Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, hubungan persahabatan itu yang terjalin sejak 50 tahun lalu begitu penting, bukan sahaja kerana ia melibatkan jiran terdekat yang berkongsi sempadan tetapi juga aspirasi mereka.
"Kedua-dua kerajaan telah menunjukkan mereka boleh bekerjasama untuk kepentingan rakyat negara masing-masing.
"Tindakan bijak kedua-dua kerajaan pada 14 Oktober 2004 untuk menandatangani perjanjian bagi membina jambatan ini memperlihatkan hubungan baik yang terjalin telah menghasilkan banyak projek dua hala bagi kepentingan rakyat yang tinggal di sempadan bersama," ujarnya.
Najib berkata demikian dalam ucapannya ketika bersama-sama Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva pada Majlis Menamakan Semula Jambatan Bukit Bunga-Ban Buketa sebagai Jambatan Persahabatan di sini hari ini.
Mereka berdua kemudiannya menyaksikan upacara menandatangani perjanjian pemilikan, penyelenggaraan dan penggunaan jambatan itu antara Ketua Pengarah Jabatan Lebuh Raya Thailand, Veera Ruangsooksriwong dan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Malaysia, Prof. Datuk Seri Judin Abdul Karim.
Majlis itu diadakan sempena lawatan sehari Najib ke Narathiwat di Selatan Thailand hari ini.
Jambatan Persahabatan (dulunya Jambatan Muhibah) yang merupakan jambatan kedua merentangi Sungai Golok, merupakan salah satu projek usaha sama yang dilaksanakan oleh kedua-dua negara dengan kos bersama.
Ia di bawah rangka kerja Strategi Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand untuk Kawasan Sempadan (JDS).
Jambatan sepanjang 120 meter itu dibangunkan dengan jalan penghubung yang menelan kos keseluruhan RM9.2 juta dan telah disiapkan pada penghujung 2007.
Dalam ucapannya, Najib berkata, pembinaan Kompleks Kastam dan Imigresen (CIQ) di Bukit Bunga bernilai RM37.2 juta akan siap pertengahan tahun depan.
Sumber : Utusan Online
No comments:
Post a Comment