December 9, 2010

Selangor terima lebih RM1 bilion selenggara jalan negeri

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan berjumlah RM1.156 bilion kepada Selangor sehingga 30 September ini bagi membantu meningkatkan infrastruktur jalan di negeri itu meliputi tempoh empat tahun bermula 2007.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata peruntukan itu diberi bagi membantu kerajaan Selangor menyelenggara jalan negeri di bawah Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri, mengikut peruntukan Perkara 109(1)(b), Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Teresa Kok (DAP-Seputeh) yang bertanya mengenai jumlah peruntukan infrastruktur yang telah disalurkan ke Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah sepanjang tempoh itu.

Najib yang juga Menteri Kewangan turut memberi pecahan peruntukan yang disalurkan kepada Selangor iaitu RM276.7 juta (2007), RM300.9 juta (2008), RM315.6 juta (2009) dan RM263 juta (setakat September 2010).

Sejumlah RM175.65 juta telah diperuntukkan kepada Pulau Pinang bagi tempoh empat tahun manakala Kelantan memperoleh RM284.3 juta dan Kedah RM479.45 juta bagi tempoh sama. - BERNAMA

No comments: