October 29, 2011

Semua guru Tadika Kemas miliki diploma menjelang 2015: Shafie

KOTA KINABALU: Semua guru Tadika Kemas di negara ini dijangka mendapat diploma dan bergred S27 menjelang tahun 2015.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata usaha ke arah itu sedang dilaksanakan termasuk melatih mereka dengan mengikuti kursus dalam cuti di institut perguruan di seluruh negara.
Beliau berkata, setakat ini lebih 2,000 orang daripada lebih 9,000 guru tadika Kemas di seluruh negara sudah menamatkan pengajian mereka di peringkat diploma.

Katanya, di Sabah, kumpulan pertama seramai 250 orang daripada 824 orang guru Tadika Kemas sudah memperolehi diploma.

"Program ini kita akan teruskan sehingga mereka semua memperolehi diploma seperti yang dirancang selaras dengan wawasan kita untuk memperkasakan lagi pendidikan prasekolah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Anggota Kemas Negeri Sabah di Dewan Saadah Wisma Muis dekat sini, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Shafie mahu semua pihak memainkan peranan untuk memperjelaskan kepada masyarakat tentang pentingnya pendidikan prasekolah, sekali gus memastikan transformasi pendidikan dapat dikecapi segenap rakyat terutama di luar bandar.

Katanya, kementeriannya juga amat prihatin akan keperluan prasarana yang lengkap terutama di kawasan pedalaman negeri ini.
Katanya, kementerian sudah mencatat kejayaan dalam pelaksanaan KPI dan NKRA dengan jumlah pembukaan kelas sebanyak 500 buah pada tahun 2010, menjadikan sebanyak 8,816 tadika dan 313 taska yang beroperasi di seluruh negara yang membabitkan seramai 200,417 kanak-kanak berumur antara dua hingga enam tahun.

"Pada tahun ini pula, sasaran bilangan kelas Tadika Kemas sebanyak 9,816 buah berjaya dicapai iaitu sehingga Julai 2011 sebanyak 9,816 kelas berjay dibuka dengan bilangan kanak-kanak seramai 215,834 orang dan dikendalikan oleh seramai 9,824 guru," katanya.

Sementara itu, Shafie mengingatkan warga Felcra supaya tidak terpengaruh dengan hasutan mana-mana pihak yang cuba memburuk-burukkan kerajaan.

"Cerita ini (hasutan) langsung tidak membantu kita, bukan bagi beli kelapa sawit, bukan bagi beli getah, bukan dia buat rumah untuk kita.

"Kadang-kadang dia cerita tentang kerajaan tidak bantu, dividen tidak cukup tetapi kita sedar dan tahu kerajaan bantu kita sedangkan yang tabur fitnah ini tidak membantu, jadi apa hal kita mahu dengar dia," katanya.

Semalam, Pengerusi Felcra, Datuk Tajuddin Abd Rahman dipetik sebagai berkata bahawa pihaknya mengesan tindakan pihak tertentu yang menjalankan kegiatan menghasut peserta agensi tersebut terutamanya masyarakat Orang Asli supaya membenci kerajaan.

Kegiatan itu dikesan berikutan penemuan risalah memburuk-burukkan kerajaan serta agensi berkenaan di sekitar perkampungan Orang Asli di negeri ini.

Shafie berkata, pelbagai bantuan dan program dijalankan oleh Felcra secara berterusan bagi membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat dan rakyat seharusnya tahu menilai dan menolak pembohongan yang dibuat pihak tertentu yang tidak akan memberikan manfaat. - BERNAMA

Banjir landa barat Bangkok, bergerak ke pusat bandar raya

BANGKOK 29 Okt. – Banjir di ibu negara ini terus merebak ke bahagian barat dan bergerak perlahan menuju pusat bandar raya ekoran sedikit limpahan air Sungai Chao Phraya.

Gabenor Bangkok, Sukhumbhand Paribatra hari ini mengarahkan penduduk di daerah Thawi Wattana di bahagian barat Bangkok berpindah memandangkan air terus naik.

Sebelum ini, penduduk di bahagian utara Bangkok iaitu daerah-daerah Don Mueang dan Sai Mai serta daerah Bang Phlad di bahagian barat dipindahkan.

Banjir telah merebak ke kawasan lain di barat Bangkok hari ini seperti Charon Santiwong, Chinatown dan Talad Thai, pasar buah-buah dan sayuran segar terbesar di bandar raya ini.

Beberapa kawasan di daerah Bang Khen di bahagian Barat Bangkok masih digenangi air sejak semalam.

Daerah Thon Buri yang hampir dengan pusat bandar raya, terus kritikal selepas ditenggelami air pada paras antara 50sm dan 1 meter sejak semalam. – Bernama

Sibu alami transformasi besar dalam 30 tahun

Daripada bandar kecil, Sibu berkembang pesat dan harungi perubahan fizikal lebih kondusif: Wong

TRANSFORMASI BANDAR SIBU: Wong (dua kiri) melihat lebih dekat Pameran Pembangunan Sibu sambil ditemani oleh (dari kiri) Hii, Lau dan See Meng.

SIBU: Pembangunan Sibu melalui transformasi besar dalam tempoh 30 tahun merangkumi perubahan fizikal bandar yang lebih kondusif.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat, Dato Sri Wong Soon Koh berkata, Sibu berkembang pesat dan maju dalam tempoh tersebut.

“Jika dikenang kembali, bandar Sibu suatu ketika dahulu bandar yang tidak begitu indah seperti yang kita lihat pada hari ini. Saya masih ingat terdapat gerai-gerai kecil di mana-mana sahaja.

“Tak kisah di mana-mana tempat adanya gerai-gerai kecil, di sepanjang jalan dan di lorong belakang. Pasar Lembangan pada ketika itu sangat kotor dan peniaga terpaksa bertahan demi menjalankan urus niaga,” jelasnya.

Wong berkata demikian ketika menyempurnakan Pameran Pembangunan Sibu sempena Ulang Tahun Ke-30 Majlis Perbandaran Sibu (MPS) di Pusat Pameran dan Perdagangan Sibu, semalam.

Katanya lagi, dalam tempoh 30 tahun pembangunan bandar Sibu, kerajaan tempatan telah menukar sistem laluan jalan raya lebih mesra kenderaan dan memperkenalkan sistem lampu isyarat untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Untuk meningkatkan jaringan perhubungan, kerajaan telah membina banyak jambatan yang menghubungkan bandar Sibu ke bahagian lain yang berdekatan.

“Tidak ada bandar lain di Sarawak di mana anda boleh menemui banyak jambatan yang menghubungkan bandar sesebuah bandar ke bandar lain seperti Sibu.

“Sibu kini telah menjadi pusat intelek bagi Kapit, Song, Kanowit, Sarikei dan sebagainya,” ujar beliau yang juga Menteri Kewangan Kedua.

Wong berharap transformasi Sibu menjadi titik permulaan kepada perubahan yang lebih besar pada masa akan datang demi manfaat penduduknya.

“Terdapat 10 industri utama yang terlibat sebagai jentera pembangunan negeri dengan pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE),” katanya lagi.

Menurut Wong, pelabur dari Australia telah melawat negeri ini untuk membincangkan tentang kemungkinan membuka sebuah kilang peleburan baru-baru ini.

“Jika mereka berbuat demikian, maka syarikat tunggal akan dapat meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar Dalam Negeri (KDNK) sebanyak 20 peratus,” jelas beliau.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi MPS merangkap Ahli Parlimen Lanang Datuk Tiong Thai King, Timbalan Pengerusi dan Setiausaha MPS Daniel Ngieng Kiong Ann dan Hii Chang Kee.

Hadir sama ialah Residen Sibu Sim Kok Kee, Pegawai Daerah Sibu Wong See Meng dan Temenggung Vincent Lau Lee Ming serta ketua-ketua jabatan kerajaan dan wakil badan bukan kerajaan (NGO).


October 23, 2011

Sokong Dasar Menyeluruh : Ketua Menteri Sarawak

KOTA SAMARAHAN: Pendekatan yang lebih bersifat terbuka sekarang menyedia-kan ruang kepada para gra-duan untuk memberi maklum balas dalam memperbaiki sistem yang diperke-nalkan kerajaan.

MODAL INSAN BERKUALITI: Taib melihat skrol graduan kurang upaya lepasan program Ekonomi Antarabangsa, Ngu Nyok Ping sambil disaksikan oleh Hatta (dua kanan) dan Khairuddin (dua kiri). Turut kelihatan, penerima-penerima Anugerah Diraja, Khaddraa Rajuli (tiga kiri), dan Chua Kim Eng (kanan) serta penerima Anugerah Khas Senat Lau Ee Li. — Gambar Jeffery Mostapha

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, ia bagi memastikan tidak wujud ketirisan dalam sistem penyampaian dan membasmi ‘Little Napaleon’ sekiranya masih ada di negeri ini.

“Inilah dasar yang perlu kita sokong, dasar yang lebih melihat dan menangani segala permasalahan daripada perspektif lebih menyeluruh dan bukannya daripada sudut pandangan sempit dan ‘populis’,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ke-15 di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTar Putra), di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, Datu Dr Hatta Solhi dan Naib Canselor UNIMAS Profesor, Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid.

Dengan pendekatan tersebut, Taib mahu graduan melengkapkan diri dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran sebagai persediaan untuk mengharungi cabaran ekonomi yang lebih hebat.

Sementara itu, katanya, Sarawak bertuah kerana UNIMAS mempunyai persiapan lengkap dan rapi dalam membantu melahirkan modal insan berkualiti.

Beliau turut mencadangkan agar UNIMAS menggunakan data-data alumni dalam memenuhi pasaran kerja sebagai salah satu indeks pencapaian universiti.

Pada masa sama, katanya, graduan perlu memberi maklum balas dan menyumbang kepada alumni mereka, se-perti yang dipraktikkan beberapa universiti terkemuka dunia, antaranya Havard, Cambridge dan Oxford.

“Saya amat yakin UNIMAS dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dapat menyumbang ke arah negara mencapai status eko-nomi berpendapatan tinggi dan negara maju menjelang 2020,” katanya.

Dalam ucapannya, Taib menegaskan pembudayaan inovasi dalam semua aspek pembelajaran khususnya di peringkat universiti akan menyaksikan peningkatan dalam ekonomi negara selain mewujudkan modal insan yang kompetitif.

Menurutnya, pembudayaan inovasi mampu membawa pembangunan dan transformasi ke tahap lebih tinggi lagi bagi mencapai kejayaan besar pada masa depan.

“Oleh itu, universiti mela-lui pengeluaran graduan yang inovatif dan penyertaan aktif warga akademik harus menjadi wadah paling berkesan sebagai pemacu utama model ekonomi baru negara.

“Di sinilah saya ingin me-lihat universiti berperanan sebagai ejen pembangunan negara secara lebih berkesan,” katanya.

Sementara itu, Khairuddin dalam ucapannya berkata, dua kompleks baru iaitu Pusat Islam dan Kompleks Sukan dan Rekreasi di UNIMAS dijangka siap pada tahun 2012.

Menurut beliau, kompleks sukan itu bagaimanapun dijangka siap lebih awal, sebelum tahun ini berakhir bagi membolehkan universiti itu menjadi tuan rumah kepada Sukan Borneo yang bakal diadakan tidak lama lagi.

“Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak kerajaan persekutuan dalam membantu UNIMAS menjadikan usaha ini kepada satu realiti,” katanya.

Antara prasarana baru UNIMAS ialah Dewan Tunku Abdul Rahman Putera (DeTar Putra) dan Fakulti Eko-nomi & Perniagaan dan Fakulti Sains Sosial.

Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan dijangka akan berpindah ke kampus barat menjelang tahun depan.

“Selaras dengan itu, UNIMAS akan beroperasi di kampus barat secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, Program Sains Asasi Kemanusiaan yang ditawarkan khusus buat lepasan SPM aliran sastera merupakan salah satu daripada pelbagai program baru yang akan diper-kenalkan UNIMAS pada tahun depan.

Katanya, pihak universiti sedang berusaha untuk menawarkan program itu yang di bawah Pusat Pengajian Pra-Universiti (PPPU) UNIMAS.

“Sekiranya tidak ada halangan, program ini dijangka akan mula ditawarkan pada sesi 2012/2013,” katanya.

Menurutnya lagi, PPPU Unimas berjaya berjaya menarik seramai 575 orang pelajar pada sesi 2011/2012 berbanding 232 orang pada sesi sebelumnya.

“Kenaikan jumlah peng-ambilan ini membuktikan masyarakat telah mengetahui tentang kewujudan program asasi di UNIMAS hasil daripada nama baik dan promosi universiti,” katanya.

Sementara itu, majlis konvokesyen selama dua hari yang berakhir hari ini, menyaksi-kan 1,651 graduan menerima ijazah masing-masing.

Daripada jumlah itu, lapan graduan adalah penerima Ijazah Doktor Falsafah dan 126 penerima Sarjana.

Penerima Sarjana Muda pula seramai 1,517 orang yang mana seramai 495 daripada jumlah itu terdiri dari graduan lelaki.

Tahun ini, seramai tujuh graduan dipilih menerima Anugerah Akademik 2011. Anugerah Pendidikan Diraja (dua), Anugerah Canselor (seorang), Anugerah Pro-Canse-lor (seorang) dan Anugerah Khas Senat (tiga)

Barisan Nasional (BN) perlu bersedia dengan perubahan senario politik

SIBU: Barisan Nasional (BN) perlu bersedia dengan perubahan senario politik semasa jika ingin kekal sebagai pucuk pimpinan negara.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Masing berkata, BN kini menghadapi musuh politik yang disifatkan sangat terancang, fokus dan berazam.

“Pakatan Rakyat menguasai dua buah negeri paling maju di negara iaitu Pulau Pinang dan Selangor. Ini bermakna, pembangkang kini mempunyai sumber yang diperlukan untuk melawan BN,” jelasnya pada Majlis Malam Khas PRS Ketujuh, malam kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh itu berkata, BN perlu menangani setiap segmen masyarakat yang berbeza dengan lebih berhati-hati.

“Ia adalah satu kesilapan jika kita menganggap bahawa semua rakyat Malaysia mahu perkara yang sama. Kita tidak boleh menganggap keperluan di luar bandar dan bandar serupa sahaja di bawah satu permintaan.

“Kita juga tidak boleh menakut-nakutkan rakyat untuk menyokong kita dengan menafikan peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) jika mereka enggan mematuhi permintaan kita,” ujar beliau.

Katanya lagi, landskap politik masa kini bukan sekadar pengagihan peruntukan MRP kepada rakyat, malah ia sesuatu yang di luar jangkaan dalam berkhidmat demi rakyat.

“Ramai calon dan parti politik yang gagal bertindak untuk menepati dan memenuhi permintaan rakyat di kawasan konsintuensi masing-masing.

“Jika ia tidak diberi keutamaan, maka banyak lagi yang akan kecundang kerana tidak berubah mengikut arus perubahan zaman dan landskap politik,” jelas Masing.

Dalam perkembangan lain, Masing meluahkan keyakinannya untuk mengekalkan kemenangan enam kerusi Parlimen PRS pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang.

Pada majlis sama, Masing menerima borang keahlian baru PRS di DUN Tamin berjumlah 1,239 orang yang disampaikan oleh Timbalan Presiden PRS, Datuk Joseph Entulu Belaun.

Selain itu, Masing turut menerima borang pendaftaran pengundi di DUN Tamin berjumlah 681 orang yang disampaikan oleh wakil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Matthew Lenggang.

Hadir sama ialah Setiausaha Agung Datuk Wilfred Rata Nissom, Naib Presiden Datuk Billy Abit Joo, Datuk John Sikie Tayai, Datuk Joseph Salang Gandum dan Joseph Mauh Ikeh, Ketua Pergerakan Pemuda Datuk Mong Dagang.

Ketua Pergerakan Wanita Senator Doris Sophia Brodie, Timbalan Bendahari Agung Malcom Mussen Lamoh, Ketua Penerangan Wilson Nyabong Ijang, Timbalan Setiausaha Agung Snowdan Lawan juga hadir.

October 20, 2011

Belanjawan 2012 semarakkan program transformasi

KUALA LUMPUR 19 Okt – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Belanjawan 2012 yang dibentangnya 7 Oktober lepas akan menyemarakkan lagi program transformasi negara yang merangkumi kerajaan, ekonomi dan politik untuk memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

Perdana Menteri berkata, pembentangan belanjawan itu juga diharap dapat memenuhi sebahagian janjinya kepada rakyat seperti yang terangkum dalam prinsip Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

“Transformasi yang kita sedang alami ini perlu memberi manfaat kepada keseluruhan rakyat Malaysia dan bukan hanya segelintir kumpulan sahaja.

“Transformasi ini berpaksikan janji saya kepada anda dan semua Rakyat Malaysia yang disebut pertama kalinya pada April 2009 lalu.

“Pembentangan Belanjawan adalah sebahagian daripada janji ini dan pada Jumaat 7 Oktober lepas, saya harap sebahagian daripada janji ini telah dipenuhi.

“Saya telah nyatakan sebelum ini, ianya bukanlah satu penyelesaian yang muktamad tetapi ianya akan menyemarakkan lagi perjalanan transformasi kita dan ianya terangkum dalam prinsip Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,” katanya dalam entri terkini blog www.1Malaysia.com.my hari ini.

Menghargai reaksi positif rakyat terhadap Belanjawan 2012, sama ada yang disampaikan melalui blog, Facebook, Twitter (juga secara bersemuka), atau dalam penerbitan dan laman web lain, Najib berkata, kerajaan seperti juga rakyat, mahu memastikan negara terus mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan berterusan yang dapat dinikmati dalam suasana harmoni.

“Saya juga maklum tentang keraguan yang dinyatakan oleh sebahagian dari anda,” katanya.

Justeru, kata Perdana Menteri, di dalam Belanjawan itu, kerajaan telah memperkenalkan beberapa langkah yang bertujuan membantu meringankan beban kewangan rakyat dalam keadaan ekonomi yang mencabar kini.

Ini termasuk bayaran RM500 untuk semua isi rumah di Malaysia dengan pendapatan bulanan sebanyak RM3,000 atau ke bawah; pembiayaan baru bagi program anti-kemiskinan 1Malaysia KAR1SMA, dengan bantuan kepada warga tua miskin sebanyak RM300 sebulan dan RM100 sebulan kepada kanak-kanak miskin serta membantu golongan OKU.

Yang lain termasuk rangsangan terhadap pembangunan perumahan awam dan swasta bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia mampu memiliki rumah; pemansuhan yuran tahunan untuk pelajar sekolah rendah dan menengah serta baucer buku RM200 untuk semua rakyat Malaysia yang sedang menuntut dalam Tingkatan 6 dan di institusi pengajian tinggi seluruh negara, katanya. – BERNAMA

Mahasiswa perlu profesional, rasional

PENYERAHAN: Jamil (dua kiri) menerima Resolusi Konvensyen MPP UiTM Se-Malaysia 2011 daripada Mohd Farid sambil disaksikan oleh Wan Akil (kanan) dan Hairul Hafiz (tengah). — Gambar oleh Chimon Upon

Jangan mudah diperguna pihak berkepentingan yang boleh jejas keharmonian

KOTA SAMARAHAN: Mahasiswa dan mahasiswi universiti terutamanya ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) diingatkan agar tidak mudah dipergunakan oleh mana-mana pihak berkepentingan yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak Profesor Datuk Dr Jamil Hamali berkata, sebaliknya mereka perlu lebih profesional dan rasional.

“Di atas bahu anda semua tertanggung satu amanah berat untuk membawa pelbagai isu dan agenda kesiswaan dengan profesional dan penuh diplomasi.

“Dengan disertakan watak yang waras, rasional dan matang dan tidak dicemari tingkah laku bersifat konfrontasi, emosi dan sentimen,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian dan penutupan Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Se-Malaysia 2011 di UiTM Kampus Sarawak di sini, semalam.

Jamil berkata, perwakilan pelajar terutamanya sebagai pemimpin yang berilmu perlu menangani sesuatu isu dengan berhemah dan bertindak dengan rasional serta bersifat terbuka.

“Jauhilah diri daripada bersikap emosi semasa membuat sesuatu tindakan kerana ia bukan sahaja akan merosakkan nama anda tetapi juga nama serta imej universiti,” tegasnya.

Beliau pada masa yang sama berharap perwakilan pelajar bukan sahaja setakat memimpin mahasiswa dan siswi di kampus sahaja tetapi melangkaui kawasan mereka itu.

Jamil berkata, MPP merupakan suara mahasiswa dan mahasiswi yang boleh bertindak secara proaktif dalam melicinkan pentadbiran universiti.

“Melalui konvensyen sebegini ia akan mempertajamkan minda ke arah menjana kecemerlangan kepimpinan mahasiswa dalam konteks sebagai aset mengurus kejayaan negara pada masa depan,” katanya.

Konvensyen bertemakan ‘Empowering Student-Changing The Mindset’ dihadiri kira-kira 106 ahli MPP dari cawangan UiTM seluruh negara.

Hadir sama Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Profesor Madya Wan Akil Tuanku Abdullah, Yang Dipertua MPP UiTM Se-Malaysia Mohd Farid Zuhri Ismail dan Yang Dipertua MPP UiTM Sarawak Hairul Hafiz Yusuf.

Keselamatan penoreh getah diancam

SIBU: Seramai 16 penduduk Nanga Salim dekat sini membuat laporan polis selepas diugut dan diancam keselamatan mereka oleh seorang lelaki berketurunan Cina agar tidak menoreh di sebuah kebun getah di situ pagi Selasa lepas.

Menurut salah seorang daripada pengadu tersebut, mereka telah mendapat kebenaran untuk menoreh di kebun getah yang berkeluasan lebih 100 ekar oleh seorang tauke iaitu pemilik tanah yang sebenarnya sejak lebih lapan tahun lalu.

Katanya, mereka terasa tergugat dan bimbang selepas seorang lelaki berusia lingkungan 40-an tiba-tiba muncul dan mendakwa mereka (penduduk Nanga Salim) telah menceroboh kawasan kebun getahnya.

Terdahulu, lelaki tersebut yang memandu sebuah Toyota Hilux telah berpesan kepada salah seorang daripada penduduk di situ agar memberitahu penoreh-penoreh getah di situ untuk berjumpa dengannya di dalam kebun getah berkenaan pada jam 8.00 pagi Selasa itu.

Lebih 30 orang penduduk kampung itu datang berjumpa dengan lelaki tersebut sekitar jam 8.00 pagi itu.

Seorang warga tua turut berjumpa dengan lelaki yang tidak dikenali itu dan mereka telah tidak dibenarkan menoreh di kawasan berkenaan lagi dalam masa dua tiga minggu akan datang.

Lelaki tersebut yang membawa sebilah parang dan ditemani seorang lelaki dipercayai warga Indonsia turut mengancam nyawa mereka jika mereka mengingkari kata-katanya.

Lelaki tersebut juga membawa peta kawasan kebun getah berkenaan yang didakwa miliknya.

Menurut mereka lagi, seramai tujuh warga Indonesia telah bermalam di sebuah pondok di kebun getah berkenaan sejak seminggu yang lalu.

Penduduk kampung juga pernah bertanya kepada tujuh orang warga Indonesia tersebut yang memberitahu bahawa mereka mengaku tidak mempunyai permit kerja mahupun pasport yang sah.

Pada sebelah petang itu sekitar jam 3.00 petang penoreh-penoreh getah Nanga Salim telah bertemu dengan seorang cucu lelaki kepada pemilik tanah yang sebenarnya di sebuah kedai kopi berdekatan dengan pasar raya di Jalan Salim.

Difahamkan cucu kepada pemilik tanah berkenaan memberitahu mereka agar terus menoreh getah di tanahnya.

“Saya telah mengenali pemilik tanah tersebut sejak bertahuntahun lagi dan menasihati kami membuat laporan polis sekiranya ada individu yang cuba buat kacau di kebun getahnya,” kata salah seorang penoreh getah yang terbabit.

Sebagai langkah berjaga-jaga, lebih 16 orang penoreh getah dari Nanga Salim telah membuat laporan polis terhadap lelaki yang menghalang mereka daripada menoreh getah di situ.

October 7, 2011

Setiap calon BN akan disokong

MIRI: Rakyat di konstituensi Bekenu akan tetap memberi sokongan dan kepercayaan kepada mana-mana calon Barisan Nasional (BN) yang diletakkan di kerusi Parlimen Sibuti pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu Rosey Yunus berkata meskipun keputusan pencalonan terletak di tangan pihak atasan, rakyat Bekenu akan memastikan individu berkenaan mendapat sokongan majoriti rakyat.

“Kita tidak tahu siapa calon yang bakal bertanding bagi kerusi terbabit namun bagi kita selagi individu itu mewakili kerajaan BN, maka sudah pasti rakyat memberi kepercayaan dan sokongan kepada beliau,” katanya.

Selain itu katanya, Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu cukup membuktikan bahawa majoriti penduduk di Parlimen Sibuti masih berpegang teguh dan menaruh kepercayaan kepada BN.

“Dua kerusi DUN masing-masing bagi Bekenu dan Lambir telah dimenangi oleh calon BN dan kita percaya pada PRU akan datang, kerusi Parlimen Sibuti akan memihak kepada BN bersandarkan kepada prestasi PRN yang lalu,” ujarnya.

Rosey yang juga Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga menyifatkan rakyat sudah menilai prestasi cemerlang terhadap angin perubahan yang dibawa kerajaan BN.

“Selagi kerajaan BN mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat, maka kita percaya rakyat Sarawak terutama di Bekenu akan terus menerima pelbagai sentuhan pembangunan daripada kerajaan,” katanya.

Rakyat di konstituensi Bekenu katanya telah menikmati pelbagai bentuk kemajuan bahkan taraf hidup penduduk turut meningkat di bawah pentadbiran kerajaan BN yang prihatin dengan keperluan rakyat.

“Jika dahulu penduduk di kawasan luar bandar Bekenu sukar dihubungi, tetapi kini tidak lagi setelah kerajaan menyediakan kemudahan asas seperti jalan raya bagi memudahkan penduduk berulang-alik ke bandar,” jelasnya.

Tidak terhenti di situ katanya, kerajaan terus menyalurkan kemudahan kepada rakyat termasuk bekalan elektrik dan air ke rumah-rumah panjang dan kampung-kampung, selain menaik taraf jalan-jalan kampung.

Steve Jobs meninggal dunia

PENGHORMATAN: Jambak bunga dan iPad menunjukkan gambar pengasas Apple Steve Jobs diletakkan di luar ibu pejabat Apple di Cupertino, California kelmarin. — Gambar AFP

Pengasas Apple itu tewas akibat barah pada usia 56 tahun

SAN FRANCISCO: Peng-asas berwawasan Apple, Steve Jobs meninggal dunia kelmarin akibat barah pada usia 56 tahun, penamat yang terlalu awal bagi seorang insan yang mencetuskan revolusi dalam budaya moden dan mengubah buat selama-lamanya hubungan dunia dengan teknologi menerusi ciptaan-ciptaan seperti iPad dan iPhone.

“Kami amat sedih untuk mengumumkan Steve Jobs meninggal dunia hari ini,” kata pembuat gajet yang berpangkalan di California itu dalam satu kenyataan daripada lembaga pengarah.

“Kepintaran, keghairahan dan tenaga Steve merupakan sumber bagi banyak inovasi yang memperkayakan dan mempertingkatkan lagi kehidupan semua kita. Dunia tidak syak lagi lebih baik disebabkan oleh Steve.”

Penghormatan diterima dari seluruh dunia bagi Jobs, manakala peminat Apple membanjiri laman rangkaian sosial untuk menyuarakan kesedihan mereka ekoran kehilangan insan yang membantu menyimpan komputer mini dalam bentuk telefon ke dalam jutaan saku.

Ramai orang menyatakan akses mudah kepada Internet dan laman rangkaian sosial telah membantu mencetuskan pemberontakan pro-demokrasi di Timur Tengah.

Rakyat jelata memenu-hi Twitter menggunakan ‘trending hashtag’ üthank-yousteve untuk memberi penghormatan kepada Jobs dan “bagi semua yang telah anda lakukan untuk generasi ini”, kata seorang individu dalam satu tweet.

Seorang lagi menyeru kepada Jobs supaya membuat “i-Syurga untuk menghubungkan kami dengan Tuhan”.

Jobs berusia 21 tahun ketika beliau mengasaskan Apple Computer pada 1976 bersama kawannya yang berusia 26 tahun Steve Wozniack di dalam garaj keluarganya.

Dari permulaan yang begitu kecil, syarikat itu, dengan lambang epal yang digigit sebahagiannya dan boleh dilihat di mana-mana sahaja, berkembang menjadi salah sebuah syarikat paling bernilai di dunia.

Pada Julai lalu, keuntungan suku kedua Apple mencecah AS$7.31 bilion (RM22 bilion) daripada pendapatan seba-nyak AS$28.57 bilion (RM86 bilion).

Presiden Amerika Syarikat memberi penghormatan kelmarin kepada salah seorang ‘inovator teragung’ Amerika.

“Beliau mengubah kehidupan kita, mentakrif semula seluruh industri, dan mencapai salah satu penca-paian paling unik sekali dalam sejarah manusia: beliau me-ngubah cara setiap daripada kita melihat dunia,” kata Obama dalam satu kenyataan bertulis.

Ketua Microsoft Bill Gates serta tokoh lain dalam industri teknologi tinggi bersetuju.

“Dunia jarang melihat orang yang meninggalkan impak begitu mendalam se-perti Steve, dan kesannya akan dirasai selama beberapa generasi akan datang,” kata Gates dalam satu kenyataan yang dipetik dari laman sesawang Wall Street Journal.

Kedua-dua tokoh itu meru-pakan seteru dalam persaingan untuk menguasai pasaran pada permulaan era komputer peribadi (PC).

Namun demikian, sementara komputer peribadi yang dijana perisian Microsoft menguasai tempat kerja, Jobs membayangkan jentera mesra manusia dengan pengawal tetikus dan ikon yang diklik untuk mengaktifkan program dan membuka fail.

Tim Cook – yang mengendalikan operasi harian Apple semenjak Jobs cuti sakit pada Januari lalu, dan dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif pada Ogos lalu selepas perletakan Jobs – memuji legenda Silicon Valley itu.

“Steve meninggalkan sebuah syarikat yang hanya beliau sahaja yang dapat bina, dan semangatnya akan menjadi asas Apple buat selama-lamanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Apple menukar laman mukanya menjadi satu penghormatan kepada Jobs, dengan menyiarkan gambar hitam putih besar pakar teknologi tinggi itu yang berjambang dan memakai baju leher penyu serta kaca mata bulat kecil dengan kapsyen ‘Steve Jobs, 1955-2011’.

Jentera carian atas talian gergasi, Google memasang butang pada lamannya dengan pautan langsung ke laman Apple sebagai penghormatan.

Keluarga Jobs turut me-ngeluarkan kenyataan yang menyebut beliau tewas dalam pertarungannya yang lama dengan barah pankreas dikelilingi saudara mara.

“Dalam kehidupan awam, Steve dikenali sebagai tokoh berwawasan; dalam kehi-dupan peribadi, beliau amat menyayangi keluarganya,” katanya.

Dilahirkan pada 24 Februari 1955 di San Francisco kepada seorang ibu tunggal dan diangkat oleh sepasang suami isteri di Mountain View tidak sampai seminggu selepas itu, Jobs membesar di kawasan dusun yang suatu hari nanti akan menjadi hab teknologi dikenali sebagai Silicon Valley.

