December 3, 2010

17,927 unit netbook diagihkan

KUANTAN 30 Nov. - Sebanyak 17,927 unit netbook 1Malaysia diagihkan kepada pelajar-pelajar sekolah menengah bagi fasa pertama di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengedarkan netbook 1Malaysia melalui 37 buah Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) bagi fasa pertama.

"Setiap PJK akan menerima sebanyak 500 unit netbook dan akan diagihkan kepada sekolah-sekolah yang berhampiran dengan jarak yang munasabah.

"Sementara itu, pelajar yang layak dari sekolah yang tidak tersenarai atau berhampiran PJK akan dimasukkan di bawah peruntukan pemberian netbook 1Malaysia bagi fasa kedua," katanya ketika menjawab soalan Datuk Abu Bakar Harun (BN- Chini) mengenai pengagihan netbook 1Malaysia kepada pelajar sekolah-sekolah di Pahang.

Beliau berkata demikian pada Sidang Dewan Undangan Negeri di Wisma Seri Pahang di sini hari ini.

Menurut Mohd. Sharkar, pemberian netbook itu merupakan usaha untuk membantu mencapai sasaran 50 peratus penembusan jalur lebar isi rumah menjelang akhir tahun ini termasuk membudayakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) agar menjadi gaya hidup rakyat.

Dalam itu, katanya, pemberian netbook fasa kedua bagi Pahang akan melibatkan satu jawatankuasa yang dianggotai oleh SKMM, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) yang ditubuhkan pada 1 Oktober lalu.

Tambahnya, nama-nama penerima akan diselaraskan oleh PPD selepas pihak sekolah mengeluarkan senarai nama yang layak berdasarkan kriteria ditetapkan.

Sumber : Utusan Malaysia Online

No comments: