa diserahkan kepada kontraktor, pegawai datang lepas itu tidak datang-datang.
''Pegawai datang semula semasa nak serah bangunan. Sebahagian projek yang saya tengok ada yang buat pentas lain sebelah, mungkin silap baca pelan tapi kalau pegawai kita (JKR) ada, boleh tegur," katanya.
Sumber : Utusan Online
No comments:
Post a Comment