Di bawah Jobs, Apple memperkenalkan komputer pertama Apple dan kemudian Macintosh yang begitu popular sekali pada zaman 1980-an.

Beliau diangkat ke status idola oleh para penggemar komputer Macintosh yang kebanyakannya menganggap diri sebagai pakatan pemberontak yang menentang empayar berpengaruh Microsoft yang dibina dengan sistem operasi Windows.

Jobs meninggalkan Apple pada 1985 ekoran perebutan kuasa dalaman dan memula-kan syarikat NeXT Computer dengan kepakaran khusus dalam stesen kerja canggih bagi perniagaan.

Beliau turut sama menu-buhkan Pixar yang pernah memenangi Anugerah Akademi pada 1986 dari sebuah unit grafik komputer lama Lucasfilm yang dibelinya dari gergasi industri filem George Lucas.

Selepas Jobs meninggalkan Apple, prestasi syarikat tersebut merosot tetapi mereka berdamai semula pada 1996 dan Apple membeli NeXT dengan harga AS$429 juta (RM1.3 bilion) dan Jobs naik sekali lagi ke atas takhta Apple.

Kekuatan Apple meningkat hari demi hari selepas Apples menyusun semula jenama Macintosh, sekali gus mencetuskan revolusi dalam budaya moden dan melancarkan ‘era pasca PC’ di mana komputer peribadi memberi laluan kepada gajet mudah alih yang bijak – iPod, iPhone dan the iPad.

Jobs meninggalkan isteri-nya Laurene, yang melahirkan tiga anaknya. Beliau juga ada seorang anak perempuan dengan seorang wanita yang dikenalinya sebelum mendirikan rumah tangga. — AFP

Menjelang Belanjawan 2012: 'Tunggu pengumuman gembira'

Golongan miskin bandar berharap kos hidup di kota dapat diatasi

KUALA LUMPUR: Golongan ‘miskin bandar’ yang berpendapatan sekitar RM3,000 berharap ada khabar gembira bakal diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Belanjawan 2012 petang ini bagi membantu mereka keluar daripada lingkungan miskin bandar.
Rata-rata masyarakat kota mahu kerajaan memberi tumpuan terhadap masalah kenaikan harga barangan, selain fokus utama juga diberikan terhadap usaha meningkatkan lagi mutu pendidikan kepada golongan berkenaan.
Pekerja swasta, Azmi Idris, 40, berkata pendapatan isi rumah sekitar RM3,000 adalah tidak mencukupi untuk menampung kos kehidupan di ibu kota sekiranya tidak ada bantuan ataupun insentif daripada kerajaan, terutama bagi mengurus pendidikan anak.

“Saya mempunyai anak empat orang, dengan gaji yang ada saya perlu membayar duit rumah, kereta, barangan dapur dan persekolahan anak. Sebahagian besar daripada gaji saya dan isteri habis bagi menampung keperluan ini.

“Bayangkan, perbelanjaan anak sekolah saja RM3 bagi sekolah rendah dan RM5 bagi sekolah menengah, tidak termasuk keperluan persekolahan lain. Belanja dapur sekitar RM300, kadangkala ada permintaan anak tidak dapat ditunaikan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Kakitangan swasta, Raj Kumar, 44, mahu aspek pendidikan menjadi tumpuan utama kerajaan bagi membantu golongan miskin bandar supaya mereka turut mendapat pendidikan sempurna serta tidak tercicir daripada arus perdana pembangunan negara.
“Apa yang dilakukan kerajaan hari ini dalam membantu golongan ini adalah berada pada landasan tepat, namun perlu diperkasakan lagi bagi membolehkan semua pihak mendapat nikmat daripada pengumuman kerajaan nanti,” katanya.

Kakitangan kerajaan, Mashitah Abd Halim, 29, berkata melalui pembentangan belanjawan kali ini, kerajaan diharap lebih agresif membantu golongan miskin bandar dan mereka berpendapatan rendah di ibu kota.

“Kerajaan perlu mengubah sistem, tidak boleh lagi golongan miskin datang kepada kerajaan untuk mendapatkan bantuan, sebaliknya kerajaan perlu mencari mereka. Saya harap akan ada insentif diumumkan kerajaan bagi membantu golongan ini,” katanya.

Di GEORGETOWN, kakitangan swasta, Kenny Lee, 50, berkata golongan berpendapatan sederhana dan rendah paling teruk menerima kesan akibat kenaikan harga barang dan wang yang diperoleh setiap bulan habis begitu saja hanya untuk menampung hidup.