KUALA LUMPUR: Program ‘Teach For Malaysia’ yang dilancarkan semalam bakal melengkapi inisiatif penting yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan untuk meningkatkan mutu pendidikan di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata ini kerana program itu berkait rapat dengan dasar dalam Rancangan Malaysia ke-10 yang bertujuan membangunkan modal insan berkualiti.
“Sungguhpun fokus utama program ini adalah untuk membekalkan guru yang berkualiti kepada sekolah-sekolah berpencapaian rendah, program ini adalah berkait rapat dengan dasar di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.
“Usaha ini adalah teras kepada percambahan inovasi dan pertumbuhan ekonomi berpendapatan tinggi yang merupakan matlamat utama negara kita pada waktu ini,” katanya ketika berucap melancarkan program itu di sini.
Beliau berharap program itu akan dapat menarik minat graduan-graduan cemerlang akademik untuk menyumbang kepada sektor pendidikan.
Program ‘Teach For Malaysia’ atau ‘Mendidik Demi Malaysia’ berasaskan konsep mengajar sambil berbakti yang dipelopori oleh rangkaian global, Teach For All, yang memberi peluang kepada graduan cemerlang untuk berkhidmat kepada negara dengan menyertai profesion perguruan setelah menamatkan pengajian di universiti.
“Saya percaya dengan bakat dan ilmu yang dimiliki, para graduan cemerlang yang menyertai program ini akan dapat melaksanakan tugas sebagai guru dengan efektif, sekali gus membantu meningkatkan pencapaian murid terutamanya di sekolah-sekolah berprestasi rendah,” katanya.
Muhyiddin berkata Malaysia merupakan negara pertama di Asia Tenggara dan ketiga di Asia selepas India dan Cina yang melaksanakan inisiatif penting itu.
Katanya program itu telah dimasukkan dalam RMK-10 dan dikenal pasti sebagai program yang mampu memantapkan kualiti profesion keguruan di negara ini berdasarkan kejayaan yang telah dicapai di Amerika Syarikat dan United Kingdom melalui pelaksanaan Teach For America dan Teach First UK.
Kementerian Pelajaran menjalankan kajian awal untuk melihat kebolehlaksanaan program itu di Malaysia pada 2009.
Muhyiddin berkata kewujudan program itu merupakan satu petanda baik mengenai tahap penglibatan sosial yang tinggi dalam kalangan generasi muda negara bagi menangani isu dan cabaran pendidikan.
“Saya percaya sekiranya kita memberi sokongan yang padu kepada generasi muda kita untuk melaksanakan program ini, kita sebenarnya telah membuat satu pelaburan bijak untuk masa depan negara,” katanya.
Muhyiddin berkata penempatan peserta Mendidik Demi Malaysia di sekolah-sekolah berkeperluan tinggi akan bermula pada Januari 2012.
Program kerjasama Kementerian Pelajaran dan Yayasan Teach For Malaysia itu membuka permohonan penyertaan bermula 11 Jan tahun depan dan peserta terpilih diwajibkan menjalani kursus intensif selama lapan bulan di Insitut Aminuddin Baki sebelum ditempatkan di sekolah-sekolah terpilih selama dua tahun.
Latihan itu akan melayakkan peserta untuk menyertai profesopn perguruan sekiranya mereka berminat selepas menamatkan program berkenaan, katanya.
Pada sidang akhbar kemudian, Muhyiddin berkata beliau yakin program itu akan mendapat sambutan graduan berdasarkan jumlah permohonan bagi mengikuti profesion perguruan iaitu kira-kira 10,000 setiap tahun.
Seramai 50 peserta akan terlibat dalam sesi pertama program itu, dengan dua peserta ditempatkan di setiap sekolah yang berkeperluan.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan belum menetapkan jumlah sekolah yang akan terlibat dalam program berkenaan. — Bernama
No comments:
Post a Comment