December 19, 2009

Kembalikan kegemilanganbola sepak

KUALA LUMPUR 18 Dis. - Kejayaan skuad bola sepak bawah 23 tahun negara, mengukir sejarah tersendiri menamatkan penantian 20 tahun pingat emas setelah berjaya menumpaskan 1-0 pasukan Vietnam pada perlawanan akhir pada Sukan SEA ke-25 di Laos, diharap dapat mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak tanah air.

Bekas pemain kebangsaan, Dollah Salleh berkata, beliau berbangga dengan kejayaan itu yang ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia yang akhirnya termakbul.

"Diharap kejayaan ini mampu menceriakan dan sekali gus menghidupkan kembali kegemilangan sukan bola sepak negara setelah mengalami zaman kemerosoton," katanya di sini semalam.

Dollah merupakan antara penjaring gol ketika kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas pada Sukan SEA di Kuala Lumpur semasa mengalahkan Singapura dengan jaringan 3-1 pada tahun 1989.

Beliau berkata, kejayaan yang dicipta oleh skuad bimbingan K.Rajagobal perlu diteruskan agar skuad negara terus digeruni oleh pasukan lawan.

"Saya harap pemain kita dapat kekalkan prestasi mereka dari semasa ke semasa sekiranya ingin terus memegang gelaran juara pada Sukan SEA di Bandung, Indonesia pada 2011 nanti," katanya.

Sementara itu, bekas ketua pasukan bola sepak negara, Ahmad Yusof menyifatkan kemenangan semalam telah berjaya mengubat luka yang telah lama terpendam dalam hati setiap pemain dan peminat bola sepak di negara ini.

"Secara tidak langsung kemenangan hari ini juga dapat menaikkan kembali semangat setiap pemain yang beraksi pada liga Malaysia yang sebelum ini seolah-olah dipandang lekeh," katanya.

Ahmad juga berharap selepas ini liga Malaysia tidak lagi dianggap sebagai kurang berkualiti kerana mereka telah berjaya membuktikan kemampuan sebenar pasukan bola sepak negara.

Sumber- BERNAMA

No comments: