KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menegaskan penyediaan prasarana mesra keluarga di tempat kerja bukan hanya untuk kepentingan golongan wanita, tetapi turut memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi di negara ini.
Beliau berkata Program Pembangunan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) menyatakan Keluaran Domestik Kasar Malaysia mampu tumbuh sebanyak dua hingga lima peratus setahun jika kadar penyertaan buruh wanita meningkat dari 47 kepada 70 peratus.
"Statistik sekarang menunjukkan wanita mewakili 46 peratus daripada golongan profesional di negara ini," katanya kepada pemberita pada Sidang Kemuncak Wanita 2010 'Cabaran Arah Pemikiran: Mengubah Kehidupan' di sini.
Shahrizat berkata penglibatan wanita dalam bidang profesional di negara ini agak jauh ketinggalan berbanding negara lain seperti Australia, Kanada dan Amerika Syarikat yang mencapai kira-kira 70 peratus penglibatan wanita dalam bidang professional.
Justeru itu katanya sikap sesetengah majikan yang menganggap susah untuk menyediakan prasarana di tempat kerja seperti pusat penjagaan kanak-kanak harus diubah kerana ia turut memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi.
"Antara suka atau tidak penyediaan prasarana yang mesra keluarga mesti dibuat oleh semua majikan termasuk kementerian lain, ia bukan hanya isu wanita tetapi juga isu ekonomi dan sosial," katanya.
Beliau berkata semua majikan harus memainkan peranan yang penting bagi memastikan keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan (keluarga) bagi pekerja wanita dipelihara dan dijaga.
-- BERNAMA
Nelayan Berjaya Naikkan Ikan Pari Seberat 250 Kilogram
-
MIRI: Seorang nelayan dari Kuala Sibuti dekat sini, terkejut apabila pukat
yang dinaikkannya bukan hanya mengaut ikan biasa malah seekor ikan pari
gerga...
5 years ago
No comments:
Post a Comment