LANGKAWI 5 Dis. - Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2009 yang bermula Selasa lalu melabuhkan tirainya hari ini dengan mencatatkan urus niaga industri pertahanan dan keselamatan yang dianggarkan bernilai RM9.5 bilion.
Jumlah dagangan itu melibatkan nilai rasmi sebanyak RM4.7 bilion, manakala bakinya melibatkan persetujuan pelbagai memorandum persefahaman (MoU) dan kontrak tidak rasmi.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah rasmi berkenaan, syarikat swasta mencatatkan pemeteraian kontrak dan MoU terbesar iaitu sebanyak RM2.4 bilion
Katanya, Kementerian Pertahanan pula mencatatkan nilai keseluruhan RM1.27 bilion diikuti urus niaga syarikat swasta di tapak pameran masing-masing (RM1 bilion) dan agensi-agensi kerajaan lain sejumlah RM17.56 juta.
"Jumlah ini rendah sedikit daripada yang dicatatkan pada penganjuran dua tahun lalu tetapi kita faham ia disebabkan kemelesetan ekonomi yang teruk ketika ini.
"Saya yakin untuk tempoh dua tahun akan datang, beberapa majlis menandatangani kontrak dan pembekalan aset tentera akan terus dijalankan yang kita akan umumkan dari semasa ke semasa," katanya pada sidang akhbar LIMA 2009 yang berakhir hari ini di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini.
Edisi LIMA kali ini melibatkan 325 peserta dari 25 buah negara antaranya Australia, Belarus, Denmark Singapura, New Zealand, Indonesia, Hong Kong, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).
Ia dibahagikan kepada dua sektor iaitu maritim yang diadakan di Awana Porto Malai dan segmen udara di MIEC.
Ahmad Zahid berkata, LIMA 2009 berlangsung dengan jaya termasuk menyaksikan penyertaan syarikat tempatan yang menempah seluas 37 peratus lantai pameran sekali gus membuktikan mereka mula bergerak untuk menjadi pemain-pemain utama dalam industri pertahanan.
Katanya, ia juga menyaksikan kehadiran panglima laut seramai 31 orang dari seluruh dunia yang mengambil bahagian dalam Persidangan Maritim Antarabangsa.
Menurut beliau, LIMA 2009 yang mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan turut menyemarakkan lagi industri pelancongan negara apabila ia menganjurkan karnival di pekarangan letak kereta Awana Porto Malai dan Kompleks Pekan Rabu di Kuah.
"Para peserta karnival itu mempamerkan pelbagai jenis produk, kraf tangan dan makanan yang terdapat di negeri masing-masing bagi membolehkan pengunjung mengenali produk mereka," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberitahu, kehadiran pelawat yang mengunjungi pameran sepanjang lima hari itu dianggarkan mencecah 78,000 orang.
Katanya, ia melibatkan pelawat perdagangan sejumlah 38,000 orang dan bakinya merupakan pengunjung awam.
Menurut beliau, LIMA yang dianjurkan sejak 1991 hasil ilham bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan diteruskan pada 2011.
Sumber : Utusan Online
No comments:
Post a Comment